Kecerdasan buatan perlu berpaksikan nilai

Kecerdasan buatan perlu berpaksikan nilai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA sedang melalui revolusi teknologi yang mungkin lebih besar daripada Revolusi Industri pada suatu ketika dahulu.

Kecerdasan buatan (AI) sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian. AI membantu doktor mengesan penyakit, menyokong guru menyediakan bahan pembelajaran, memudahkan penyelidik menganalisis data, membantu kerajaan merancang dasar dan menentukan kandungan yang muncul di media sosial.

Persoalannya bukan lagi sama ada kita perlu menggunakan AI atau tidak kerana teknologi itu sudah berada di sekeliling kita. Cabaran sebenar ialah memastikan perkembangannya terus memberi manfaat kepada manusia.

Kemajuan teknologi lazimnya diukur melalui kelajuan, ketepatan dan keupayaan sistem memproses maklumat. Namun, sejarah membuktikan sesuatu ciptaan tidak semestinya membawa kebaikan jika manusia menggunakannya tanpa nilai dan etika.

Ini kerana tknologi yang hebat boleh membawa kepada ketidakadilan, diskriminasi serta penyalahgunaan kuasa apabila manusia mengabaikan tanggungjawab moral.

Justeru, perbincangan mengenai AI tidak boleh hanya tertumpu kepada algoritma, data dan keupayaan pengkomputeran. Kita juga perlu memberi perhatian kepada amanah, keadilan, ihsan dan tanggungjawab.

AI yang canggih tidak semestinya menghasilkan keputusan yang bijaksana. Sebaliknya, kecerdasan teknologi perlu bergerak seiring dengan kebijaksanaan manusia.

Dalam pembangunan AI arus perdana, kecekapan, automasi, produktiviti dan keuntungan sering menjadi ukuran kejayaan. Namun, beberapa persoalan asas perlu diberi perhatian. Adakah keputusan yang dihasilkan benar-benar adil? Adakah sistem tersebut menghormati maruah manusia? Adakah algoritma bebas daripada berat sebelah? Adakah manfaat teknologi dapat dinikmati oleh seluruh masyarakat?

Persoalan inilah yang mendorong kemunculan konsep Kecerdasan Buatan Tawhidik. Pendekatan ini melihat AI bukan sekadar inovasi teknologi tetapi amanah yang perlu dibangunkan berlandaskan prinsip Tauhid.

Dalam Islam, ilmu tidak terpisah daripada nilai. Allah SWT mengurniakan ilmu kepada manusia dan mengamanahkan mereka sebagai khalifah untuk menggunakannya demi kebaikan serta kemakmuran bumi.

Kerangka Tawhidik menekankan beberapa nilai utama. Amanah memastikan data diurus secara bertanggungjawab. Keadilan pula menuntut supaya algoritma tidak mendiskriminasikan individu atau kelompok tertentu. Ihsan mengingatkan yang teknologi sepatutnya meningkatkan kualiti kehidupan, manakala prinsip Rahmatan lil-‘Alamin menuntut manfaat AI disebarkan kepada seluruh manusia tanpa mengira latar belakang.

Dalam kerangka ini, AI bukan matlamat akhirtetapi alat untuk mencapai kesejahteraan. Kita tidak seharusnya hanya berlumba menghasilkan sistem yang semakin pintar. Kita perlu membangunkan teknologi yang semakin beramanah.

Sebagai pengamal pergigian restoratif dan ahli akademik, saya melihat sendiri bagaimana AI mengubah landskap penjagaan kesihatan. Teknologi ini mampu membantu mengesan karies melalui radiograf, mengenal pasti lesi kanser mulut pada peringkat aw

KECERDASAN buatan (AI) perlu dipandu oleh amanah, etika dan nilai kemanusiaan.

al, merancang rawatan ortodontik, menganalisis imej Tomografi Komputer Berkas Kon (CBCT) serta membantu membuat ramalan berdasarkan data klinikal.

 

 

AI PERLU AMANAH

 

Di Kulliyyah Pergigian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), penyelidikan berkaitan AI turut berkembang dalam bidang pengesanan karies, patologi oral, radiologi, analisis imej dan pergigian restoratif digital.

Namun, sebagai doktor, saya sentiasa mengingatkan diri bahawa AI hanyalah pembantu, bukannya pengganti kepada pertimbangan klinikal. AI mungkin mampu mengenal pasti lesi pada radiograf dengan pantas tetapi tidak memahami kebimbangan seorang ibu terhadap kesihatan anaknya.

Sistem tersebut juga boleh mencadangkan rawatan berdasarkan kebarangkalian kejayaan tetapi tidak memahami kemampuan kewangan pesakit atau ketakutan seorang warga emas yang bakal kehilangan gigi terakhir.

Penjagaan kesihatan tidak hanya bergantung kepada data. Ia memerlukan empati, komunikasi, kebijaksanaan dan amanah.

Dalam bidang perubatan serta pergigian, doktor tetap bertanggungjawab terhadap keputusan klinikal yang dibuat. Justeru, AI harus memperkukuh kebijaksanaan manusia, bukan menggantikan nilai kemanusiaan.

Sebagai universiti Islam bertaraf antarabangsa, UIAM melihat AI sebagai ruang untuk mengintegrasikan ilmu, wahyu dan kemanusiaan. Atas aspirasi tersebut, universiti menubuhkan Pusat Pengajian Kecerdasan Buatan Tauhidik (CTAIS) sebagai inisiatif strategik untuk menerajui pembangunan AI berteraskan etika, nilai dan epistemologi Tawhid.

Penubuhan CTAIS mencerminkan hasrat UIAM untuk menjadi pusat rujukan antarabangsa dalam pembangunan AI yang mengutamakan etika, tadbir urus baik dan nilai kemanusiaan.

Ketika dunia berlumba menghasilkan AI yang semakin pantas dan berkuasa, UIAM mahu memberi perhatian kepada persoalan yang lebih mendasar, bagaimana memastikan kemajuan teknologi terus memelihara maruah insan dan menegakkan keadilan.

Melalui CTAIS, kepakaran daripada bidang teknologi, perubatan, pergigian, kejuruteraan, syariah, undang-undang, kemanusiaan dan sains sosial dapat digabungkan bagi membentuk ekosistem AI yang bukan sahaja canggih, malah kukuh dari segi etika mahupun tanggungjawab.

Cabaran terbesar masa depan bukan sekadar menghasilkan AI yang lebih pintar tetapi membentuk generasi yang bijaksana dalam menggunakannya. Mahasiswa tidak memadai hanya menguasai aplikasi seperti ChatGPT, membina model AI atau mereka bentuk algoritma kompleks. Mereka juga perlu memahami batas teknologi, menilai maklumat secara kritis serta mengetahui ketika pertimbangan moral perlu mengatasi cadangan algoritma.

Pendidikan yang baik bukan sekadar melahirkan profesional celik teknologi. Kita perlu membentuk insan yang mampu menggunakan inovasi sebagai alat untuk berkhidmat kepada masyarakat, memelihara maruah manusia dan menunaikan amanah sebagai khalifah.

Dalam dunia perubatan, terdapat satu prinsip penting, iaitu Primum Non Nocere atau “Pertama, jangan mendatangkan mudarat”. Prinsip ini mengingatkan pengamal kesihatan supaya setiap tindakan membawa manfaat dan mengelakkan kemudaratan.

Prinsip yang sama wajar menjadi asas pembangunan AI. Tidak semua perkara yang mampu dilakukan oleh teknologi semestinya wajar dilaksanakan. Setiap inovasi perlu dinilai berdasarkan kesannya terhadap maruah insan, keadilan, hak asasi dan kesejahteraan generasi akan datang.

AI mungkin mampu memproses jutaan data dalam beberapa saat, membuat ramalan serta mencadangkan penyelesaian kompleks. Namun, teknologi tidak memiliki hati nurani, ihsan, kasih sayang atau hikmah. Nilai tersebut tetap menjadi tanggungjawab manusia.

Inilah semangat yang ingin dibawa UIAM melalui CTAIS. Aspirasi ini bukan sekadar melahirkan inovasi AI, tetapi membentuk paradigma yang menggabungkan kecanggihan teknologi dengan nilai Tawhid, maqasid syariah dan etika sejagat.

Malaysia berpotensi bukan sahaja menjadi pengguna atau pembangun AI, malah peneraju dalam membentuk model AI beramanah yang dipandu oleh hikmah, berteraskan tanggungjawab dan mengutamakan kesejahteraan manusia.

Akhirnya, matlamat kita bukan sekadar membina AI tetapi membentuk Kecerdasan Buatan Tauhidik yang mampu menggabungkan kecerdasan dengan amanah.

AI dapat menjadi alat yang membawa rahmat kepada manusia dan seluruh alam apabila teknologi dipandu nilai.-UTUSAN

 

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Haikal Muhamad Halil ialah Dekan Kulliyyah Pergigian, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN