SECARA mudahnya persepsi dapat difahami sebagai proses minda bagaimana kita membaca, mentafsir dan memahami apa yang berlaku di sekeliling kita.
Pada dasarnya, persepsi akan membentuk logik walaupun persepsi itu mungkin tidak semestinya benar.
Contoh, persepsi seseorang terhadap orang yang berserban dan berjubah adalah dianggap seorang yang alim dan warak, namun, ia tidak semestinya benar kerana terdapat ramai yang berimej sedemikian bersifat tidak berakhlak dalam kehidupannya.
Apa pun, persepsi adalah cara pandang seseorang dalam memahami atau menilai suatu objek atau masalah.
Ia adalah hasil proses pemahaman ataupun pemberian makna atas suatu rangsangan terhadap suatu sesuatu objek, peristiwa, informasi yang diproses oleh otak atau minda seseorang.
Kebanyakan persepsi dalam kehidupan manusia lebih menjurus kepada konteks kehidupan sosial.
‘Persepsi sosial’ ini merupakan suatu proses yang terjadi dalam diri seseorang yang bertujuan untuk mengetahui, menginterpretasi dan membuat penilaian ke atas orang, kumpulan atau sesuatu masalah sehingga terbentuknya satu persepsi atau keyakinan tertentu terhadap sesuatu benda, perkara atau peristiwa yang dinilainya itu.
Dalam konteks, ini daya persepsi individu sangat dipengaruhi oleh faktor-faktor tertentu seperti sifat analitikal minda, kredibiliti individu sama ada pembawa cerita (berita) dan penerima berita, sifat ketaasuban, stigma kepercayaan dan sebagainya.
Contohnya, sepohon pokok besar akan diyakini “berhantu” apabila pokok itu tinggi menjulang bercabang-cabang dahannya serta dipenuhi dengan tumbuhan menjalar dan berjuntai-juntai, sementara di sekelilingnya adalah semak samun dan letaknya pula di kawasan pendalaman atau perkuburan yang terpencil.
Cerita pohon berhantu ini akan lebih dipercayai apabila ia disebarkan oleh mereka yang dilihat mempunyai kebolehpercayaan atau kredibiliti yang tinggi dan dihormati dalam masyarakat.
Persepsi yang tidak betul ini berlaku disebabkan minda yang tidak analitikal dan kritikal, sebaliknya wujud kepercayaan membuta tuli.
Ia juga boleh berlaku disebabkan ketaasuban kepada individu, tokoh atau pemimpin tertentu.
Persepsi buruk terhadap sesuatu juga boleh berlaku disebabkan wujudnya stigma tertentu dalam minda seseorang terhadap imej seseorang, kumpulan atau organisasi tertentu.
Demikianlah dalam politik, persepsi sangat berpengaruh dalam membentuk minda pengikut dan masyarakat umum terhadap imej dan kredibiliti seseorang pemimpin atau organisasi politik.

Peperangan menguasai minda melalui ‘persepsi politik’ mampu dijana dengan begitu berkesan dengan menggunakan pelbagai strategi dan saluran, terutamanya melalui ceramah politik, percetakan (risalah, buku, poster dan sebagainya) dan juga penggunaan media sosial secara efektif.
Sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) pada 2008, senario politik tanah air menampakkan satu trend jelas bahawa ‘persepsi politik’ telah dijadikan senjata penting untuk mempengaruhi minda orang ramai.
‘Politik persepsi’ ini sangat kuat digunakan oleh pembangkang ketika itu dalam cubaan mereka memberikan imej buruk terhadap kerajaaan ketika itu.
Kebanyakan persepsi yang dibentuk oleh ahli-ahli politik terbabit sangat mudah dipercayai dan diterima begitu sahaja tanpa meneliti sejauh mana kebenarannya.
Contoh, UMNO yang pada asalnya dilihat sebagai parti induk yang telah banyak berjasa membangun negara dan membela semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum telah dipersepsikan sebagai parti rasis dan rasuah secara berulang-ulang dan konsisten sehingga menyebabkan timbulnya kebencian politik terhadap parti tersebut.
UMNO yang memimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) telah dilihat “hodoh” kerana sudah tersebarnya persepsi buruk yang berjaya dibentuk oleh musuh politiknya dengan menganggapnya sebagai parti dan kerajaan yang penuh dengan rasuah, penyelewengan, kronisme, nepotisme dan menzalimi rakyat yang akhirnya UMNO-BN mengalami nasib yang sangat buruk dalam PRU-15.
Manakala pembangkang pula berjaya membentuk persepsi yang baik di mata rakyat dengan menonjolkan imej sebagai pejuang dan pembela rakyat.
Imej-imej positif yang ditonjolkan oleh pembangkang itu telah berjaya membentuk persepsi yang baik dan indah di mata rakyat.
Apa jua yang dibicarakan oleh pemimpin pembangkang ketika itu dianggap betul dan benar belaka.
Mereka telah berjaya membina dan mempamerkan imejnya sebagai parti yang kononnya membela rakyat, parti yang memerangi rasuah, telus dan pelbagai lagi imej-imej indah yang dicipta melalui persepsi yang ditanamkan dalam minda rakyat.
Kerajaan UMNO-BN terpaksa bergelut untuk membetulkan persepsi buruk yang dibina oleh pembangkang dan ia sesuatu yang sangat sukar kerana imej buruknya di mata rakyat sudah terpahat kuat.
Pembangkang ketika itu sangat berjaya dalam perang persepsi disebabkan mereka tidak ada rekod sebagai pemerintah.
Justeru, imej mereka kelihatan bersih kerana tidak ada rekod kesilapan atau zero defect yang boleh menimbulkan persepsi buruk terhadap mereka.
Itulah kelebihan pembangkang ketika itu yang telah berjaya mempromosikan imej sebagai penentang kemungkaran dan menegakkan yang maaruf yang ternyata berjaya menarik sokongan besar rakyat.
Pembangkang telah berjaya dalam mencapai matlamat perang persepsi, iaitu untuk menawan minda dan psikologi rakyat. ‘Peperangan persepsi’ ini penting untuk mendapatkan sokongan.
Tugas ini perlu dipikul secara komited dan memiliki ilmu psy war yang tinggi.
Selain menyerang pihak lawan, keupayaan membina persepsi yang baik sangat penting supaya rakyat boleh meletakkan kepercayaan kepadanya untuk diangkat sebagai pemerintah.
Inilah yang berjaya dibuat pembangkang ketika itu dengan menabur pelbagai janji reform dan tawaran-tawaran yang memukau rakyat.
Semua janji-janji itu diberi perakuan manis akan dilaksanakan melalui action-oriented yang menekankan pembelaan dan pembaikan terhadap kehidupan rakyat.
Penyebaran bahan-bahan cetakan seperti risalah, buku kecil dan sebagainya bagi tujuan penjelasan diperhebatkan.
Media sosial digunakan secara secara efektif dan agresif untuk tujuan defensif dan ofensif. Selain itu, pujuk, ajak atau pelawa kumpulan sasar secara bersemuka untuk tujuan mendapatkan sokongan orang ramai diperhebat.
Strategi perang persepsi yang tepat dan berkesan amat penting dalam mempengaruhi kemenangan dalam pilihan raya.
Mana-mana parti yang lemah atau memandang ringan ‘peperangan persepsi’ dalam pilihan raya boleh menjadi faktor kepada kekalahan mereka.
Saya bukanlah pentaksub Mao Zedong tetapi ada kata-katanya yang boleh difikirkan oleh pemimpin politik.
Beliau menyebut, “Politik adalah peperangan tanpa darah, dan kalau mana-mana pihak tidak sedar bahawa satu peperangan telah bermula maka terimalah padahnya”. – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










