Bukan tidak peduli politik tapi rakyat sudah penat

Bukan tidak peduli politik tapi rakyat sudah penat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAKYAT bukan tidak peduli tentang suasana politik negara tetapi mereka penat.

Dalam kajian sains politik, keadaan ini dikenali sebagai kelesuan politik apabila rakyat mula berasa terasing dan muak terhadap proses politik.

Sarjana seperti Peter Mair telah lama memberi amaran apabila jurang antara warga dan kelas politik melebar, yang hilang bukan sekadar kepercayaan tetapi penglibatan rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Apabila rakyat sudah tidak peduli, demokrasi mula berjalan dengan sepi tanpa ada proses semak dan imbang yang bermakna.

Kita boleh lihat perbahasan awam hari ini dipenuhi tuduh-menuduh, persepsi mengatasi fakta dan sentimen mengatasi hujah. Isu yang sepatutnya dibincangkan secara matang bertukar menjadi medan mobilisasi emosi.

Dalam keadaan yang makin tegang, muncul pula seruan yang kian biasa didengar “jangan politikkan”. Seruan itu mungkin lahir daripada keinginan meredakan suasana tetapi kesannya lebih dalam.

Seruan itu membentuk demokrasi yang kehilangan keyakinan terhadap fungsi perbahasan dalam kalangan rakyat itu sendiri.

PERBAHASAN LEBIH EMOSI DARI PENYELESAIAN

Ahli falsafah, Jurgen Habermas pernah menggambarkan demokrasi yang sihat memerlukan ruang awam, iaitu saluran yang membolehkan rakyat bertukar fikiran secara rasional dan bebas. Sayangnya, ruang itu kini semakin menyempit.

Penyelidik, Eli Pariser pula menunjukkan bagaimana media sosial mewujudkan ‘gelembung penapis’. Situasi ini hanya membenarkan seseorang terdedah kepada maklumat yang mengesahkan apa yang sudah dipercayainya. Hasilnya, ramai lebih berminat menjadi ‘juara kelompok’ daripada pencari penyelesaian.

Bayangkan sekumpulan jiran berbalah tentang pokok yang menghalang longkang. Seorang mula marah, jiran lain membalas lebih marah dan tidak lama kemudian semua orang sudah lupa tentang longkang dan yang diingat hanyalah siapa yang paling kuat berteriak.

Itulah gambaran wacana politik kita. Isu asal hilang ditelan emosi, yang tinggal hanyalah luka dan permusuhan.

Isu tulisan Cina pada kad kesihatan dan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) adalah contoh jelas. Kedua-duanya mempunyai dimensi yang sah pada pandangan masing-maisng untuk dibahaskan seperti soal kemudahan pengguna, isu integrasi nasional, peranan bahasa kebangsaan dan bentuk kewarganegaraan bersama. Tetapi budaya kita gagal memberi ruang kepada perbahasan yang bernuansa. Yang ada hanyalah label antinasional, rasis dan pengkhianat.

Dalam situasi ini, kita dapat melihat slogan menggantikan isi sementara kemarahan menggantikan hujah.

 

 

PERANG PEMIMPIN, BUKAN PERANG IDEA

Gejala paling melelahkan dalam politik hari ini ialah ‘pengagungan pemimpin’. Situasi ini memperlihatkan sokongan kepada parti yang semakin tidak berasaskan dasar atau ideologi tetapi kepada pemujaan peribadi terhadap tokoh tertentu.

Pemimpin A diangkat sebagai wira tidak tertandingi sementara pemimpin B dipuja oleh penyokongnya cara yang sama. Yang berlaku bukan pertandingan idea tetapi pertandingan kesetiaan membuta.

Hujah yang digunakan pula adalah hujah kitar semula iaitu apa yang pakar komunikasi politik gelar ‘kitar semula retorik’. “Mereka lebih teruk dulu. Zaman kami dulu lebih baik” atau “pemimpin kami bersih, pemimpin mereka korup.”

Ayat-ayat ini sudah terlalu biasa sehingga rakyat boleh meneka hujah seterusnya sebelum diucapkan.

Bila hujah sudah boleh diramal, bukan lagi hujah tetapi hanyalah ritual sorak-sorai.

Hujah kitar semula ini lazimnya bersandarkan perbandingan pemimpin dahulu dan sekarang.

Perbandingan sejarah memang berharga jika dilakukan secara sistematik dan berasaskan fakta. Tetapi apabila dilakukan secara ad hoc semata-mata untuk merendahkan lawan dan meninggikan kawan, ia akhirnya hanya menyebabkan kehilangan nilai ilmiahnya.

Seperti seorang anak yang sentiasa dibanding-banding dengan abangnya. “Tengok abang kamu dulu, rajin belajar, dapat biasiswa.” Hujah tersebut disebut tanpa mengambil kira zaman dan peluang sudah berubah sepenuhnya.

Perbandingan sedemikian bukan mendidik tetapi menyakitkan. Dan dalam konteks politik, ia bukan menyatukan tetapi memecahbelahkan.

Yang bertengkar di atas adalah mereka yang sudah selamat hidupnya. Yang menanggung kesannya adalah rakyat biasa yang perlu hidup berjiran, bekerja bersama dan berkongsi negara yang sama.

Apabila dua bos bergaduh di pejabat, tekanannya dirasai oleh pekerja di bawah, bukan oleh mereka yang bergaduh.

“Jangan politikkan.” Ketika perkataan ini disebut oleh seorang pemimpin, bermakna rakyat sudah diberi keputusan, bukan lagi perbahasan dalam ruang demokrasi yang kononnya di julang.

Seruan “jangan politikkan” mungkin kedengaran seperti ajakan berhemah tetapi seperti sarjana Colin Hay menyebut fenomena di sebaliknya sebagai penyahpolitikan iaitu proses skop perkara yang boleh dipersoalkan secara terbuka dikecilkan secara sistematik, sama ada oleh pihak berkuasa atau norma sosial.

Apabila ini berlaku berterusan, maka rakyat tidak lagi berhenti bertanya kerana mereka sudah faham.

Namun apabila di saat mereka berhenti bertanya kerana mereka sudah belajar bahawa soalan tidak disambut dengan jawapan tetapi dengan pandangan negatif.

Bayangkan seorang doktor yang marah setiap kali pesakitnya bertanya tentang ubat yang diberikan. “Ambil sahaja, jangan banyak soal.” Mungkin niatnya baik takut pesakit risau atau keliru tetapi doktor yang baik tahu pesakit yang faham rawatannya akan lebih patuh, berwaspada dan bertanggungjawab terhadap kesihatannya sendiri.

Bila soalan dilarang, yang hilang bukan sekadar maklumat tetapi juga kepercayaan.

Demokrasi yang sihat bukannya tanpa konflik. Ia adalah demokrasi yang mampu mengurus konflik secara matang dan berinstitusi.

Bagaimana mungkin isu pendidikan nasional atau bahasa Kebangsaan tidak mempunyai dimensi politik? Pendidikan menentukan bentuk warga yang mahu dibina negara sementara bahasa menentukan ruang identiti bersama.

Jika semua ini diminta “jangan dipolitikkan”, pastinya rakyat hanya dibenarkan menerima keputusan tanpa boleh mempersoalkan implikasi jangka panjangnya.

Ada beza besar antara mengurus dengan mematikan perbahasan.

Masalah Malaysia bukan terlalu banyak politik tetapi terlalu banyak politik partisan yang miskin jiwa kenegaraan.

Di Jepun, cabaran utamanya adalah parti sivik akibat budaya mengelak politik.

Di Indonesia, politik terlalu mudah dipanaskan.

Sementara Malaysia pula berdepan paradoks tersendiri di mana isu dipanaskan secara partisan tetapi apabila rakyat mula berhujah dengan lebih serius, mereka diminta pula supaya “jangan politikkan”.

Dalam keletihan inilah rakyat mengharapkan kuasa ketiga iaitu semangat baharu yang merentas politik partisan, yang sanggup berbicara benar kepada semua pihak dan yang meletakkan kepentingan negara di atas kepentingan kelompok.

Ini bukan harapan yang berlebihan. Ia adalah harapan yang wajar daripada rakyat yang masih menyayangi negara ini walaupun mungkin sudah sangat penat. –UTUSAN

 

PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Pengerusi Teras Politik, Musyawarah Nasional Felo Pelawat Institut Pengajian Asia, Afrika dan Timur Tengah, University Sophia, Tokyo.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini