Gaza bakal jadi Tebing Barat 2.0?

Gaza bakal jadi Tebing Barat 2.0?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGUMUMAN Hamas baru-baru ini untuk membubarkan Jawatankuasa Kecemasan Kerajaan dan menyerahkan pentadbiran awam semenanjung Gaza kepada jawatankuasa baharu telah mengejutkan banyak pihak.

Peralihan kuasa kepada Jawatankuasa Kebangsaan untuk Pentadbiran Gaza (NCAG), sebuah badan yang dianggotai pakar dan teknokrat telah membawa pelbagai tafsiran.

Di mata pengkritik, keputusan ini mungkin dilihat sebagai tanda Hamas akhirnya tunduk kepada tekanan.

Namun, jika diteliti secara mendalam, ia sebenarnya satu anjakan paradigma politik, strategi dan percaturan geopolitik berisiko tinggi yang dirangka demi kelangsungan hidup rakyat Palestin.

KETIKA ini, rejim Zionis dilaporkan telah memperluas penjajahan mereka dengan mengawal hampir 70 peratus wilayah Gaza.

Konteks peralihan ini tidak boleh dipisahkan daripada pelan damai yang dibawa oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Oktober 2025.

Sejak itu, pelaksanaan gencatan senjata sering menemui jalan buntu, terutamanya untuk beralih kepada fasa kedua pelan tersebut yang menuntut pengunduran tentera rejim Israel secara menyeluruh dari Gaza.

Persoalannya, apakah implikasi jangka panjang langkah berani Hamas ini terhadap masa depan Palestin?

Membuka Laluan Kemanusiaan, Melenyapkan Dalih Israel
Selama ini, status Hamas sebagai kerajaan de facto di Gaza telah dijadikan alasan utama oleh Israel untuk membedil infrastruktur awam, hospital dan sekolah dengan alasan kononnya mahu menghapuskan pusat pentadbiran musuh.

Di peringkat antarabangsa pula, dana pembinaan semula terutamanya daripada negara-negara Teluk dan Barat sering tersekat kerana dasar mereka yang enggan berurusan dengan Hamas.

Kini, ketika NCAG yang dipimpin oleh ahli teknokrat seperti Ali Shaath mengambil alih pentadbiran, komuniti antarabangsa tidak lagi mempunyai alasan untuk menyekat dana bantuan.

Lebih strategik, seperti yang ditegaskan oleh jurucakap Hamas, Hazem Qassem, langkah ini secara rasminya melenyapkan segala helah dan dalih Israel untuk meneruskan kempen penghapusan etnik ke atas rakyat Palestin.

Jerat Geopolitik dan Kebuntuan Fasa Kedua
Dengan melepaskan tadbir urus awam, Hamas sebenarnya meletakkan tekanan dan beban tindakan sepenuhnya di bahu Israel.

Ketika ini, rejim Zionis dilaporkan telah memperluas penjajahan mereka dengan mengawal hampir 70 peratus wilayah Gaza, sekali gus menjadi punca utama mengapa peralihan ke fasa kedua terbantut.

Selama bertahun-tahun, rejim Zionis bersembunyi di sebalik naratif ‘Hamas mesti ditumbangkan’. Kini, pentadbiran awam Hamas sudah tiada.

Jika Israel terus melengahkan pengunduran tentera, masyarakat dunia akan melihat dengan jelas bahawa matlamat sebenar rejim Zionis bukanlah tentang jaminan keselamatan, sebaliknya penjajahan dan pengilhakan wilayah semata-mata.

Dilema Pelucutan Senjata
Walau bagaimanapun, risiko keputusan ini tidak boleh dipandang sepi. Walaupun Hamas melepaskan pejabat pentadbirannya, namun keputusan tersebut tidak melibatkan sayap tentera mereka.

Hamas kekal bertegas untuk tidak meletakkan senjata selagi sebuah pentadbiran baharu Palestin yang merdeka tidak ditubuhkan sepenuhnya.

Di sinilah wujudnya titik pertembungan. Ketua Pengarah Lembaga Keamanan (BOP), Nickolay Mladenov menegaskan bahawa peralihan ini harus disusuli dengan pelucutan senjata Palestin dan pengunduran Israel.

Namun, sejarah membuktikan bahawa rejim Zionis tidak pernah gagal dalam memungkiri janji.

Permintaan untuk sebuah bangsa yang dijajah melucutkan senjata sebelum tentera penjajah berundur adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan bercanggah dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Situasi ini meletakkan NCAG di posisi yang rapuh. Tanpa kuasa pertahanan, bagaimana kerajaan awam ini mahu melindungi rakyatnya jika tentera rejim Israel memutuskan untuk mengingkari perjanjian damai?

Impak Jangka Panjang: Mengelak Sindrom ‘Tebing Barat 2.0’
Kesan jangka panjang terhadap landskap politik Palestin secara keseluruhannya amat membimbangkan. Risiko terbesar bagi Gaza pada masa hadapan ialah ia perlahan-lahan diubah menjadi ‘Tebing Barat 2.0’.

Di Tebing Barat, Pihak Berkuasa Palestin (PA) diiktiraf sebagai kerajaan awam yang sah, manakala kumpulan penentang telah lama dilucutkan kuasa secara berperingkat.

Hasilnya? Tentera Israel hari ini bebas keluar masuk, membina penempatan haram baharu dan menahan warga Palestin sesuka hati kerana ketiadaan entiti penentangan yang mampu menjadi benteng pertahanan seimbang.

Jika komuniti antarabangsa terus gagal memberikan tekanan yang bermakna agar Israel berundur dari Gaza, segala janji pembangunan semula tidak lebih daripada retorik semata-mata.

Rakyat wilayah Gaza mungkin hanya dipindahkan daripada sisa runtuhan perang ke sebuah penjara terbuka yang dinaik taraf.

Mereka akan hidup di bawah ilusi autonomi yang ditadbir oleh entiti Palestin yang tidak bergigi, namun hakikatnya terus dikepung dan dikawal ketat oleh muncung senapang Israel.

Namun, keamanan sebenar tidak akan tercapai semata-mata melalui pertukaran kerajaan tempatan di Gaza. Komuniti antarabangsa kini memikul tanggungjawab moral yang sangat besar.

Kini, tekanan tidak lagi seharusnya berkisar tentang memaksa warga Palestin meletakkan senjata, tetapi sejauh mana dunia berani memaksa rejim Israel mematuhi undang-undang antarabangsa dan berundur sepenuhnya dari tanah berdarah Gaza. – UTUSAN

NUR Hasya Hasshim ialah Eksekutif Penyelidikan dan Advokasi, Persatuan Cinta Gaza Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN