Berkata benarlah walaupun pahit - Utusan Malaysia

Berkata benarlah walaupun pahit

SEBUAH portal berita baru-baru ini melaporkan surat Yang Dipertua Dewan Rakyat menjawab warkah Yang di-Pertuan Agong menjelaskan kedudukan mutakhir bilangan ahli Dewan Rakyat yang menyokong Perdana Menteri daripada 106 ahli Parlimen seperti mana dimaklumkan pada 3 Ogos lalu kini hanya berbaki 100 ahli Parlimen. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Buat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Azhar Azizan Harun, berjiwa besarlah. Benar katakan benar. Berlapang dada itu lebih mulia daripada terus membiarkan rakyat dibungkam duka dan tanda tanya.

Buktikan kepada rakyat mengenai status keabsahan jawatan Tan Sri sebagai Perdana Menteri ketika ini berlandaskan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tunjang pemerintahan negara.

Dalam keadaan seluruh rakyat berduka meratapi jumlah kematian sebanyak 11,691 kes yang dilaporkan sehingga semalam (12 Ogos 2021) dan diramalkan statistik itu akan terus meningkat berikutan penularan pandemik Covid-19, masih mahu bermain politikkah?

Kemelut apakah ini? Dengan kes positif mencecah 1.34 juta orang dengan kes baharu harian mencatat 21,668, masih mahu berbicara soal percaturan politik?

Jika Tan Sri dan Datuk telus dan sayangkan rakyat, buktikan kalian benar.

Jelaskan kepada umum bahawa masih ada sokongan daripada ahli Parlimen. Nafikan segera kenyataan kalian hilang sokongan majoriti.

Namun, jika benar seperti didakwa sehingga ada laporan polis dibuat yang mempersoalkan keabsahan status Perdana Menteri berasaskan dua faktor, iaitu warkah Presiden UMNO yang diutuskan kepada Yang di-Pertuan Agong bertarikh 30 Julai 2021, berserta 14 surat akuan ahli-ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan terhadap Tan Sri sebagai Perdana Menteri.

Berdasarkan situasi ini, kerajaan berasaskan kedudukan tempat duduk di Dewan Rakyat yang mutakhir sebanyak 114, hilang kira-kira 14 ahli Parlimen sokongan dengan hanya berbaki 100 sokongan daripada ahli Parlimen, maka jelas Perdana Menteri hilang majoriti.

Yang kedua pula memetik laporan sebuah portal berita sebagai berkata, surat Yang Dipertua Dewan Rakyat (Datuk Azhar Azizan) menjawab warkah Yang di-Pertuan Agong yang ingin mendapatkan penjelasan kedudukan sokongan terhadap kerajaan pimpinan Tan Sri. Dalam surat yang tular itu, Datuk menjelaskan, kedudukan mutakhir bilangan ahli Dewan Rakyat yang menyokong Perdana Menteri daripada 106 ahli Parlimen seperti mana dimaklumkan pada 3 Ogos lalu kini hanya berbaki 100 ahli Parlimen.

Datuk juga dilihat tidak menafikan kandungan surat yang tular itu ketika diminta wartawan portal berita tersebut untuk memberi penjelasan sebaliknya memaklumkan beliau tidak boleh berkongsi sesuatu komunikasi rasmi terutama membabitkan Istana Negara.

Senario itu memberi satu persepsi kepada umum bahawa Perdana Menteri kini sah hilang majoriti! Dalam konteks ini, sekiranya Perdana Menteri hilang kuasa dan tidak mendapat kepercayaan daripada ahli Dewan Rakyat, maka jalan terbaik adalah letak jawatan.

Kita boleh imbau kembali kes sama yang pernah berlaku di Perak pada 2009 sehingga Menteri Besar meletak jawatan akibat hilang sokongan majoriti. Apa yang berlaku di Perak umpamanya dalam kes Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dengan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan dalam kes terbaharu apabila undi percaya ditolak oleh majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak, maka Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu waktu itu telah hilang majoriti. Maka dia meletakkan jawatan.

Ketika itu, UMNO, Parti Amanah Negara (Amanah), DAP dan PKR sebulat suara menolak Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar, tetapi mahu melantik Menteri Besar baharu dengan kuasaa Sultan Perak.

Berikutan itu, Sultan Perak meneliti siapa memperoleh sokongan majoriti untuk menentukan Menteri Besar baharu dan untuk keputusan itu, UMNO terbuka berbincang dengan rakan kongsinya ketika itu merangkumi Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang akhirnya sepakat melantik Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar baharu.

Oleh yang demikian, perkara utama sekarang adalah menentukan keabsahan Perdana Menteri pada ketika ini iaitu Tan Sri sendiri.

Jika Perdana Menteri meletak jawatan, dalam Perkara 40 (2) (b), kuasa pelantikan Perdana Menteri adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.

Justeru, kepada ahli Parlimen sekalian janganlah jadi lalang, jadilah karang di dalam laut. Walaupun dilanda badai dan taufan sekalipun, ia tetap tidak terusik dan terus tetap pendirian.

Bertekadlah setia kepada parti, bersatu padu demi perpaduan dan kesejahteraan rakyat.

RINDU DEMOKRASI, Hulu Langat, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya