Analisis syariah pemulihan Tabung Haji

Analisis syariah terhadap pemulihan Tabung Haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebagai sebuah institusi kewangan yang unik dan dekat dengan masyarakat Islam, Tabung Haji (TH) sering berdepan dengan wacana awam yang cenderung mengaitkan isu-isu kompleks melibatkan institusi ini dengan perdebatan politik.

Islam menyeru kita untuk menegakkan ’adl (keadilan), amanah dan maslahah (kepentingan awam) dalam setiap aspek tadbir urus. Prinsip-prinsip ini menawarkan piawaian yang jauh lebih baik untuk menilai prestasi TH berbanding sebarang pertimbangan atau skor politik.

Dalam suasana hari ini, apabila persaingan politik semakin sengit, sikap objektif sering kali dilihat sebagai slogan yang lebih mudah diungkapkan daripada dilaksanakan. Institusi awam semakin terperangkap dalam naratif berpihak apabila pencapaiannya, sama ada kekuatannya atau kelemahannya dinilai melalui lensa politik, bukannya berdasarkan kepentingan awam yang lebih meluas atau kemaslahatan ummah secara keseluruhannya.

Namun begitu, sebagai umat Islam, pandangan kita tidak seharusnya dibentuk semata-mata melalui pertimbangan politik. Dalam menilai institusi seperti TH, fokus utama bukanlah soal siapa yang patut menerima pujian atau dipersalahkan, tetapi fokusnya ialah sama ada amanah kepada rakyat telah dilaksanakan dengan sebaik-baiknya selaras dengan matlamat penubuhannya.

Bagi TH, amanah tersebut terletak pada lebih 9.7 juta pendeposit yang telah menaruh kepercayaan kepada institusi ini selama bertahun-tahun bagi memenuhi salah satu tuntutan utama dalam Islam. Justeru, kepentingan mereka serta kemampanan institusi yang mengurus dan melindungi simpanan mereka hendaklah sentiasa menjadi keutamaan, mengatasi sebarang pertimbangan politik.

Dari perspektif Maqasid al-Syariah (matlamat syariah), pemeliharaan harta (hifz al-mal) merupakan antara objektif utama syariah. Institusi yang diamanahkan menguruskan simpanan jutaan umat Islam sewajarnya dinilai berdasarkan keupayaannya melindungi dana, mengurus risiko secara berhemat dan memastikan kemampanan jangka panjang. 

Transformasi Tadbir Urus dan Daya Tahan Kewangan

Integriti kewangan merupakan asas kepada tadbir urus yang unggul bagi mana-mana institusi. Tuntutan ini menjadi lebih signifikan bagi institusi seperti TH yang diamanahkan menguruskan simpanan ummah.

Berdasarkan rekod yang diumumkan oleh TH, jurang antara aset dan liabiliti yang mula dikenal pasti pada tahun 2015 susulan surat teguran daripada Bank Negara Malaysia (BNM), telah meningkat kepada kira-kira RM10 bilion menjelang tahun 2018. 

Keadaan ini membawa kepada pelaksanaan penstrukturan semula aset dan liabiliti TH, termasuk langkah pemindahan aset berprestasi rendah bernilai RM9.7 bilion kepada Kerajaan Malaysia menerusi Urusharta Jemaah Sdn. Bhd., sebuah entiti milik Menteri Kewangan (Diperbadankan), sebagai pertukaran kepada penerbitan sukuk bernilai RM19.6 bilion serta wang tunai sebanyak RM300 juta.

Langkah pemulihan tersebut kemudiannya mula memperlihatkan hasil yang memberangsangkan. Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain yang menerajui TH sejak Disember 2023, menyatakan bahawa kunci kira-kira institusi itu kini “telah dibersihkan”, di samping berjaya membina semula rizab kewangannya buat pertama kali dalam tempoh tiga tahun.

Sehingga 2025, jumlah aset TH mencecah RM98.58 bilion berbanding liabiliti sebanyak RM95.63 bilion, sekali gus mencerminkan kedudukan kewangan yang jauh lebih kukuh berbanding jurang hampir RM10 bilion yang direkodkan pada 2018. Reformasi ini bukan sekadar menggambarkan pemulihan kewangan, malah mencerminkan usaha menunaikan amanah dalam memelihara simpanan para pendeposit. Dalam kerangka tadbir urus Islam, akauntabiliti merupakan tanggungjawab yang tidak boleh dikompromi kerana kepercayaan hanya dapat diperkukuh melalui amalan tadbir urus yang telus dan berkesan.

Memperkukuh Kualiti Pelaburan

Islam menggalakkan pengurusan harta secara produktif berlandaskan prinsip syariah, termasuk mengelakkan risiko yang berlebihan serta unsur spekulasi yang tidak wajar. Pada masa yang sama, sesuatu pelaburan tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan pulangan jangka pendek, tetapi juga pada keupayaannya mewujudkan nilai yang mampan dalam jangka panjang.

Pendapatan pelaburan TH mencatatkan rekod tertinggi sebanyak RM4.64 bilion pada 2025, meningkat daripada RM4.56 bilion pada 2024. Pencapaian ini disokong oleh persekitaran ekonomi domestik yang lebih stabil serta pelaksanaan strategi pelaburan yang berdisiplin.

Dari segi komposisi aset, instrumen pendapatan tetap merangkumi 53% daripada keseluruhan portfolio, diikuti ekuiti sebanyak 35%, manakala selebihnya ditempatkan dalam sektor hartanah dan instrumen pasaran wang. Struktur ini mencerminkan pendekatan pengurusan yang berhemat dan bertanggungjawab, selaras dengan prinsip-prinsip syariah.

Pada akhirnya, keberkesanan tadbir urus pelaburan tidak hanya diukur melalui prestasi semasa, tetapi juga melalui keupayaannya mengekalkan daya tahan serta menjana nilai yang mampan untuk jangka panjang.

 Menyalurkan Pulangan yang Mampan

Para pendeposit sememangnya mengharapkan pulangan yang adil terhadap simpanan mereka. Namun, prinsip kewangan Islam turut menekankan keseimbangan antara manfaat semasa dengan kemampanan jangka panjang melalui pendekatan yang sederhana dan berhemah.

Dasar agihan keuntungan TH mencerminkan pendekatan seimbang tersebut. Kadar agihan keuntungan meningkat secara berperingkat daripada 1.25% bagi tahun kewangan2018 kepada 3.05% bagi tahun kewangan 2019, sebelum kekal pada 3.10% bagi tahun kewangan 2020 hingga tahun kewangan 2023. Kadar ini kemudiannya meningkat kepada 3.25% bagi tahun kewangan 2024 dan seterusnya kepada 3.50% bagi tahun kewangan 2025, iaitu kadar tertinggi yang diumumkan dalam tempoh lapan tahun.

Jumlah keseluruhan agihan bagi tahun kewangan 2025 mencapai RM3.22 bilion, memberi manfaat kepada lebih 9.7 juta pendeposit, berbanding RM2.92 bilion yang diagihkan kepada 9.54 juta pendeposit pada tahun sebelumnya.

Selain itu, TH turut menunaikan zakat bagi pihak pendeposit pada kadar 2.577%, berjumlah RM95.3 juta, sekali gus memudahkan pendeposit dan melepaskan mereka daripada tanggungjawab mengira dan membayar zakat simpanan secara berasingan. Pendekatan ini menunjukkan bahawa pertumbuhan yang mampan bukan sahaja memberi manfaat kepada pendeposit masa kini, malah turut memelihara kepentingan generasi akan datang.

Memelihara Kemampuan Kos Menunaikan Haji

Kos menunaikan ibadah haji terus meningkat di peringkat global, didorong oleh pelbagai faktor seperti inflasi, perubahan kadar pertukaran mata wang asing serta peningkatan kos operasi di Tanah Suci.

Walaupun berdepan tekanan kos yang semakin mencabar, TH berjaya mengekalkan kos keseluruhan haji bagi jemaah Muassasah pada RM33,300 selama tiga musim berturut-turut, iaitu dari 1445H/2024M hingga 1447H/2026M.

Bagi jemaah B40 yang menunaikan haji buat kali pertama, jumlah bayaran yang perlu ditanggung ialah RM15,000, bersamaan 45% daripada kos penuh, selepas mengambil kira Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) sebanyak RM17,300 daripada TH serta bantuan Kerajaan sebanyak RM1,000. Sementara itu, jemaah M40 membayar RM23,500 selepas menerima bantuan TH sebanyak RM9,800.

Menariknya, terdapat juga jemaah B40 yang memilih untuk membayar kos penuh walaupun mereka layak menerima HAFIS. Sikap ini mencerminkan pemahaman jemaah yang lebih mendalam terhadap konsep istito’ah, iaitu kemampuan menunaikan haji yang merangkumi aspek kewangan serta kesediaan peribadi untuk melaksanakan ibadah tersebut.

Dari perspektif syariah, konsep istito’ah merupakan prinsip penting yang perlu dipelihara. Ibadah haji menuntut kemampuan yang diusahakan oleh setiap Muslim berdasarkan keupayaan masing-masing, termasuk dari sudut kewangan. Oleh itu, para pendeposit wajar digalakkan membuat perancangan awal dan membina simpanan secara berdisiplin bagi tujuan menunaikan haji, di samping memastikan bantuan yang disediakan dapat diagihkan secara adil dan mampan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Bagi musim haji 1447H/2026M, TH telah memperuntukkan RM210 juta bagi bantuan bersasar ini. Dari sudut maslahah, usaha mengekalkan akses kepada ibadah haji, khususnya bagi golongan B40 dan M40, mencerminkan satu bentuk kemaslahatan awam yang signifikan.

Mengejar Kecemerlangan dalam Perkhidmatan

Islam menekankan konsep ihsan, iaitu komitmen untuk mencapai kecemerlangan dalam setiap amanah dan tanggungjawab yang dipikul.

Usaha TH dalam mempertingkatkan perkhidmatan kepada jemaah serta kecemerlangan operasinya telah mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menganugerahkan TH Anugerah Labaytum Diamond, iaitu pengiktirafan tertinggi dalam program tersebut, pada tahun 2025 dan 2026.

Pencapaian ini menjadikan TH penerima anugerah tersebut sebanyak dua kali, di samping meraih lima Anugerah Labaytum sejak program itu diperkenalkan pada 2023.

Pengiktirafan ini bukan sahaja mencerminkan keupayaan operasi TH dalam menguruskan perkhidmatan haji, malah turut memperkukuh reputasi Malaysia sebagai antara negara yang memiliki sistem pengurusan jemaah haji yang dihormati di peringkat antarabangsa.

Kepimpinan Profesional dan Kebebasan Institusi

Institusi yang kukuh memerlukan kepimpinan yang berwibawa, berintegriti dan berasaskan keupayaan profesional. Pelantikan yang dibuat berdasarkan kompetensi, pengalaman dan amanah, tanpa dipengaruhi kepentingan politik yang tidak wajar, mampu memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan keyakinan awam.

Prinsip ini selari dengan ajaran Islam yang menegaskan bahawa sesuatu amanah hendaklah diberikan kepada mereka yang memiliki ilmu, kemampuan dan sifat bertanggungjawab. Institusi yang diwujudkan untuk berkhidmat kepada ummah perlu terus mendahulukan kepentingan umum agar manfaatnya dapat dinikmati secara adil dan saksama oleh seluruh masyarakat Islam.

Dalam mana-mana sistem demokrasi, perdebatan politik merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Namun, institusi yang diwujudkan demi memenuhi kepentingan rakyat tidak seharusnya dijadikan medan persaingan politik sehingga menjejaskan fungsi dan matlamat asalnya.

Dari perspektif syariah, tanggungjawab masyarakat adalah untuk menilai sesuatu institusi secara adil berdasarkan prinsip keadilan, amanah, pemeliharaan harta serta kesejahteraan bersama. Pengiktirafan wajar diberikan apabila sesuatu usaha mencapai kejayaan, manakala ruang penambahbaikan perlu diteruskan secara konstruktif dan berasaskan fakta. Kemajuan yang dicapai harus diakui secara objektif, sementara kelemahan yang masih wujud perlu ditangani dengan sikap terbuka dan bertanggungjawab.

Pada akhirnya, kejayaan TH tidak seharusnya diukur melalui lensa naratif politik, tetapi berdasarkan sejauh mana institusi ini melaksanakan amanah untuk melindungi simpanan lebih 9.7 juta pendeposit, memudah cara pelaksanaan ibadah haji serta memelihara sebuah institusi Islam yang penting untuk generasi akan datang.

Masyarakat Malaysia wajar menilai TH bukan berdasarkan siapa yang paling berjaya meraih sokongan politik, tetapi berdasarkan sejauh mana institusi tersebut memenuhi tanggungjawab terhadap mereka yang telah meletakkan kepercayaan kepadanya. Dalam hal ini, fakta hendaklah menjadi ukuran utama, bukan retorik. Itulah pendekatan yang paling memberi manfaat kepada TH dan, yang lebih penting, kepada kepentingan ummah.

Piawaian yang sama juga wajar digunakan dalam menilai institusi ini serta barisan kepimpinannya.

Apabila institusi dinilai berasaskan fakta, tadbir urus dan amanah, bukannya sentimen politik, barulah kepentingan ummah benar-benar dapat dipelihara.

 Dr. Mohamed Hadi bin Abd Hamid ialah penasihat syariah bertauliah dan perancang kewangan Islam 

Dr. Mohd Zahid Md Zabri ialah Felo Penyelidik, Pusat Ekonomi Islam, Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN