PETALING JAYA: “Ketika itu berkali-kali Azar minta duit kononnya untuk rawatan kanser.”
Demikian kata Janna Nick mendedahkan butiran mesej yang pernah diterima daripada rakan seperjuangannya, Azar Azmi sewaktu pelakon itu tiba-tiba menghilang dari industri hiburan tanah air.
Kata Janna, dia tidak pasti sama ada pesanan mesej yang diterima tersebut daripada Azar atau pihak lain yang menyamar menjadi dirinya dan mendakwa kononnya sedang menghidap penyakit kanser.
“Berdasarkan pengalaman saya, apa yang jadi ketika itu saya juga tidak pasti sama ada mesej itu dari pihak dia atau orang lain.
“Dia bagitahu dia dirawat di sebuah hospital selepas saya bertanya ke mana dia menghilang. Saya hampir mahu pergi ke hospital tersebut untuk pinjamkan dia duit.
“Disebabkan itu juga saya terus hubungi dia sebab dia sudah lama menghilang. Tetapi suaminya yang jawab panggilan tersebut. Jadi saya terkejutlah sebab saya terus hubunginya dua saat selepas terima mesej tersebut,” katanya.
Janna mendedahkan perkara tersebut ketika menghubungi Datuk Seri Aliff Syukri sewaktu usahawan itu membuat sesi siaran langsung bersama Azar.
Pun begitu, Janna menjelaskan bahawa dia masih lagi menyimpan mesej yang pernah diterimanya untuk dijadikan sebagai bukti.
“Saya masih ada lagi mesej tersebut dan simpan sebagai bukti. Selepas kejadian itu, dia pun tidak hubungi saya selepas perkara ini terjadi kerana saya tidak mahu memberi tekanan kepadanya,” kongsinya.
Bimbang akan kesihatan mental sahabatnya, pelakon drama Pinjaman Syurga tersebut sempat memohon kepada orang ramai untuk tidak berlebih-lebihan dalam menghakimi kehidupan seseorang.
“Pada pendapat saya, sekarang ini kita patut bagi dia ruang dan tidak sepatutnya dedahkan dia kepada orang ramai. Tidak semua orang ada hati yang sama bersih seperti Datuk Aliff.
“Bukan semua orang yang benar-benar ikhlas untuk membantu dan fikir tentang kesahihan situasi ini. Sekarang netizen ramai yang mahu menjadi hakim dunia.
“Lagipun perbicaraan kes ini masih lagi berlangsung, sebagai kawan saya lebih bimbang keadaan dia. Saya bimbang dengan apa yang dia rasa lebih-lebih lagi dalam keadaan ini sebab kesihatan mental itu penting.
“Kepada netizen, jangan bertindak terlalu kasar. Jangan terlalu cepat menghakimi,” ujarnya.
Terdahulu, perkongsian Janna di Threads menjadi sorotan ramai selepas dia meluahkan kebimbangan terhadap keadaan sahabat baiknya itu yang tiba-tiba muncul dan mesejnya untuk meminjam sejumlah wang ringgit selepas sekian lama menghilang.










