Kualiti telefon bimbit China merudum? - Utusan Malaysia

Kualiti telefon bimbit China merudum?

REN Zhengfei mahu memastikan syarikat Huawei yang diterajuinya memiliki sebanyak mungkin hak paten teknologi 6G. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA tertarik membaca laporan Utusan Malaysia pada 22 September lalu mengenai nasihat Kementerian Pertahanan Lithuania supaya rakyatnya membuang telefon bimbit dari China atau mengelakkan daripada membeli jenama dari negara itu.

Ini berikutan Pusat Keselamatan Siber negara itu mendapati beberapa peranti pengesan dipasang dalam telefon bimbit buatan syarikat China bagi mengenal pasti individu yang menentang kerajaan komunis tersebut.

Telefon bimbit yang dijual di Eropah oleh syarikat gergasi, Xiaomi Corporation (Xiaomi) didakwa mempunyai peranti yang boleh mengesan terma seperti free Tibet, long live Taiwan independence atau democracy movement.

Keupayaan pengesanan dalam perisian telefon model Mi 10T 5G Xiaomi itu boleh dihidupkan dari jauh pada bila-bila masa. Laporan sama turut mendedahkan telefon bimbit Xiaomi menghantar data sulit pengguna ke server (pelayan) Singapura.

Apabila membaca berita ini, saya cukup bersyukur kerana tidak pernah menggunakan telefon bimbit buatan China walaupun bukan keluaran Xiaomi kerana tidak mustahil peranti pengesan turut dipasang dalam gajet syarikat lain dari negara itu yang kebanyakan mempunyai hubungan dengan tentera.

Satu lagi isu yang saya mahu bangkitkan adalah kenyataan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Technologies Co. Limited (Huawei), Ren Zhengfei baru-baru ini bahawa sekatan dagangan Amerika Syarikat (AS) telah memberi kesan kepada perniagaan telefon bimbit syarikatnya.

Sekatan daripada menggunakan teknologi AS sejak 2019 itu ditujukan kepada syarikat telefon bimbit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan tentera China yang dirujuk sebagai communist Chinese military companies (CCMC).

Ironinya, Xiaomi yang terlibat dengan kes di Lithuania baru sahaja dikeluarkan AS daripada senarai CCMC pada Mei lalu.

Dalam kenyataan sama, Zhengfei yang juga bekas pegawai tentera China mengakui syarikatnya tidak lagi cuba menggunakan komponen terbaik termasuk mikrocip untuk dipasang dalam telefon bimbit keluarannya sebaliknya komponen yang sesuai sahaja supaya tidak terus menanggung kerugian.

Adakah kenyataan itu bermaksud kualiti telefon bimbit buatan China akan merudum? Jika ya, kita ingin tahu adakah harganya akan turut dikurangkan?

Dalam kenyataan itu, Zhengfei turut mendedahkan strategi untuk terus terkedepan dari segi teknologi yang boleh dicontohi oleh universiti dan syarikat di Malaysia.

Syarikat itu memberi tumpuan untuk mendapat sebanyak mungkin hak paten teknologi mudah alih generasi keenam (6G), strategi sama yang telah digunakan terhadap 5G. Huawei adalah peneraju 5G.

Ia jauh meninggalkan syarikat-syarikat dari Jepun dan AS. Mana-mana pihak yang mahu menggunakan teknologi itu perlu membayar hak paten kepada Huawei.

Saya berpendapat universiti tempatan yang menghadapi masalah untuk mengkomersialkan penyelidikan mereka boleh menggunakan kaedah itu, iaitu memberi tumpuan untuk mendapat hak paten sahaja termasuk yang berkaitan 6G.

Zhengfei turut mendedahkan syarikat itu sanggup membayar gaji yang sangat mahal kepada sesiapa sahaja termasuk pencipta dari AS dan Eropah yang mampu mencipta teknologi baharu yang diperlukan syarikat berkenaan.

Saya berharap kaedah sama diguna syarikat Malaysia jika mahu menjadi peneraju global dalam bidang teknologi masa depan.

RAYMOND LEE, Kampar, Perak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.