DUBLIN: Kerajaan Ireland mengumumkan pengurangan cukai baharu ke atas petrol dan diesel dalam satu mesyuarat Kabinet tergempar pada Ahad, susulan siri protes kos bahan api yang mengancam fungsi perkhidmatan kecemasan negara itu.
Sejak Selasa, pengusaha pengangkutan dan kontraktor pertanian telah melancarkan siri protes ekoran kenaikan mendadak harga petrol dan diesel susulan peperangan di Asia Barat.
“Sebagai kerajaan, kami mendengar suara anda. Kami telah bertindak dan kami sedang mengambil tindakan lanjut hari ini,” kata Menteri Kewangan, Simon Harris dalam satu sidang akhbar.
Pemotongan yang diumumkan itu termasuk pengurangan €0.10 sen (RM0.46) seliter bagi kedua-dua diesel dan petrol manakala rancangan kenaikan cukai karbon akan ditangguhkan dari Mei sehingga pembentangan belanjawan pada Oktober nanti.
Protes minggu lalu berkembang daripada konvoi perlahan di lebuh raya dan sekatan akses ke jalan-jalan paling sibuk di Dublin. Ia kemudian menuju sehingga ke sekatan separa di satu-satunya kilang penapis minyak Ireland dan ke sekatan akses di sekurang-kurangnya dua depoh bahan api lain.
Beberapa siri protes masih berterusan sehingga hari keenam pada Ahad.
Terdahulu, kerajaan menggesa orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik memandangkan bekalan di kebanyakan stesen minyak telah mula kering.
Pihak polis pada Sabtu dengan sokongan angkatan tentera, telah mengerahkan unit ketenteraman awam untuk menyuraikan sekatan di Kilang Penapis Whitegate, selatan Ireland.
Ketua Polis Ireland, Justin Kelly, menyatakan bahawa tindakan itu diambil sebagai jalan terakhir.
Beliau mengecam sekatan kilang penapis tersebut sebagai aktiviti haram oleh individu yang bertekad untuk menjadikan negara tersebut sebagai ‘tebusan’.
“Sekatan ke atas infrastruktur nasional kritika telah mengakibatkan kekurangan bahan api yang memberi kesan langsung kepada perkhidmatan kecemasan seperti hospital, perkhidmatan ambulans dan perkhidmatan bomba,” katanya.
Pada Mac lalu, Dublin telah mengumumkan pakej bernilai €250 juta (RM1.16 bilion) untuk mengurangkan kos bahan api terutamanya, termasuk rebat diesel untuk pengusaha pengangkutan jalan raya. – AFP










