MUKADIMAH
SEJAK ditubuhkan oleh UMNO, MCA dan MIC pada 1 Jun 1974, Barisan Nasional (BN) muncul sebagai gabungan parti politik yang paling berjaya dalam sejarah apabila mencatatkan kemenangan dalam 10 pilihan raya umum berturut-turut, bermula daripada Pilihan Raya Umum (PRU) 1974 sehingga 2013.
Kekalahan dalam PRU14 pada 2018 membuka mata semua pihak termasu k Setiausaha Agung BN, DATUK SERI DR. ZAMBRY ABDUL KADIR yang mahu gabungan parti yang berlogo dacing itu bangkit semula, terutama dengan PRU16 yang semakin menghampiri.
Ikuti bahagian pertama temu bual beliau bersama Utusan Malaysia.
UTUSAN: BN kini memasuki usia 52 tahun. Apakah makna ulang tahun ini kepada BN?
ZAMBRY: Tempoh 52 tahun bukan sekadar angka. Ia adalah bukti ketahanan, daya tahan dan kemampuan untuk terus relevan dalam menghadapi perubahan zaman.
Dalam tempoh itu, BN telah melalui zaman kegemilangan pembangunan negara, menghadapi krisis ekonomi, mengharungi pelbagai cabaran politik, mengalami kekalahan pilihan raya dan seterusnya bangkit semula dengan semangat baharu.
Tidak banyak parti politik di dunia yang mampu bertahan dan terus memainkan peranan penting dalam landskap politik negara selama lebih lima dekad.
Namun sejarah BN sebenarnya lebih panjang daripada 52 tahun. Akar perjuangannya bermula jauh lebih awal melalui Parti Perikatan yang ditubuhkan pada 1952 dan kemudiannya memimpin negara mencapai kemerdekaan pada 1957. Perikatan menjadi asas kepada pembinaan sebuah negara yang majmuk, stabil dan demokratik. Pada 1974, BN dibentuk sebagai kesinambungan kepada semangat tersebut dengan memperluaskan kerjasama politik merentasi pelbagai kaum, wilayah dan latar belakang.
Justeru, apabila kita menyebut usia 52 tahun BN, kita sebenarnya sedang berbicara tentang satu tradisi politik yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia selama lebih tujuh dekad. Tradisi yang diasaskan atas prinsip kesederhanaan, perkongsian kuasa, muafakat dan kestabilan.
Apa yang membezakan BN ialah setiap kali diuji, kami bangkit semula. Setiap cabaran dijadikan peluang untuk melakukan pembaharuan dan memperkukuhkan perjuangan. Semangat inilah yang membolehkan BN terus kekal sebagai sebuah institusi politik yang matang dan berpengalaman.
Ulang tahun ini bukan sekadar mengimbau sejarah. Ia adalah peringatan bahawa perjuangan ini dibina oleh generasi demi generasi rakyat Malaysia yang percaya kepada kestabilan, kemakmuran dan masa depan yang lebih baik untuk semua.
BN bukan parti yang lahir semalam dan hilang esok. BN adalah sebahagian daripada sejarah pembinaan Malaysia moden. Daripada Perikatan yang memperjuangkan kemerdekaan, kepada BN yang memacu pembangunan negara, perjuangan ini akan terus diteruskan demi memastikan Malaysia kekal aman, stabil, progresif dan bersatu.
Apakah rahsia BN masih bertahan selepas 52 tahun?
BN tidak dibina atas kebencian terhadap sesiapa. BN dibina atas kesediaan untuk bekerjasama.
Sejak awal, kekuatan BN bukan terletak pada siapa yang paling kuat bercakap atau paling lantang menyerang lawan. Kekuatan BN ialah keupayaannya menyatukan masyarakat yang berbeza latar belakang untuk mencapai satu matlamat bersama.
Dalam politik, ramai boleh menang pilihan raya. Tetapi tidak semua mampu menyatukan negara.
BN telah membuktikan selama 52 tahun bahawa kestabilan lahir daripada perpaduan, bukan perpecahan.
Ada pihak mengatakan BN sudah tidak lagi relevan. Apakah jawapan Datuk Seri?
Jika BN tidak relevan, kita tidak akan berada di sini selepas 52 tahun.
Kita menghormati pandangan semua pihak. Tetapi hakikatnya rakyat masih melihat BN sebagai sebuah gabungan yang mempunyai pengalaman, rekod dan kemampuan untuk membantu negara menghadapi cabaran semasa.
BN pernah jatuh. Itu benar. Tetapi sejarah juga menunjukkan BN tidak pernah lari daripada cabaran.
Apabila rakyat menghantar mesej, kita mendengar. Apabila rakyat menegur, kita memperbaiki diri.
Relevan bukan bermaksud sempurna tetapi mempunyai keupayaan untuk berubah dan terus berkhidmat kepada rakyat.
Bagaimana Datuk Seri melihat gabungan parti-parti komponen BN hari ini?
Kekuatan BN hari ini bukan hanya terletak pada parti-parti pengasasnya seperti UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), tetapi juga pada keupayaannya untuk terus berkembang, menyesuaikan diri serta memenuhi tuntutan landskap politik semasa yang semakin dinamik.
Atas semangat itu, BN mengalu-alukan penyertaan Parti Progresif Penduduk (PPP) sebagai parti komponen baharu dalam keluarga besar BN. Kehadiran PPP membuktikan bahawa BN terus diyakini sebagai wadah politik yang sederhana, stabil dan berorientasikan pembangunan, sekali gus menjadi pilihan kepada pihak-pihak yang berkongsi aspirasi untuk membina masa hadapan negara yang lebih baik.
Dalam masa sama, peranan Friends of Barisan Nasional (FOBN) turut menjadi satu kekuatan yang signifikan. FOBN berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan BN dengan pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan profesional, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), anak-anak muda, tokoh masyarakat serta individu yang mungkin tidak terlibat secara langsung dalam parti politik, namun berkongsi nilai dan matlamat perjuangan yang sama.
Hakikatnya, politik masa kini menuntut pendekatan yang lebih terbuka, inklusif dan merentas sempadan kepartian. Sebuah gabungan politik tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada struktur tradisional, tetapi perlu membuka ruang seluas-luasnya kepada rakyat untuk menyumbang idea, kepakaran dan pandangan demi kemajuan negara.
Pada masa yang sama, kekuatan sebenar BN sentiasa terletak pada kemampuannya mengurus kepelbagaian. Sebagai sebuah gabungan yang mewakili pelbagai kaum, agama dan latar belakang, perbezaan pandangan sudah tentu wujud. Namun perbezaan itu tidak pernah menjadi alasan untuk berpecah. Sebaliknya, ia diraikan melalui budaya musyawarah, perbincangan yang matang dan kesediaan mencari titik persetujuan demi kepentingan bersama.
Dalam suasana politik yang semakin terpolarisasi dan sering dicorakkan oleh perpecahan, budaya politik yang berasaskan persefahaman, toleransi dan kesederhanaan seperti yang diamalkan oleh BN menjadi semakin bernilai.
Bukan sekadar sebagai sebuah politik yang berpengalaman, tetapi BN sebagai model kerjasama yang membuktikan kepelbagaian bukanlah kelemahan. Sebaliknya, apabila diurus dengan baik, kepelbagaian itulah yang menjadi sumber kekuatan untuk menyatukan rakyat, mengekalkan kestabilan dan memacu kemajuan negara. – UTUSAN
BERSAMBUNG ESOK










