BULAN Kanak-Kanak merupakan kesempatan yang bermakna untuk kita memberikan perhatian terhadap hak, kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak.
Secara umumnya dalam suasana kekeluargaan, kanak-kanak memerlukan kasih sayang, perlindungan serta bimbingan daripada ibu bapa bagi membantu mereka membesar dalam persekitaran yang selamat dan sejahtera.
Namun demikian, apabila berlaku perpisahan atau perceraian ibu bapa, keperluan dan hak kanak-kanak tidak seharusnya terpinggir akibat konflik yang berlaku dalam kalangan orang dewasa.
Perpisahan ibu bapa boleh membawa perubahan besar dalam kehidupan kanak-kanak, khususnya dari segi tempat tinggal, penjagaan harian dan hubungan dengan ibu atau bapa.
Dalam keadaan ini, persoalan hak penjagaan anak (hadanah) perlu ditangani dengan mengutamakan kebajikan kanak-kanak, bukan semata-mata pertikaian antara ibu bapa.
Penentuan hak penjagaan hendaklah mengambil kira keperluan fizikal, emosi dan perkembangan kanak-kanak agar mereka terus mendapat kasih sayang serta perhatian yang sewajarnya daripada kedua-dua ibu bapa.
Isu hak penjagaan anak selepas perpisahan ibu bapa wajar diberikan perhatian bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang tanggungjawab ibu bapa dan kepentingan melindungi kebajikan anak-anak.
Walaupun terdapat situasi yang menyebabkan hubungan suami isteri terpaksa berakhir, tanggungjawab sebagai ibu dan bapa tetap kekal dan berterusan. Kepentingan kanak-kanak hendaklah sentiasa menjadi pertimbangan utama dalam setiap keputusan yang melibatkan kehidupan dan masa depan mereka.
HAK ANAK MENGATASI KEPENTINGAN PENJAGA
Perpisahan ibu bapa bukan sekadar mengubah hubungan suami isteri, malah turut memberikan kesan kepada kehidupan dan kesejahteraan anak-anak.
Dalam keadaan ini, persoalan hak hadanah sering menjadi pertikaian, khususnya apabila kedua-dua pihak berhasrat untuk mendapatkan hak penjagaan. Namun, pertimbangan utama seharusnya bukanlah siapa yang menang atau kalah tetapi siapakah yang paling mampu menjamin kebajikan dan kepentingan anak.
Dalam syariah Islam, prinsip kebajikan kanak-kanak menjadi asas penting dalam menentukan hak penjagaan. Walaupun ibu diberikan keutamaan dalam keadaan tertentu, tanggungjawab terhadap anak tidak terhenti pada pihak yang memperoleh hak penjagaan sahaja.
Kedua-dua ibu bapa tetap mempunyai tanggungjawab terhadap anak walaupun perkahwinan telah terbubar.
Menurut pandangan ulama Mazhab Syafi‘i, ibu lazimnya diberi keutamaan untuk menjaga anak yang masih kecil, tertakluk pada syarat kelayakan yang ditetapkan. Prinsip ini diguna pakai dalam Seksyen 81 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303].
Walau bagaimanapun, keutamaan tersebut bukanlah mutlak kerana kebajikan anak perlu dinilai berdasarkan keadaan sebenar setiap kes.
PERKAHWINAN SEMULA BUKAN PENENTU MUTLAK
Dalam hal ibu berkahwin semula, ia boleh menimbulkan persoalan tentang kelayakannya untuk meneruskan hak penjagaan, khususnya apabila suami baharunya tiada hubungan kekeluargaan dengan anak.
Namun, keadaan tersebut tidak seharusnya menjadi satu-satunya asas penentuan hak penjagaan. Bahkan, perkahwinan Rasulullah SAW dengan Ummu Salamah RA, yang mempunyai anak daripada perkahwinan terdahulu, boleh dijadikan contoh perkahwinan baharu tidak semestinya boleh menamatkan secara mutlak penjagaan ibu terhadapnya.
Dalam kes M lwn. A, mahkamah memberikan hak penjagaan kepada ibu walaupun ibu telah berkahwin semula. Keputusan itu dibuat kerana terbukti anak berkenaan hidup bahagia bersama ibunya.
Kes M lwn. A dan perkahwinan Ummu Salamah RA dengan Rasulullah menunjukkan kebajikan anak perlu dilihat secara menyeluruh, bukan berdasarkan status perkahwinan penjaga semata-mata.
KEBAHAGIAAN ANAK BERSAMA NENEK
Hak penjagaan juga tidak semestinya mesti diberikan kepada ibu atau bapa semata-mata.
Nenek atau ahli keluarga terdekat juga boleh memainkan peranan penting dalam memberikan kasih sayang, perlindungan dan kestabilan kepada anak.
Contohnya dalam kes WAA lwn. SA, seorang ibu menuntut hak penjagaan anak perempuannya yang tinggal bersama bapa dan nenek sebelah bapa selepas perceraian. Mahkamah mengambil kira pemisahan anak daripada neneknya boleh memberikan kesan serius terhadap perasaan anak tersebut.
Kes ini menunjukkan hubungan emosi yang telah terbina antara anak dengan penjaganya tidak boleh dipandang ringan. Sekiranya anak membesar dengan bahagia dan kebajikannya terpelihara bersama nenek, keadaan itu wajar dipertimbangkan dalam menentukan aturan penjagaan yang sesuai dan mengutamakan kesejahteraan si anak.
HAK ANAK UNTUK MEMILIH PENJAGA
Undang-undang keluarga Islam turut memberikan ruang kepada kanak-kanak yang mencapai umur mumaiyiz untuk menyatakan pilihan sama ada mahu tinggal bersama ibu atau bapa, tertakluk pada pertimbangan dan perintah mahkamah.
Peruntukan berkaitan perkara ini dapat dilihat dalam Seksyen 84(2) Akta 303. Perkara ini dapat dilihat dalam banyak kes dengan mahkamah akan membenarkan si anak membuat pilihannya setelah mencapai usia mumaiyiz.
KEBAJIKAN ANAK TANGGUNGJAWAB BERSAMA
Perpisahan tidak menggugurkan tanggungjawab ibu bapa terhadap anak. Bapa tetap bertanggungjawab terhadap nafkah, manakala hubungan anak dengan kedua-dua ibu bapa perlu dipelihara melalui aturan lawatan dan pertemuan yang munasabah.
Kerjasama ibu bapa penting bagi mengelakkan pertikaian berpanjangan yang boleh menjejaskan emosi anak.
Perpisahan ibu bapa bukan pengakhiran kebahagiaan anak-anak. Anak masih boleh membesar dengan baik bersama ibu, bapa, nenek atau penjaga lain yang mampu memenuhi keperluan dan menjamin kebajikannya.
Yang penting, keputusan berkaitan hak penjagaan hendaklah dibuat dengan mengutamakan kepentingan anak, bukannya persaingan antara orang dewasa.
Berakhirnya perkahwinan tidak bermakna berakhirnya tanggungjawab terhadap anak, sebaliknya, kasih sayang, perlindungan dan kesejahteraan mereka perlu terus dipelihara. –UTUSAN
PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik (SYARAK), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).











