Jangan lahir AUKU 2.0 kini masa reformasi

Jangan lahir AUKU 2.0 kini masa reformasi

AKTA Pendidikan Tinggi Tunggal (OHEA) perlu memberi lebih autonomi kepada universiti, melindungi kebebasan akademik serta memastikan akauntabiliti dan keadilan terus terpelihara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGUMUMAN kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 membuka ruang terbesar dalam satu generasi untuk membina semula kerangka undang-undang pendidikan tinggi negara.

Pada 19 Ogos lalu, Jemaah Menteri bersetuju supaya kerangka baharu dibangunkan melalui pendekatan Akta Pendidikan Tinggi Tunggal (OHEA). 

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan matlamatnya bukan sekadar menggantikan AUKU tetapi membentuk kerangka yang lebih menyeluruh, jelas dan responsif terhadap keperluan semasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Di sinilah ujian sebenar bermula. Janganlah AUKU dimansuhkan hanya untuk melahirkan semula AUKU 2.0, dengan nama berbeza tetapi falsafah yang sama.

AUKU bukanlah keseluruhannya gagal. Selama lebih lima dekad, akta itu menyediakan asas bagi pemerbadanan, struktur lembaga dan senat, pengurusan aset, kewangan, kontrak, penganugerahan ijazah serta kesinambungan institusi. 

KPT sendiri mengakui AUKU sebagai akta induk bagi penubuhan, pentadbiran dan tadbir urus universiti.

Justeru, pembaharuan yang matang bukan bermaksud memadam seluruh warisan lama. Unsur yang menjamin kepastian undang-undang, integriti kewangan dan kestabilan operasi perlu dikekalkan. 

Yang perlu diubah ialah reka bentuk kuasa, perlindungan hak serta mekanisme pertanggungjawaban yang kurang sesuai dengan cabaran universiti masa kini, khususnya berkaitan kebebasan dan hak warga akademik.

AUTONOMI BERTANGGUNGJAWAB

Pertama, OHEA perlu membina autonomi yang bertanggungjawab. Kerajaan tetap mempunyai tanggungjawab menentukan dasar nasional, memastikan akses pendidikan serta menjaga penggunaan dana awam. Namun, keputusan akademik berkaitan kurikulum, penyelidikan, standard ilmiah dan penganugerahan kelayakan wajar diberikan ruang yang lebih luas kepada senat serta badan akademik yang kompeten.

Pelantikan kepimpinan tertinggi pula perlu berasaskan merit melalui proses yang telus dan bebas daripada konflik kepentingan. AUKU sebenarnya mempunyai jawatankuasa penasihat bagi pelantikan naib canselor. Oleh itu, persoalannya bukan ketiadaan saringan tetapi bagaimana semak dan imbang, keadilan serta ketelusan dapat diperkukuh.

Kedua, kebebasan akademik perlu bergerak daripada budaya ‘minta izin’ kepada hak berkanun yang dilaksanakan secara bertanggungjawab. Peraturan 18 Jadual Kedua, Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605) masih mengehadkan kategori pernyataan awam dan, bagi perkara tertentu, memerlukan kebenaran bertulis Menteri.

Pekeliling KPT 2025 memberikan perkembangan positif melalui kebenaran am kepada staf akademik universiti awam untuk menyampaikan hasil penyelidikan, membincangkan isu dalam bidang kepakaran serta memberikan pandangan profesional terhadap dasar. Namun, perlindungan lebih jelas dalam akta masih diperlukan.

Klausa khas boleh diwujudkan bagi melindungi pengajaran, penyelidikan, penerbitan, perbahasan ilmiah, penilaian rakan sebaya, keterangan pakar dan kritikan dasar berasaskan bukti. Perlindungan ini bukan bermakna kebebasan tanpa batas. Fitnah, pendedahan maklumat terlindung, pemalsuan penyelidikan, konflik kepentingan, gangguan, ancaman dan penyalahgunaan kedudukan tetap perlu dikenakan tindakan.

LINDUNGI WARGA UNIVERSITI

Ketiga, OHEA mesti melindungi manusia yang menghidupkan institusi pendidikan tinggi. Statistik Pendidikan Tinggi 2025 merekodkan 634,706 pelajar di universiti awam, selain 2,125 profesor, 5,738 profesor madya dan 22,436 pensyarah.

Undang-undang baharu wajar mempunyai bahagian khusus mengenai perkhidmatan universiti yang menetapkan prinsip minimum berkaitan pelantikan, pengesahan jawatan, kenaikan pangkat, kontrak, beban kerja, sabatikal, pembangunan profesional, tindakan balas, representasi, rayuan dan keselamatan perkhidmatan.

Kadar gaji serta elaun tidak semestinya ditetapkan dalam akta. Sebaliknya, proses yang adil, telus dan boleh disemak perlu dijamin.

Keempat, autonomi universiti tidak boleh bermaksud kuasa dalaman tanpa semak dan imbang. Institusi mungkin bebas daripada campur tangan luar, tetapi ketidakadilan masih boleh berlaku jika proses dalaman tertutup.

Oleh itu, cadangan mewujudkan Ombudsman Pendidikan Tinggi dan Tribunal Pendidikan Tinggi yang bebas wajar dipertimbangkan. 

Ombudsman boleh menjadi saluran awal bagi aduan salah tadbir, kelewatan serta layanan tidak konsisten melalui mediasi. Sementara tribunal pula boleh mendengar pertikaian serius berkaitan tatatertib, pemecatan, penurunan pangkat, tindakan balas atau kegagalan prosedur.

Namun, tribunal tidak wajar menjadi ‘senat kedua’. Soal merit akademik mesti kekal dalam bidang badan akademik.

Amalan antarabangsa turut menyediakan panduan. Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO)   menghubungkan kebebasan akademik dengan autonomi institusi, tanggungjawab profesional dan perlindungan pekerjaan. 

New Zealand melalui Akta Pendidikan dan Latihan 2020 menjamin kebebasan akademik serta autonomi, sambil menekankan etika dan penggunaan sumber secara bertanggungjawab. 

Sementara Persatuan Universiti Eropah pula mengukur autonomi melalui aspek organisasi, kewangan, perjawatan dan akademik.

Malaysia tidak perlu menyalin bulat-bulat model luar. OHEA mesti mempunyai identiti nasional yang selari dengan Perlembagaan Persekutuan, bahasa kebangsaan, sistem perkhidmatan awam, kepelbagaian universiti serta tanggungjawab kerajaan terhadap dana rakyat.

Namun, lima prinsip wajar menjadi asas iaitu autonomi terukur, kebebasan akademik dilindungi, akauntabiliti telus, keadilan pentadbiran yang boleh dirayu dan kebolehsuaian terhadap cabaran masa hadapan.

OHEA juga perlu kalis masa hadapan. Kecerdasan buatan (AI), data penyelidikan, harta intelek, keselamatan siber dan mikro kelayakan sedang mengubah landskap universiti dengan pantas. 

Akta induk tidak sepatutnya sarat dengan peraturan teknikal yang mudah lapuk. Sebaliknya, perlu menetapkan prinsip, hak dan batas kuasa, manakala peraturan subsidiari boleh disesuaikan mengikut perkembangan semasa.

PERALIHAN MESTI TERJAMIN

Peralihan daripada AUKU kepada OHEA juga perlu dirancang dengan teliti. Status universiti, aset, kontrak, pelantikan, hak pekerja, emolumen, pencen, statut, prosiding tatatertib, tindakan mahkamah dan keputusan akademik sedia ada tidak boleh tergantung apabila akta lama digantikan.

KPT menegaskan proses itu tidak boleh mewujudkan kelompangan perundangan atau mengganggu operasi institusi. Justeru, peruntukan peralihan sama penting dengan cita-cita reformasi.

Proses penggubalan OHEA pula mesti mempunyai legitimasi yang kukuh. Jawatankuasa bebas perlu mendengar pandangan mahasiswa, ahli akademik, pentadbir, persatuan, golongan profesional, industri dan masyarakat sivil secara terbuka. Pilihan dasar, alasan serta kesannya wajar diterbitkan sebelum draf dimuktamadkan.

Akhirnya, Malaysia tidak memerlukan universiti yang bebas daripada akauntabiliti. Pada masa sama, kita juga tidak boleh membina institusi yang hanya bebas untuk bersetuju.

OHEA perlu membentuk hubungan baharu antara kerajaan, universiti dan warga kampus berasaskan satu prinsip mudah iaitu autonomi dengan akauntabiliti, kebebasan dengan tanggungjawab, serta tatatertib dengan keadilan.

Jika falsafah ini diterjemahkan kepada hak, kuasa, semak dan imbang serta remedi yang boleh dikuatkuasakan, pemansuhan AUKU tidak akan sekadar menukar nama undang-undang. 

Sebaliknya, Malaysia berpeluang membina satu kerangka pendidikan tinggi yang benar-benar sesuai untuk zaman kini dan masa hadapan.-UTUSAN

 

PROFESOR Dr. Nuarrual Hilal Md. Dahlan ialah Pensyarah Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM), Ahli Bersekutu (ACIS), Institut Setiausaha dan Pentadbir Bertauliah Malaysia (MAICSA) dan Timbalan Presiden, Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini