Mahasiswa perlu keluar dari zon selesa

Mahasiswa perlu keluar dari zon selesa

MAHASISWA perlu berani keluar daripada zon selesa, mencari pengalaman baharu dan menggunakan peluang yang ada.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KINI bermulalah semester baharu bagi sesi pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara. 

Seperti biasa, minggu pertama kuliah menjadi antara tempoh paling sibuk bagi setiap IPT, termasuk institusi tempat saya bertugas yang turut memulakan semester baharunya minggu ini.

Pelbagai perkara harus disusun dan diselesaikan, daripada urusan mendaftarkan mata pelajaran sehinggalah mengurus hal persatuan, kelab dan sebagainya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menuntut ilmu bukan sekadar menghadiri kuliah dan menghafal kandungannya semata-mata, sebaliknya juga harus mencari ilmu di luar keselesaan tembok universiti.

Awal pagi hari pertama kuliah, saya ke bangunan Parlimen bagi menghadiri Sesi Pendengaran Awam Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat. Acara tersebut dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Meskipun mempunyai kelas pada hari yang sama, namun memandangkan kelas bermula pada sebelah petang hari, saya sempat mengikuti sesi tersebut sebelum bergegas pulang ke universiti sejurus selesai.

Kebetulan pula, program tersebut sangat berkait dengan pembelajaran tentang proses pelaksanaan dasar awam, di mana program tersebut sebenarnya antara proses pertama dalam meraih pendapat dan maklum balas rakyat tentang  undang-undang yang bakal dibawa ke Parlimen untuk perbahasan.

Justeru, banyak perkara dapat saya kaitkan dengan pengalaman yang baru sahaja dilalui. Inilah antara manfaat terbesar apabila mahasiswa melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan luar kuliah sepanjang tempoh pengajian. 

Pada Rabu pula, saya menerima kunjungan 33 pelajar dan mahasiswa dari Indonesia menerusi program Pemuda Mendunia. Ini merupakan kunjungan kali ke-18 program tersebut ke universiti ini.

Setiap kunjungan membawa kelompok belia yang berbeza, namun semangat mereka tetap sama untuk menjadi penggerak perubahan dan menyumbang kepada dunia.

Seperti biasa, dalam program ini saya akan bercakap dan berkongsi pengalaman tentang perihal belia dan kemampanan. Seterusnya, mereka akan membentang rancangan projek masing-masing yang bertujuan mengubah kehidupan masyarakat-masyarakat kecil di Indonesia dan saya ditugaskan untuk menjadi juri untuk menilai projek tersebut.

Pengalaman mengendalikan pelbagai program kemampanan sejak tahun pertama pengajian saya di universiti  memberikan saya banyak ilmu dan pengalaman berharga. Dalam setiap program, akan ada idea-idea dan pandangan baharu yang menarik untuk diperhatikan. 

Antara perkara yang menarik perhatian saya ialah konsep pendidikan di Indonesia yang melatih pelajarnya supaya bukan sahaja tidak malu, malah berani bercakap dan melontarkan idea. Secara umumnya, mereka tidak canggung ketika membuat pembentangan. 

Hal ini amat menarik memandangkan, dalam sesetengah situasi, keadaannya tidak begitu mudah bagi sebahagian daripada para peserta, memandangkan pembentangan harus dibuat dalam bahasa Inggeris, iaitu bahasa bukan arus perdana di Indonesia.

Memang tidak dapat dinafikan pendedahan sebegini amat penting kerana keyakinan serta keupayaan bercakap dan menjawab soalan dengan tepat dan jelas ialah aset yang sangat berharga dalam hidup. 

Kita juga harus memberi perhatian terhadap  perkara ini dan tidak hanya melihat kepada gred yang tinggi semata-mata. 

Seperti mana mereka bersedia belajar daripada kita, kita juga perlu terbuka untuk menimba ilmu daripada mereka. Dalam dunia yang berkembang pantas, kita tidak boleh leka atau terlalu selesa dengan keadaan semasa.

Sekarang bukan masanya lagi untuk pelajar mengamalkan budaya yang sering disebut sebagai 3K, iaitu kuliah, kafe dan katil. Ini juga bukan masa untuk kita bersuka-ria semata-mata. Hari ini penting untuk bergerak keluar daripada persekitaran yang selesa bagi mengejar pengalaman baharu yang lebih mencabar.

Pengalaman belajar rentas bidang memberi banyak kelebihan. Walaupun saban hari terpaksa bergegas dari satu fakulti ke fakulti  lain, namun saya bersyukur kerana berpeluang mempelajari bidang-bidang yang sangat diminati.

Giat melibatkan diri di luar kurikulum juga tidak kurang pentingnya. Carilah kemahiran baharu untuk menajamkan kebolehan kita serta membentuk keyakinan diri. Dunia ini begitu luas untuk diterokai dan banyak sahaja peluang yang tersedia untuk disahut sesiapa yang gigih.

 

MAHASISWA BUKAN SEKADAR PENUNTUT 

Universiti harus menjadi tempat yang dapat mendidik kita mengenal pahit manisnya kehidupan yang sebenarnya. 

Dalam menyelesaikan masalah, gunakanlah saluran yang betul dan sentiasa menjaga adab. Pada masa sama, pastikan tiada yang memijak kepala kita, dan gunakan fikiran kritikal yang telah dipelajari.

Berbincang bersama rakan-rakan dari negara lain, walaupun menghadapi masalah berbeza saya masih bersyukur kerana mutu dan kemudahan pendidikan tinggi di negara ini amat baik berbanding di banyak negara luar.

Namun, saya mengharapkan agar agenda mahasiswa di negara ini dapat berubah mengikut kemajuan dunia. Kami harus diberi peluang dan diiktiraf untuk melakukan perkara yang lebih besar berdasarkan kebolehan seperti di lakukan di beberapa universiti negara-negara maju.

Mahasiswa tidak seharusnya dilihat hanya mampu terlibat dalam kegiatan kemahasiswaan. Saya sendiri pernah ditanya seorang profesor dari sebuah universiti tentang manfaat beberapa kegiatan yang saya sertai, sedangkan perkara tersebut lazimnya dilakukan oleh pensyarah dan saya ketika itu masih bergelar mahasiswa.

Tanggapan ini lebih lazim daripada apa yang kita sangkakan. Ramai yang merasakan seorang pelajar tidak wajar diberi tanggungjawab besar atau melakukan sesuatu yang lebih dikait rapat dengan tugasan ‘orang tua’. Walhal, inilah pemerkasaan yang patut kita beri kepada anak muda agar mereka dapat menjadi pelapis yang baik.

Namun begitu, mahasiswa tidak boleh bersikap angkuh sehingga melupakan hakikat masih penuntut ilmu. Walaupun teguh mempertahankan prinsip, kita perlu sentiasa merendah diri, ibarat resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Dengan sikap ini, semoga perjalanan menuntut ilmu terus dipermudah dan diberkati. –UTUSAN

 

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN