MUKADIMAH
SEJAK 1962, Liga Muslim Sedunia (MWL) berusaha untuk membina persefahaman dalam kalangan umat Islam dan menjawab segala persoalan kepada salah faham yang timbul terhadap Islam.
Usaha ini diteruskan oleh SHEIKH DR. MOHAMMAD ABDUL KARIM AL-ISSA sejak beliau memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung MWL pada 2016.
Ikuti temubual beliau bersama wartawan Utusan Malaysia, OMAR ZIN dan jurufoto FARIZ RUSADIO sewaktu beliau menghadiri Persidangan Ulama Asia Tenggara Ke-4 baru-baru ini.
UTUSAN: Umat Islam banyak berdepan dengan pandangan yang berbeza dalam pelbagai isu sehingga boleh mengundang kepada perpecahan. Apa yang boleh dilakukan oleh MWL untuk menangani perkara ini?
SHEIKH DR. MOHAMMAD: MWL berusaha untuk menyatukan pendirian umat Islam mengenai isu-isu utama yang kita semua kongsi dan hadapi ketika ini terutamanya dalam topik yang berkaitan dengan kepakaran para ulama dan di mana mereka boleh menyumbang secara positif.
MWL merupakan organisasi antarabangsa yang bebas dan ia adalah organisasi yang mempunyai para sarjana Islam, pemikir dan anak muda Islam dan MWL berusaha dalam misi ini dan cuba mencapai lebih banyak lagi dalam hal ini di negara-negara Islam dan juga di negara-negara di mana umat Islam hidup sebagai minoriti. MWL mahu meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk Islam dan juga menyedarkan anak muda daripada idea-idea negatif.
Apa yang dilakukan oleh MWL untuk menangani idea-idea negatif ini?
Salah satu matlamat MWL adalah untuk menunjukkan imej Islam yang sebenar dan juga menjawab sebarang kekaburan mengenai Islam dan juga sebarang salah tanggapan yang ada dengan menjawab soalan-soalan dalam hal ini dan juga menjawab sebarang salah tanggapan yang timbul kerana kejahilan dan kami menanganinya dengan kebijaksanaan.
Kami menjawab dan menangani isu-isu tersebut sama ada melalui ruang siber atau menyampaikan kuliah atau menghadiri mesyuarat di badan pemikir di seluruh dunia.
Kami telah menyampaikan kuliah di universiti-universiti paling berprestij di seluruh dunia dan membincangkan tentang dua piagam, iaitu Piagam Mekah dan piagam membina jambatan antara mazhab dan aliran pemikiran Islam. Piagam Mekah disyorkan dan diiktiraf oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk digunakan dalam institusi pendidikan, budaya dan juga institusi keagamaan negara-negara tersebut.
Adakah MWL bergerak sebagai badan pemikir sahaja atau juga turun padang bertemu dengan orang ramai?
MWL juga banyak menjalankan misi kemanusiaan dan menghulurkan bantuan di seluruh dunia. Dalam misi ini, kami tidak membezakan berdasarkan kepercayaan agama atau berdasarkan etnik.
MWL telah bekerjasama dalam projek kemanusiaan dengan organisasi antarabangsa dari seluruh dunia, sama ada organisasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau kerajaan tempatan di mana kerja-kerja kemanusiaan ini dijalankan.
Sheikh telah menjadi Setiausaha Agung MWL sejak 2016. Dalam tempoh 10 tahun ini, kita telah melihat begitu banyak perkara berlaku seperti peperangan, isu Islamofobia dan juga ekstremisme, bagaimana MWL tangani isu-isu ini?
Sejak 10 tahun lalu, kami telah berusaha menyebarkan mesej kami dan nilai-nilai MWL di dalam dunia Islam dan juga di luar dunia Islam untuk memerangi kebencian dan khususnya Islamofobia.
Untuk melakukan perkara ini, kami menggunakan soft power dan ini pendekatan yang paling berkesan untuk menangani isu-isu sedemikian kerana ia adalah cara Nabi Muhammad SAW.
Salah satunya adalah Piagam Mekah dan ia diperkenalkan pada 2019, bagaimana dengan penerimaannya?
Piagam Mekah telah ditandatangani oleh 1,200 mufti Muslim dan cendekiawan Muslim dari seluruh dunia serta lebih daripada 4,500 pemikir Islam telah menandatangani dokumen ini.
Kami telah membentangkan dokumen ini kepada negara-negara di mana umat Islam hidup sebagai minoriti dan penganut agama lain mengalu-alukannya kerana ia mengandungi banyak nilai kemanusiaan.
Piagam ini menyatakan pandangan agama kita melalui renungan para cendekiawan negara-negara Islam mengenai isu-isu yang mendesak di dunia ini dan masih ada isu-isu yang belum dapat diselesaikan pada masa lalu dan memerlukan resolusi yang Islamik untuk menanganinya.
Sebagai contoh, resolusi dan konsensus yang terhasil melalui Piagam Mekah ini datangnya dari kiblat umat Islam, iaitu arah yang mereka hadapkan dalam solat iaitu kota suci Mekah. Di sanalah mereka berkumpul untuk merangka dokumen ini.
Ia merupakan dokumen yang sangat komprehensif yang menyatukan umat Islam dan tiba tepat pada saat ia diperlukan.
Jadi, jawapan kepada persoalan-persoalan yang timbul ketika ini sudah diketahui umum. Tetapi seperti yang saya katakan, mereka memerlukan konsensus untuk menjawab soalan-soalan ini.
Bagaimana dengan usaha MWL terhadap negara bukan Islam dan penganut agama bukan Islam?
MWL telah menerbitkan dua piagam, satu mengenai intra-agama yang berada dalam agama Islam. Bagi pengikut agama lain, kami juga telah menerbitkan pelbagai piagam, dokumen dan mengadakan inisiatif mengenai perkara ini.
Antaranya ialah inisiatif membina jambatan antara Timur dan Barat, yang telah kami lancarkan di ibu pejabat PBB di New York, di bawah kepimpinan ahli Parlimen, ahli akademik, wakil komuniti agama dan budaya dan sektor masyarakat yang lain.
Kami juga telah menerbitkan dokumen atau inisiatif untuk menyuntik minda golongan muda di seluruh dunia di ibu pejabat PBB di Geneva, usaha ini juga diteruskan di PBB di Kenya.
Kami juga telah melancarkan inisiatif mengenai golongan belia dan kami telah bekerjasama dengan pemimpin muda di sana daripada pelbagai latar belakang agama dan kami akan teruskan dengan projek-projek lain. – UTUSAN







