Pindaan undang-undang lindung masa hadapan kanak-kanak

Pindaan undang-undang lindung masa hadapan kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“MENURUT data Internet Watch Foundation yang dilaporkan pada 2025, sebanyak 16,238 Bahan Penderaan Seksual Kanak-Kanak (CSAM) melibatkan kanak-kanak Malaysia direkodkan pada 2024 meningkat lebih 225 peratus berbanding tahun sebelumnya. 

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam Bacaan Kali Kedua Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026, beliau menyatakan dalam tempoh enam bulan pertama 2025 sahaja, sebanyak 12,656 kes ataupun laporan direkodkan. Angka-angka ini menunjukkan ancaman terhadap kanak-kanak bukan lagi terbatas kepada ruang fizikal, malah semakin berkembang dalam persekitaran digital serta Kanak-kanak adalah amanah Tuhan yang suci. Malangnya, dalam realiti dunia yang kian rencam, mereka sering menjadi sasaran paling rentan buat golongan pemangsa seksual. 

Di sebalik pelbagai kerangka perundangan yang sedia ada, penjenayah seksual sentiasa mencari ruang untuk meloloskan diri daripada jerat undang-undang, termasuk dengan memanfaatkan sempadan geografi.

Undian majoriti ahli Dewan Rakyat pada Selasa lalu yang meluluskan RUU berkenaan menandakan satu lagi reformasi perundangan penting dalam melindungi keselamatan kanak-kanak di setiap peringkat, di serata dunia. 

Pindaan terhadap Akta 792 ini bukan sekadar cerminan ketegasan politik tetapi satu mesej jelas bahawa Malaysia tidak akan lagi berkompromi dengan mana-mana individu yang mengeksploitasi golongan kanak-kanak, tidak kira di mana sahaja jenayah itu dilakukan.

Intipati utama dalam pindaan ini adalah perluasan pemakaian undang-undang di bawah Akta 792 ke luar wilayah. 

Sebelum ini, wujud kekangan undang-undang untuk mengheret rakyat dan pemastautin tetap Malaysia yang melakukan jenayah seksual terhadap kanak-kanak di luar negara ke muka pengadilan di dalam negara. 

Dengan pindaan ini, sesiapa sahaja warganegara atau pemastautin tetap Malaysia yang melakukan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak di luar sempadan negara kini boleh disiasat, didakwa dan dihukum di mahkamah Malaysia, seolah-olah jenayah tersebut dilakukan di dalam negara.

Keperluan kepada undang-undang luar wilayah ini bukanlah satu pindaan kosmetik. Sebaliknya langkah progresif ini menutup kelompongan yang sebelum ini membolehkan penjenayah bersembunyi di sebalik pasport antarabangsa. 

Sejarah hitam negara mencatatkan beberapa kes terkemuka penglibatan warga tempatan dalam jenayah pedofilia di luar negara yang amat memalukan dan menyayat hati.

Antara kes yang pernah menggemparkan negara pada 2015 melibatkan seorang pelajar genius matematik tajaan negara yang ditangkap di London. Dia dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah United Kingdom (UK) selepas didapati bersalah memiliki lebih 30,000 imej dan video pornografi kanak-kanak yang ekstrem. 

Kes ini membuka mata masyarakat bahawa kepintaran otak dan masa hadapan yang cerah bukan jaminan seseorang itu bebas daripada penyakit mental pedofilia.

Ada yang membahaskan tindakan universiti tempatan membuka ruang untuk dia pulang menyambung dan menamatkan pelajarannya di Malaysia selepas tempoh pemenjaraannya tamat. Tidak kurang ada yang menyuarakan kebimbangan bagaimana jika dia tidak dipulihkan secara sempurna dan mengulangi tindakan buruknya di Malaysia selepas diberikan peluang kedua?

Rekod jenayah pedofilia rentas sempadan turut mencatatkan kes seorang jurutera kualiti warga Malaysia yang dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 24 sebatan di Singapura.

Dia didapati bersalah atas puluhan pertuduhan salah laku seksual dan merakam perbuatan keji tersebut terhadap puluhan remaja dan kanak-kanak lelaki di republik berkenaan, selain dikesan turut melakukan jenayah sama semasa pulang ke Malaysia.

Pada 2024, sekali lagi Malaysia digemparkan dengan berita penahanan dan sabitan ke atas ahli psikiatrik kelahiran Malaysia yang bertugas di Ireland. 

Dia dijatuhi hukuman pemenjaraan selama lapan tahun kerana melakukan pengantunan dan penderaan seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang merupakan pesakitnya.

Episod-episod hitam seperti ini menuntut sekatan perundangan yang lebih dinamik. Sekiranya mereka terlepas daripada radar sistem keadilan negara luar, heretan undang-undang Malaysia mestilah cukup panjang untuk menangkap dan menghukum mereka sebaik sahaja mereka menjejakkan kaki ke tanah air.

Selain isu luar wilayah, pindaan ini juga amat kritikal dalam mendepani ancaman jenayah seksual digital atau siber. 

Statistik menunjukkan peningkatan mendadak terhadap pemilikan dan perkongsian CSAM dalam talian. 

Pemangsa kini tidak perlu berada secara fizikal di hadapan mangsa, pemerasan digital dan eksploitasi menerusi penstriman langsung menjadi barah baharu.

Melalui pengukuhan Akta 792, pihak berkuasa kini dilengkapi dengan senjata perundangan yang lebih tajam, moden, dan berkesan untuk memburu mereka yang beroperasi di sebalik tabir skrin komputer mahupun rangkaian gelap ‘dark web’.

 

PINDAAN Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak membuktikan komitmen Malaysia memperkukuh perlindungan golongan itu daripada ancaman seksual, termasuk jenayah rentas sempadan dan digital.

 

SISTEM KEADILAN RELEVAN

 

Kelulusan RUU Pindaan 2026 ini wajar dipuji sebagai satu isyarat bagaimana sistem keadilan jenayah negara kekal relevan, segar dan hidup dengan melihatkan perkembangan sosiobudaya masyarakat dunia. 

Ia juga membuktikan komitmen Malaysia dalam memenuhi obligasi antarabangsa di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

Atas sebab itulah undang-undang tidak boleh terus bersifat pasif. Jika penjenayah berjaya mengelakkan pendakwaan di negara tempat jenayah dilakukan, maka undang-undang Malaysia harus memiliki jangkauan kuku tajam yang cukup jauh untuk mengejar mereka sehingga ke pintu masuk negara. 

Tiada siapa harus dibenarkan pulang ke tanah air dengan membawa kebebasan yang dibeli melalui kelemahan bidang kuasa. –UTUSAN

 

PENULIS ialah pengamal undang-undang beramal di Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN