Krisis integriti dalam kalangan pemimpin: Antara retorik dan realiti

Krisis integriti dalam kalangan pemimpin: Antara retorik dan realiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM khazanah tamadun Melayu, terdapat satu ungkapan yang ringkas tetapi cukup besar maknanya “kata hendaklah dikotakan.” Peribahasa ini bukan sekadar nasihat adat, sebaliknya merupakan falsafah moral yang membentuk asas integriti masyarakat sejak turun-temurun.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, istilah “mengotakan” membawa maksud menunaikan, melaksanakan atau memenuhi janji. Ertinya, setiap perkataan mesti diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang nyata.

Dalam konteks moden, falsafah ini menjadi semakin penting ketika masyarakat sedang berdepan krisis keyakinan terhadap institusi, kepimpinan dan budaya kerja.

“Kata” hari ini hadir dalam bentuk slogan, manifesto, visi strategik dan aku janji, manakala “kota” pula sepatutnya diterjemahkan melalui pelaksanaan, tindakan dan hasil yang dapat dirasai rakyat. Malangnya, apa yang semakin membimbangkan ialah apabila jurang antara kata dan kota menjadi semakin melebar sehingga melahirkan budaya retorik tanpa substansi.

Membina Kepercayaan: Bermula dari Rumah ke Kerjaya
Kita sedang hidup dalam zaman yang terlalu mudah melafazkan komitmen tetapi semakin sukar menunaikannya. Janji ditabur dengan begitu murah, namun pelaksanaannya sering tertangguh, terabai atau hilang di tengah jalan.

Akibatnya, masyarakat mula mengalami “keletihan moral” apabila terlalu kerap mendengar ungkapan indah tanpa melihat perubahan yang nyata.

Hakikatnya, kepercayaan tidak dibina melalui pidato yang hebat, tetapi melalui konsistensi antara perkataan dan tindakan. Dalam hubungan sesama manusia, integriti bermula apabila seseorang mampu menunjukkan bahawa apa yang diucapkan benar-benar diterjemahkan dalam kehidupan harian.

Sebab itu, budaya “cakap serupa bikin” menjadi asas utama kepada pembentukan kepercayaan dalam masyarakat.

Kepercayaan ini pula tidak lahir secara tiba-tiba. Ia bermula dari unit sosial paling kecil, iaitu keluarga. Anak-anak belajar tentang integriti bukan melalui ceramah panjang, tetapi melalui contoh ibu bapa yang menepati janji, berlaku jujur dan bertanggungjawab terhadap kata-kata mereka.

Seorang ayah yang berjanji membawa anak berjalan lalu menunaikannya sedang membina asas integriti dalam jiwa seorang anak. Seorang ibu yang mendidik anak supaya bercakap benar walaupun dalam perkara kecil sebenarnya sedang membina benteng moral generasi masa depan.

Inilah antara asas penting yang cuba diterapkan menerusi Modul Integriti Keluarga (MIKe) yang dibangunkan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM). Modul tersebut menekankan bahawa integriti bukan sekadar agenda organisasi atau dasar kerajaan, tetapi amalan hidup yang mesti bermula dari rumah.

Jika institusi keluarga gagal melahirkan generasi yang menghormati nilai amanah dan tanggungjawab, maka institusi lain akhirnya hanya akan mewarisi krisis yang sama.

Dalam dunia pekerjaan pula, keselarasan antara kata dan tindakan menjadi ukuran utama terhadap kredibiliti seseorang individu. Pekerja yang menyiapkan tugasan mengikut tempoh yang dijanjikan akan lebih diyakini berbanding individu yang hanya pandai memberi alasan.

Organisasi yang menepati komitmen akan lebih dihormati berbanding organisasi yang hanya gah dengan slogan transformasi.

Sarjana pengurusan, Tony Simons menerusi konsep Behavioral Integrity menjelaskan bahawa kekuatan sesebuah organisasi bergantung pada tahap keselarasan antara kata-kata pemimpin dengan tindakan mereka.

Dalam bukunya The Integrity Dividend, beliau membuktikan bahawa pekerja akan menunjukkan tahap motivasi dan kepercayaan yang lebih tinggi apabila kepimpinan organisasi benar-benar mempraktikkan apa yang diperkatakan. Sebaliknya, apabila pemimpin hanya bijak berucap tetapi gagal menjadi teladan, organisasi akan kehilangan roh dan keyakinan dalaman.

Tuntutan Akidah: Antara Keberkatan dan Akauntabiliti
Bagi seorang Muslim, isu mengharmonikan kata dan kota bukan sekadar persoalan profesionalisme, tetapi tuntutan akidah dan amanah kepada Allah SWT.

Surah As-Saff ayat 2 hingga 3 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya? Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya”.

Ayat ini memberikan peringatan yang sangat keras terhadap golongan yang memperkatakan sesuatu tetapi tidak melaksanakannya.

Ayat tersebut bukan sahaja menyentuh soal dosa individu, tetapi membawa mesej besar bahawa ketidaksejajaran antara kata dan tindakan akan merosakkan keberkatan hidup dan organisasi.

Dalam konteks pekerjaan misalnya, seseorang yang menandatangani kontrak perkhidmatan atau akujanji tetapi gagal melaksanakan amanah dengan jujur perlu bertanya kepada dirinya sendiri tentang keberkatan rezeki yang diperoleh.

Integriti bukan sekadar petunjuk prestasi utama (KPI), tetapi asas spiritual yang menentukan keberkesanan sesebuah pasukan dan keberkatan sesuatu usaha.

Dilema Zaman Moden: Persekitaran Toksik dan Jurang Pelaksanaan
Namun demikian, nilai murni ini kini sedang berdepan cabaran besar dalam dunia moden yang semakin kompleks dan toksik. Media sosial misalnya telah melahirkan budaya “penjenamaan moral” yang sering kali lebih menonjolkan persepsi berbanding realiti.

Kita hidup dalam zaman di mana imej boleh dibina dengan begitu mudah melalui kata-kata manis, video motivasi dan kandungan inspirasi, tetapi realiti sebenar di lapangan mungkin jauh berbeza.

Fenomena ini akhirnya melahirkan generasi yang lebih sibuk membina persepsi daripada membina karakter. Yang penting bukan lagi apa yang dilakukan, tetapi bagaimana ia dilihat oleh orang ramai.

Kata-kata disusun demi meraih likes, tontonan dan pengikut, sedangkan tindakan sebenar semakin kosong daripada nilai keikhlasan dan amanah.

Pada masa sama, organisasi di seluruh dunia turut berdepan apa yang disebut sebagai Execution Gap, jurang besar antara perancangan dan pelaksanaan.

Pakar pengurusan projek antarabangsa Antonio Nieto-Rodriguez dalam bukunya Lead Successful Projects menyatakan bahawa hampir 70 peratus inisiatif strategik gagal mencapai objektif kerana kelemahan dalam pelaksanaan.

Banyak organisasi mempunyai visi yang hebat di atas kertas, tetapi gagal menterjemahkannya menjadi tindakan yang memberi impak.

Lebih malang, budaya toksik dalam sesetengah organisasi hari ini kadangkala lebih meraikan “jalan pintas” daripada proses yang jujur. Individu yang bekerja dengan amanah dianggap lambat, manakala mereka yang pandai bermain persepsi lebih cepat mendapat perhatian.

Dalam keadaan seperti ini, integriti sering menjadi mangsa pertama.

Kepimpinan Melalui Teladan: Kunci Kecemerlangan Organisasi
Justeru, untuk merapatkan jurang antara kata dan kota, kepimpinan melalui teladan mesti menjadi budaya utama dalam organisasi dan masyarakat. Pemimpin tidak boleh hanya menjadi jurucakap kepada nilai, tetapi mesti menjadi manifestasi hidup kepada nilai tersebut.

Teladan mempunyai kuasa yang jauh lebih besar daripada ucapan. Pekerja mungkin mendengar arahan, tetapi mereka mencontohi tingkah laku.

Pemimpin yang gagal menunjukkan keselarasan antara kata dan tindakan akhirnya akan kehilangan kepercayaan pekerja. Apabila kepercayaan runtuh, motivasi akan merosot, budaya kerja menjadi hambar dan produktiviti organisasi akan terjejas.

Sebab itu, budaya akauntabiliti perlu diperkukuh dengan menetapkan matlamat yang realistik, ketelusan dalam pelaksanaan dan keberanian untuk bertanggungjawab terhadap kegagalan.

Tindakan Sebagai Cermin Identiti
Mengharmonikan kata dan kota bukan sekadar soal komunikasi yang baik, tetapi soal maruah dan identiti diri. Masyarakat tidak akan mengingati betapa indahnya ucapan yang pernah kita lafazkan, tetapi mereka akan menilai sejauh mana tindakan kita memberi manfaat kepada orang lain.

Dalam dunia yang semakin sarat dengan retorik dan persepsi, masyarakat sedang dahagakan ketulenan.

Mereka mahu melihat pemimpin yang benar-benar melaksanakan apa yang dijanjikan, pekerja yang jujur terhadap amanahnya dan rakyat yang berani mempertahankan prinsip walaupun tidak dipuji sesiapa.

Kerana pada akhirnya, nilai sebenar seseorang insan tidak terletak pada apa yang diperkatakannya, tetapi pada apa yang berjaya dikotakannya. – UTUSAN

DATUK Seri Noridah Abdul Rahim ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN