ANTARA kewajipan umat Islam ialah mencintai Nabi Muhammad SAW kerana baginda merupakan utusan Allah SWT dan contoh terbaik dalam kehidupan.
Firman Allah dalam Surah al-Ahzab, ayat 21 yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak.”
Justeru, setiap 12 Rabiulawal, umat Islam di seluruh dunia memperingati kelahiran Rasulullah melalui sambutan Maulidur Rasul.
Walaupun sambutan ini tidak dilakukan pada zaman baginda, ia diterima sebahagian ulama sebagai satu bentuk amalan yang baik selagi pengisiannya tidak bercanggah dengan syariat.
Lebih penting, sambutan tersebut menjadi ruang untuk mengenang jasa Rasulullah serta menyuburkan kembali kecintaan kepada insan mulia yang membawa risalah Islam kepada seluruh manusia.
Allah mengutuskan Nabi Muhammad sebagai rahmat kepada sekalian alam. Baginda membawa berita gembira kepada orang beriman, memberikan peringatan kepada mereka yang ingkar serta membimbing manusia menuju kehidupan yang berlandaskan akidah, ibadah dan akhlak mulia.
Ketinggian peribadi Rasulullah turut dijelaskan Saidatina Aisyah RA ketika ditanya mengenai akhlak baginda. Beliau menjawab akhlak Rasulullah adalah al-Quran, sebagaimana diriwayatkan Imam al-Bukhari dan Muslim.
Jelaslah Rasulullah bukan sekadar tokoh sejarah yang dikenang setiap tahun. Baginda ialah teladan yang perlu dicontohi dalam seluruh aspek kehidupan, termasuk cara beribadah, bermasyarakat, memimpin, berkomunikasi dan menyelesaikan perselisihan.
Antara tanda kecintaan kepada Rasulullah ialah memperbanyakkan selawat apabila nama baginda disebut. Allah memerintahkan orang beriman berselawat kepada Nabi sebagaimana dinyatakan dalam Surah al-Ahzab, ayat 56.
Selawat bukan sekadar ungkapan di bibir, sebaliknya menjadi tanda kasih, penghormatan dan rasa syukur terhadap jasa Rasulullah. Pada masa sama, ia mengingatkan umat Islam supaya sentiasa mendekatkan diri kepada ajaran yang dibawa baginda.
Sambutan Maulidur Rasul sewajarnya menjadi kesempatan untuk menyegarkan kembali kecintaan tersebut.
Program seperti perarakan, selawat, marhaban, majlis ilmu dan ceramah hanya akan memberi makna apabila pengisiannya mendorong masyarakat mengenali sirah, memahami sunnah serta mengamalkannya dalam kehidupan.
Dari sudut sejarah, sambutan Maulidur Rasul berkembang dalam dunia Islam pada zaman selepas kewafatan Nabi Muhammad dan kemudiannya menjadi amalan masyarakat Islam di pelbagai negara.
Sebahagian ulama mengharuskannya sebagai wadah mengingati Rasulullah, dengan syarat pengisian tidak mengandungi perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Di Malaysia, sambutan itu lazimnya dilaksanakan secara sederhana dengan penekanan kepada penghayatan sirah, pengukuhan ilmu dan penyuburan ukhuwah.
Maulidur Rasul tidak seharusnya berhenti pada perarakan, sepanduk dan majlis tahunan. Nilai yang dibawa Rasulullah perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian.
Baginda mengajar umatnya supaya berlaku jujur, menunaikan amanah, menghormati orang lain, berlaku adil serta menjauhi permusuhan. Semua nilai tersebut amat diperlukan dalam kehidupan masyarakat hari ini yang berdepan pelbagai cabaran.
Rasulullah wafat pada 12 Rabiulawal 11 Hijrah, namun peninggalan baginda terus menjadi pedoman umat hingga akhir zaman. Al-Quran diturunkan kepada baginda kekal sebagai sumber utama kehidupan, manakala sunnah menjadi panduan dalam memahami dan melaksanakan ajaran Islam.
Dalam keadaan umat Islam hari ini berdepan pelbagai cabaran akidah, sosial, ekonomi dan politik, kembali kepada ajaran Rasulullah menjadi semakin penting. Perbezaan pandangan tidak seharusnya membawa permusuhan, apatah lagi perpecahan yang melemahkan masyarakat.
TELADAN UNTUK PEMIMPIN
Lebih penting, semangat Maulidur Rasul perlu turut dihayati oleh mereka yang memegang amanah kepimpinan.
Ahli politik dan pemimpin masyarakat tidak seharusnya hanya menyeru rakyat supaya mencontohi Rasulullah, sedangkan nilai sama tidak diterapkan dalam cara berpolitik dan mentadbir.
Sirah Rasulullah memperlihatkan kepimpinan yang berteraskan amanah, keadilan, kebijaksanaan dan kasih sayang.
Baginda tidak menggunakan kekuasaan untuk kepentingan peribadi, sebaliknya meletakkan tanggungjawab terhadap umat sebagai amanah yang perlu dipikul dengan penuh kejujuran.
Justeru, pemimpin hari ini perlu menjadikan akhlak Rasulullah sebagai panduan ketika membuat keputusan, berbeza pandangan atau berdepan dengan pihak yang tidak sehaluan. Politik tidak seharusnya menjadi medan mencerca, memfitnah dan memecahbelahkan masyarakat.
Jika nilai kepimpinan Rasulullah benar-benar dihayati, perbezaan politik tidak akan menghapuskan adab, manakala persaingan tidak akan mengorbankan prinsip.
MENGHIDUPKAN SUNNAH
Sambutan Maulidur Rasul perlu menghasilkan perubahan. Ia bukan sekadar mengingatkan umat Islam tentang kelahiran seorang nabi tetapi mengajak menghidupkan sunnah dan akhlak baginda dalam kehidupan.
Kecintaan kepada Rasulullah perlu terlihat melalui cara kita beribadah, berkeluarga, bekerja, bermasyarakat dan menjalankan amanah. Ukuran kecintaan bukan hanya pada seberapa meriah sambutan diadakan tetapi sejauh mana ajaran baginda mempengaruhi perilaku.
Ketinggian pengaruh Rasulullah turut diakui oleh tokoh dunia. Michael H. Hart, menerusi bukunya, The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History yang diterbitkan pada 1978, meletakkan Nabi Muhammad pada kedudukan pertama sebagai tokoh paling berpengaruh dalam sejarah.
Hart menilai kejayaan baginda bukan sahaja dalam agama, malah dalam kepimpinan dan pembentukan masyarakat.
Namun, bagi umat Islam, keistimewaan Rasulullah jauh melampaui pengiktirafan manusia. Baginda ialah utusan Allah, pembawa risalah terakhir dan teladan yang wajib dicintai serta diikuti.
Oleh itu, Maulidur Rasul harus menjadi ruang untuk kita memperbaharui kecintaan kepada Nabi Muhammad, memperkukuh akidah, memperindah akhlak dan merapatkan ukhuwah. Lebih daripada itu, kita perlu membuktikan kecintaan tersebut melalui amalan.
Mengenang Rasulullah bukan sekadar mengingati kelahiran baginda tetapi berusaha menghidupkan ajarannya dalam kehidupan. Itulah makna sebenar mencintai Rasulullah. –UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










