fbpx

23 Oktober 2021, 10:23 am

  TERKINI

Pro Max tingkat keputusan SPM

MUHAMMAD Afif Mohd. Azmi menunjukkan keputusan 8A,1B yang diraihnya dalam peperiksaan SPM 2020 di Johor Bahru, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TIDAK mungkin keputusan lebih baik peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 berbanding tahun-tahun sebelumnya dimanipulasikan pihak tertentu seperti didakwa sesetengah individu.

Kita seharusnya bangga dan yakin dengan ‘keupayaan’ sistem pendidikan Malaysia yang akan menjadi penanda aras baharu dalam era pembangunan pendidikan global.

Pujian dan penghargaan semestinya diberikan kepada pakar pendidikan Malaysia, baik dari peringkat menteri hinggalah kepada mereka yang berada di sekolah.

Sebenarnya ramai tidak sedar kewujudan sistem Pro Max dan mungkin itulah formula rahsia kejayaan tersebut.
Pelajar SPM 2020 digelar sebagai generasi Pro Max iaitu sempena jenama telefon pintar kerana lebih banyak memberi tumpuan kepada sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), tiada aktiviti sukan atas padang dan kegiatan kokurikulum tidak lagi dilakukan secara bersemuka.

Ibu bapa didapati turut membantu anak-anak semasa sesi PdPR dengan memberi tunjuk ajar dengan kerjasama guru yang menyediakan bahan secara dalam talian yang boleh dimuat turun dengan lebih senang dan pantas.
Selain itu, ibu bapa juga dilihat aktif memberi motivasi dan semangat kepada anak-anak untuk menyiapkan tugasan rumah yang diberikan oleh guru.

Memberi motivasi adalah sangat penting kerana kanak-kanak yang kehilangan kehidupan sosial mereka kerana sekatan pergerakan ketika pandemik boleh berasa kesepian dan tertekan.

Namun, kewujudan teknologi seperti aplikasi Google Meet dan Zoom membolehkan kanak-kanak terbabit terus berhubungan dengan rakan dan ahli keluarga lain.

Dalam pada itu, ada juga pihak yang secara sinis menyatakan pembelajaran secara bersemuka di sekolah sudah tidak diperlukan kerana ia boleh dibuat melalui PdPR.

Apa pun pendapat yang diberikan, kita semua sudah tentu bersetuju bahawa teori menyatakan ketidakhadiran ke sekolah akan menyebabkan keputusan peperiksaan buruk adalah salah.

 

AZIZI AHMAD
Segambut Luar, Kuala Lumpur

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN