SAUDARA PENGARANG,
RASANYA seluruh rakyat lega dengan perkembangan terkini politik negara apabila jawatan Perdana Menteri kesembilan sah diisi Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Semakin lega kita apabila mendengar ucapan sulung Naib Presiden UMNO itu yang menggariskan komitmen jelas kepada rakyat dan negara.
Ungkapan perdamaian diucapkan, frasa Keluarga Malaysia menghantar mesej beliau mahu unsur kasih sayang menjadi teras dalam kehidupan ketika pelbagai krisis termasuk Covid-19 masih mengancam negara.
Sesungguhnya, konsep keluarga dalam sebuah negara khususnya ketika kita masih berusaha menangani cabaran keluar daripada pandemik amat penting.
Ia membawa maksud seluruh rakyat perlu saling bergantung antara satu sama lain jika mahu memenangi perang ini.
Namun, solidariti hanya sekadar ilusi jika kestabilan politik dibiarkan terus mengganggu. Impian menjadi negara maju dengan rakyat hidup dalam suasana selesa hanya boleh menjadi realiti jika politiknya stabil.
Untuk itu, Perdana Menteri menawarkan ruang kepada kepemimpinan pembangkang menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19, tawaran kerjasama rentas parti yang pastinya akan membuka dimensi baharu buat negara.
Sudah-sudahlah berpolitik kerana berebut kuasa, pertelingkahan ini dan pelbagai isu lain tidak penting pada saat ini. Ia hanya membuatkan rakyat muak dan semakin melebarkan jurang perpecahan.
Parti pembangkang perlu memasang niat yang betul untuk menyelamatkan rakyat yang sudah lama terhimpit dan negara yang sudah lebih setahun terjejas akibat Covid-19.
Tidak perlu berprasangka sama ada tawaran itu sekadar untuk mencukupkan syarat atau hanya untuk mengiakan pandangan kerajaan semata-mata.
Alangkah molek jika Perdana Menteri diberi peluang untuk membuktikan keikhlasan niatnya.
AZMAN MOHAMED, Bangi, Selangor.