Jangan buat lupa bayar gaji kami - Nor Azam

Jangan buat lupa bayar gaji kami – Nor Azam

MUHAMMAD Nor Azam bin Abdul Azih (tengah) cuba melepasi kawalan pemain Melaka FC pada aksi Liga Super musim 2025/2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tahap kesabaran pemain Kelantan The Red Warriors (TRW) akhirnya tidak dapat dibendung lagi apabila secara terbuka menuntut pihak pengurusan kelab melunaskan tunggakan gaji mereka.

Kapten Kelantan TRW, Nor Azam Azih menerusi hantaran di media sosial memberikan ‘peringatan mesra’ kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan TRW, Datuk Irwan Rizal Mohd Ali Napiah agar melunaskan gaji pemain.

“Jangan buat lupa ya bayar gaji kami,” kata Nor Azam yang juga bekas perancang tengah skuad kebangsaan di laman sosial miliknya sambil menyertakan gambar Irwan Rizal bagi menuntut tunggakan gaji, semalam.

Pemain berusia 31 tahun itu dibawa masuk oleh Kelantan TRW pada awal musim ini selepas meninggalkan kelab kesayangan beliau, Sri Pahang yang memutuskan tidak beraksi di Liga Malaysia (Liga M) tahun ini.

Krisis yang melanda pasukan itu dilihat semakin meruncing selepas Kelantan TRW dibelasah 14-1 oleh gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad lalu.

Keputusan tersebut turut mencatat sejarah sebagai kekalahan terbesar dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), sekali gus menimbulkan cakap-cakap mengenai masalah dihadapi para pemain Kelantan TRW.

Selepas aksi berdepan JDT, jurulatih kecergasan Kelantan TRW, Kamarul Dinis Kamaruddin mendedahkan banyak isu berbangkit yang menyebabkan pemain ‘tawar hati’ untuk beraksi dan tak dapat beri tumpuan penuh pada sesi latihan.

“Kami ini ibarat kapal tanpa nakhoda, maksudnya terpaksa bergerak sendiri. Malah, pihak pengurusan tak pernah beri khabar berita apa pun kepada kami hingga sekarang.

“Yang sedia maklum adalah masalah gaji yang tidak diperoleh sejak Mac lalu, ketika hampir sambut Aidilfitri, barulah terima sekali pembayaran gaji sahaja.

“Walaupun `mood’ pemain ketika ini negatif, namun kami tetap hadir bersama barisan jurulatih serta staf sokongan yang sanggup datang ke perlawanan ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN