TIDAK dapat dinafikan, Malaysia berdepan ketidaktentuan ekonomi global dan krisis tenaga dalam posisi yang kuat.
Dari segi asas-asas ekonomi, kita dapat lihat prestasi ekonomi yang memberangsangkan sebelum konflik di Asia Barat tercetus lagi. Pada suku pertama tahun ini juga prestasi ini secara umumnya dapat dikekalkan.
Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama direkodkan pada 5.4 peratus, antara prestasi ekonomi yang terbaik di rantau ini.
Kadar inflasi pula kekal stabil, manakala kadar pengangguran masih lagi pada tahap guna tenaga penuh. Pasaran kewangan pula masih dalam keadaan baik, sentimen pelaburan kekal positif dan ekosistem perniagaan masih lagi dapat bertahan dalam keadaan memuaskan.
Namun, persoalan utama di sini adalah adakah rakyat berdepan dengan krisis di Asia Barat ini dalam posisi yang kuat?
Ada dua perbezaan penting krisis kali ini berbanding dengan krisis-krisis ekonomi lain yang dihadapi sebelum ini. Pertama, krisis kali ini tidak begitu memberi kesan kepada prestasi KDNK negara dan kedua, berlaku secara lebih perlahan.
Jelas krisis kali ini begitu memberi kesan kepada ekonomi rakyat daripada ekonomi negara, dengan peningkatan harga barang secara keseluruhan dan juga jangkaan bekalan yang akan berkurangan dari semua aspek pengeluaran kerana proses pengeluaran itu sangat bergantung kepada minyak dan juga plastik.
Keadaan dijangka akan menjadi lebih teruk pada suku ketiga tahun ini. Namun begitu, pada suku kedua tahun ini, kita sudah melihat beberapa indikator ekonomi yang kurang menyenangkan.
Pertama sekali adalah Indeks Harga Pengeluar (IHPR), yang mana pada April, meningkat 5.4 peratus berbanding 1.1 peratus pada bulan sebelumnya. Ini sememangnya didorong harga produk berkaitan petroleum dan minyak mentah yang lebih tinggi. Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), catatan IHPR ini adalah yang tertinggi sejak Ogos 2022.
Kita juga mendengar melalui laporan media lebih 7,000 pekerja dilaporkan kehilangan pekerjaan pada April lalu, meningkat 21 peratus berbanding 5,855 kes pada bulan sebelumnya.
Jika diamati, sememangnya ekonomi rakyat sebenarnya masih lagi belum pulih sepenuhnya daripada kesan hambatan pandemik Covid-19. Simpanan hari tua mereka masih lagi belum pulih sepenuhnya daripada impak pandemik Covid-19.
Jika dilihat dari segi kadar pertumbuhan penggunaan swasta secara purata, pertumbuhan pasca-pandemik Covid-19 masih lagi pada kadar 5.1 peratus. Angka itu masih lebih rendah berbanding kadar melebihi 7 peratus secara purata sebelum pandemik.
Apatah lagi, apabila membaca laporan akhbar sekitar 70.2 peratus pekerja formal di negara ini menerima gaji RM5,000 ke bawah setakat Disember 2025. Ini bermaksud, sebelum perang di Iran meletus lagi, ramai rakyat Malaysia sudahpun tidak dapat menampung beban kos sara hidup.
Maksudnya, gaji ‘masuk’, terus lesap untuk membayar bil-bil, membeli bahan makanan, sewa rumah, bayaran kereta, utiliti, premium insurans dan sebagainya. Jadi, tidak perlulah bercakap soal simpanan di hujung bulan, memang tiada, apatah lagi simpanan untuk kecemasan dan hari tua.
Dengan erti kata lain, gaji bersih, setelah ditolak segala perbelanjaan dan komitmen bulanan, adalah negatif. Jadi, untuk meneruskan kehidupan untuk membeli perkara-perkara asas sehingga menunggu gaji bulan hadapan, terpaksalah berhutang.
Akhirnya, apabila beban hutang sudah meningkat, jalan terakhir adalah ‘ah long’, ataupun pihak pinjaman tidak berlesen untuk menampung kehidupan seharian.
Di sinilah juga punca ramai yang menjadi mangsa penipuan kewangan. Kes kebankrapan semakin membimbangkan terutamanya kepada golongan muda sehingga kita melihat kes bunuh diri yang perlu diberi perhatian pihak kerajaan secara serius.
Ini bukan isu kos gaya hidup, kurangnya ilmu literasi kewangan ataupun disebabkan sikap atau tingkah laku tetapi realiti kehidupan mendesak, iaitu gaji sudah tidak dapat menampung kos sara hidup yang semakin mencanak naik.

KAJIAN
Inilah realiti yang dihadapi kebanyakan rakyat Malaysia pada hari ini. Sudah banyak kajian-kajian ilmiah dan empirikal yang dilakukan berkaitan dengan isu ini.
Baru-baru ini, kajian yang dibuat Penyelidik PNB Research Institute (PNBI) juga menyokong kewujudan isu ini, iaitu tahap gaji yang tidak dapat menampung kos kehidupan berdasarkan anggaran Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW).
Laporan PNBI tersebut, yang bertajuk Job Hopping and Early Career Instability, menunjukkan trend kerap bertukar kerja dalam kalangan pekerja, khususnya Generasi Z bukanlah sebab sikap ‘manja’ tetapi disebabkan gaji permulaan diterima sudah tidak dapat lagi menampung peningkatan kos sara hidup.
Begitu juga laporan Bank Dunia baru-baru ini yang menunjukkan gaji yang rendah di Malaysia menjadi punca penghijrahan bakat.
Kajian Bank Dunia juga menunjukkan gaji rendah menjadi punca kenapa sejumlah besar pekerja asing di Malaysia adalah pekerja berkemahiran rendah. Natijahnya, pertumbuhan upah negara terus ketinggalan jika dibandingkan dengan pertumbuhan KDNK negara walaupun pertumbuhan produktiviti tinggi berbanding pertumbuhan gaji.
Penyelesaian tuntas dan menyeluruh perlu difikirkan dan digerakkan segera. Isu pendapatan dan gaji yang rendah ini tidak boleh dilihat secara berasingan tetapi melibatkan aspek lain seperti penyediaan perkhidmatan awam yang berkualiti untuk semua, sistem perlindungan sosial yang inklusif dan pelbagai peringkat, sistem pencen yang lebih adil dan kawalan kepada peningkatan dalam harga barangan.
Mungkin sebagai permulaan, kerajaan boleh mula memikirkan kepada idea yang lebih berbentuk struktural seperti pengenalan kepada pendapatan asas sejagat, pencen asas sejagat dan juga skim jaminan pekerjaan.
Definisi kepada kehidupan wajar dan bermaruah juga perlu diperincikan dari semasa ke semasa. –UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Irwan Shah Zainal Abidin ialah Felo Bersekutu Kanan Institut Dasar Ekonomi Dan Kewangan (Ecofi), Universiti Utara Malaysia (UUM).










