UMNO tidak lagi boleh toleh ke belakang - Utusan Malaysia

UMNO tidak lagi boleh toleh ke belakang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
ULANG tahun ke-80 UMNO bukan ruang untuk bernostalgia terhadap sejarah silam sebaiknya perlu menjadi titik penentuan untuk melangkah lebih jauh merangka masa hadapan.

Bagi DATUK SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI, lapan dekad perjalanan membuktikan UMNO bukan asing daripada cabaran, malah setiap krisis menjadi pengajaran. Namun, cabaran hari ini lebih besar kerana menuntut penyusunan semula kekuatan dan pengukuhan agenda nasional yang lebih inklusif.

Dalam temu bual bersama beberapa media terpilih yang turut disertai wartawan Mingguan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, Presiden UMNO itu berpendapat tumpuan tidak lagi kepada apa yang telah berlalu tetapi bagaimana parti keramat Melayu ini menyediakan asas kukuh bagi memperkukuh rumah bangsa, serta membina negara bangsa yang bersatu dalam kepelbagaian.

Memuatkan artikel berkaitan…

Temu bual itu turut disertai jurufoto, SADDAM YUSOF dan juruvideo, MUHAMMAD FARIS MD. IDERIS.

SATUKAN MELAYU
MINGGUAN MALAYSIA: Apa langkah untuk memastikan UMNO yang berusia 80 tahun mampu menyatukan orang Melayu?
AHMAD ZAHID: Pada 1946, terdapat 41 organisasi Melayu yang bergabung menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu. Dalam pemerhatian saya, hampir setiap 10 tahun UMNO mengalami krisis dan yang terakhir pada 2018 melibatkan kemerosotan kepercayaan.

Ketika itu, tumpuan utama kepada dua isu iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak dan dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Kedua-duanya memberi kesan kerana propaganda yang tersusun oleh pihak pembangkang. Malah, seorang Pemuda UMNO yang pernah mengemudi parti selama dua dekad turut mempengaruhi minda dan keyakinan rakyat bahawa UMNO telah rosak.

Tugas saya selepas 2018 memastikan UMNO terus kekal dalam persada politik tanah air. Saya juga berdepan tekanan untuk membubarkan UMNO atas alasan kononnya terdapat alternatif lain melalui sebuah parti serpihan yang ditubuhkan. Namun, selepas 80 tahun UMNO berada dalam persada politik negara, saya tidak melihat keadaan ini sebagai sesuatu yang melampau.

Sebaliknya, saya melihat ke hadapan, khususnya dua dekad akan datang. Dalam tempoh 20 tahun mendatang, saya memberitahu kepemimpinan pelapis perlu dibentuk dan saya mesti meletakkan asas kukuh sebelum barisan pelapis mampu mengemudi UMNO menuju ulang tahun 100 tahun pada 2046. Perancangan ke arah itu digariskan dalam ucapan pada 2 Mei, dan saya berharap ia dapat diterjemahkan melalui beberapa tindakan yang dirangka.

Ini termasuk pelaksanaan beberapa program besar, khususnya dalam pengukuhan ‘Rumah Bangsa’ serta pelbagai perincian lain yang saya bentangkan kepada kepimpinan di semua peringkat sama ada negeri, bahagian dan cawangan.

Sebelum ini UMNO dilihat sebagai wadah penyatuan Melayu, kini Datuk Seri memperkenalkan konsep ‘Rumah Bangsa’ untuk menyatukan semua. Adakah ini bermakna jenama UMNO semakin sukar membawa agenda penyatuan?
Tidak bermaksud begitu kerana DNA kepimpinan parti Melayu Islam hari ini datangnya daripada UMNO. Parti-parti yang wujud sekarang ini adalah serpihan daripada UMNO, termasuk yang berlandaskan Melayu dan Islam yang bermula daripada ‘perut’ UMNO. Umpamanya, seorang pemimpin yang menubuhkan sebuah parti Islam sebenarnya dahulu pernah menjadi pengurus biro agama UMNO.

Jadi, mengapa perlu terlalu banyak parti? Mungkin kita boleh menerima hakikat parti itu banyak, tetapi fikrah dan pemikiran harus sama. Tidak perlu kita berbeza pendapat dalam menentukan siapa yang lebih Melayu atau siapa yang lebih Islam. Apa yang penting rakyat perlu ditangani dengan baik.

Kita melihat pendekatan sekarang, walaupun sesebuah negeri itu tidak bersama pentadbiran parti di peringkat nasional, namun dari segi dana tetap terus diberikan. Ertinya, kita ‘buta warna’ daripada segi menangani permasalahan rakyat. Jika perkara ini boleh dilakukan, tidak mustahil pemikiran dan agenda yang kita bawa dapat dikongsi bersama.

Buktinya, apabila kita mengadakan Kongres Pendidikan Bumiputera, tidak mustahil semua pihak boleh bergabung untuk menyelusuri permasalahan pendidikan ini daripada perspektif nasional, bukan perspektif sempit atau kepartian masing-masing. Begitu juga dengan agenda ekonomi dan aspek lain, yang perlu dilihat secara rasional, bukan hanya melalui pandangan sempit pemimpin-pemimpin tertentu yang masih berfikiran terlalu sempit.

Bagaimana hubungan dengan parti-parti bukan Melayu terutama, MCA, MIC dan DAP?
Dengan MIC dan MCA sudah selesai. Selama tiga tahun lima bulan kita melalui Kerajaan Perpaduan, kita tidak mempunyai gabungan secara langsung dengan DAP tetapi Barisan Nasional (BN) bersama Pakatan Harapan (PH), dan DAP berada dalam PH.

Kita mesti melihat dari sudut pandang yang lebih luas, bukan hanya pandangan parti itu didominasi oleh kaum-kaum tertentu. Kita harus melihat perspektif dan platform nasional mengatasi pandangan sempit parti yang hanya mewakili kaum-kaum tertentu.

Perkara ini dibuktikan melalui beberapa keselesaan yang telah kita lalui, dan mereka amat menghormati perjanjian penubuhan Kerajaan Perpaduan di mana empat tonggak utama iaitu agama Islam, raja-raja Melayu, bahasa Melayu, serta hak asasi orang Melayu, dihormati. Bahkan, mereka juga mengakui perkara tersebut adalah hakikat yang termaktub dalam perlembagaan, dan tidak timbul langsung sebarang usaha untuk merombak asas tersebut.

TIDAK ABAIKAN RAKYAT MAJMUK
Dalam konteks ini, adakah UMNO kini semakin kuat atau masih ada perkara yang perlu ditambah baik, serta adakah wujud kebimbangan dalam menghadapi PRU16?
Kita tidak melihat ada masalah dalaman yang terlalu besar, walaupun kita meraikan perbezaan pendapat. Namun apabila keputusan dibuat, mereka akan menyatukan hati dan pemikiran untuk menterjemahkan pelaksanaan di lapangan.

Ia merupakan satu kekuatan baharu kepada UMNO apabila permohonan keahlian baharu melalui dalam talian, sambutannya sangat luar biasa. Begitu juga apabila kepimpinan membuat keputusan untuk menerima kembali mereka yang dipecat, digantung atau yang telah meninggalkan parti sama ada menyertai parti lain dan sebagainya untuk kembali semula, ia memberikan satu optik baharu kepada parti. Perkara ini yang kita mahu teruskan.

Untuk 20 tahun mendatang, perancangan dibuat dari sekarang. Kita sedar realiti politik baharu negara ini tidak boleh mengabaikan kemajmukan masyarakat. Kita mesti menyantuni kepelbagaian tersebut, termasuk dari segi agama, bahasa dan budaya. Ini adalah hakikat Malaysia sebuah negara masyarakat majmuk dan mesti dihormati kepimpinan, malah difahami di peringkat akar umbi.

Pada masa sama, ini tidak bermakna kita perlu mencairkan identiti masing-masing. Inilah keistimewaan negara kita. Bagi saya, perkara ini mesti dilakukan supaya pembinaan negara bangsa dapat diterjemahkan melalui pemikiran dalam kalangan kepimpinan serta parti-parti yang berbeza.

UMNO dahulu parti dominan dalam kerajaan tetapi kini tidak lagi. Sebagai kepemimpinan tertinggi, apa pandangan Datuk Seri terhadap situasi ini dan kesannya kepada masa hadapan parti?
Politik ini sangat dinamik. Kita tidak boleh hanya menjual sejarah masa silam, kita harus menjual masa hadapan yang sedang dirancangkan. Soal dominan ini sangat subjektif dalam situasi politik sekarang. Kita tidak boleh bernostalgia di atas kekuatan masa lampau kerana politik ketika itu sangat berbeza dan hakikatnya ia menjadi satu trend di dunia. Banyak parti politik yang dulunya dominan tidak lagi dominan.

Malah, ada sebuah negara demokrasi terbesar di dunia, untuk penggal ketiganya, mereka terpaksa bergabung dengan parti-parti kecil lain bagi memperlihatkan kedominan parti tersebut.

Dalam pemerhatian saya terhadap 53 negara, parti-parti yang dulunya dominan menguasai politik tetapi hakikatnya mereka terpaksa bergabung dengan parti-parti lain bagi membentuk kerajaan, dan ini tidak mengecualikan kedudukan di Malaysia.

SELESA DENGAN KERAJAAN PERPADUAN
Adakah UMNO selesa bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan?
Kita sangat rasa selesa. Kefahaman itu wujud kerana memikirkan keutamaan kami ialah rakyat. Rakyat mesti tidak dipersulitkan dengan perbezaan pendirian serta pandangan setiap masa. Untuk kepentingan rakyat, kita mengetepikan ketidakselesaan kerana yang lebih penting adalah agenda yang menjadi manifesto sebelum pilihan raya.

Kita melihat manifesto yang sama dapat dijadikan sebagai titik pertemuan untuk dilaksanakan. Contohnya, semua parti dalam PRU15 menjadikan kos sara hidup sebagai janji. Jadi, itu kita tangani dahulu. Kondisi tentang soal pendidikan dan soal pengangguran juga tiada pertikaian pun antara parti-parti yang bertanding.

Manifesto itu jelas dan kita dapati 47 peratus daripadanya sama. Jadi, kenapa kita mahu melayani perbezaan jika mempunyai matlamat sama? Selain itu, terdapat beberapa perkara yang perlu kita tangani. Sebab itu, kita mempunyai majlis perundingan antara parti untuk memperundingkan perbezaan dan melaksanakan kebersamaan daripada manifesto yang mempunyai tujuan jelas, yang tidak berbeza antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

PENDEKATAN BARU TARIK ANAK MUDA
Adakah UMNO mampu menarik sokongan muda?
Kita gagal (tarik undi muda) dalam PRU15 tetapi beberapa usaha dilakukan untuk mengambil sokongan undi muda. Mereka harus didekati dengan cara di luar kotak konvensional, iaitu melalui komunikasi tanpa lisan.

Pengundi di bawah 40 tahun merupakan kumpulan pengundi majoriti, apatah lagi dengan pengundi berumur 18 hingga 20 tahun. Ini merupakan satu blok pengundi yang harus ditangani. Mereka sangat berfikiran terbuka dan tidak memilih parti tetapi calon, serta siapa yang boleh membawa agenda untuk mereka dan apa yang dapat mereka peroleh daripada memilih calon yang mereka minati.

Contohnya semasa PRN Sabah, walaupun mungkin ada kebencian terhadap parti Semenanjung tetapi seorang calon bukan Melayu, dengan keluarga dan ahli yang hanya tujuh orang daripada subetnik yang sama, masih boleh menang kerana disukai oleh pengundi di situ. Walaupun calon itu calon baharu, pengundi merasakan beliau adalah yang terbaik untuk memberikan perkhidmatan di kawasan berkenaan.

Itulah sebab saya mencadangkan jangan gunakan pendekatan konvensional tetapi gunakan pendekatan baharu mengikut kumpulan sasaran yang mahu didekati.

Apa yang diharapkan daripada kemasukan semula pemimpin yang pernah dipecat atau digantung?
Kita belum ada kajian empirikal mengenai impak itu, dan mereka pun belum mula turun ke bawah. Jadi, kita harus berlaku adil untuk memperlihatkan komitmen mereka dalam memberikan sumbangan secara berterusan kepada UMNO.

Jadi, sama ada mereka akan diberi peluang sekali lagi untuk bertanding pada PRU akan datang, ia bergantung kepada kebolehmenangan di sesuatu kawasan DUN atau Parlimen berkenaan.

Adakah sokongan orang Melayu semakin dekat terhadap UMNO kerana berada dalam kerajaan atau semakin jauh akibat disebabkan sensitiviti yang timbul?
Kajian empirikal memperlihatkan peningkatan sokongan. Ini adalah soal prasangka lalu tetapi secara perlahan-lahan prasangka itu dapat dikurangkan walaupun tidak dapat dipadamkan sepenuhnya.

Proses ini mengambil tempoh panjang tetapi tidak mustahil kita akan memperoleh peningkatan sokongan menjelang PRU16.

TIDAK MUSTAHIL JALIN KERJASAMA SELEPAS PILIHAN RAYA
Tahun ini Melaka, Johor dan Sarawak berdepan PRN, manakala PRU dijangka selewat-lewatnya Februari 2028. Wajarkah PRU dan PRN dijalankan serentak memandangkan krisis tenaga dan bekalan yang berlaku ketika ini?
Ia bergantung kepada situasi politik ketika pengakhiran penggal pentadbiran sesuatu negeri. Perkara ini juga tertakluk kepada persetujuan raja-raja dan Yang di-Pertua Negeri, manakala Menteri

Besar atau Ketua Menteri mempunyai kuasa dalam pembubaran. Ia juga berkait dengan dana yang boleh digunakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jika diadakan serentak sekalipun, kosnya tetap sama.

Namun, kesesuaian waktu perlu diambil kira. Kita mesti menghormati institusi di negeri-negeri berkenaan dan kuasa mutlak itu berada pada Tuanku serta pihak yang berkuasa di negeri masing-masing.

Tapi bersediakah UMNO jika diadakan?
Kita sentiasa bersiapsiaga tetapi kita mengingatkan diri undi daripada ahli UMNO dan juga ahli parti komponen BN sahaja tidak mencukupi untuk memenangkan calon-calon kita. Oleh itu, kita mesti merangkul sokongan daripada mereka yang bukan partisan atau yang belum menjadi ahli mana-mana parti atau tidak berminat, tetapi yakin dengan agenda yang kita ketengahkan untuk kepentingan semua kaum di negeri-negeri berkenaan ataupun di Dewan Undangan Negeri (DUN) tempat kita meletakkan calon.

Adakah UMNO cukup kuat untuk bergerak secara solo dalam pilihan raya akan datang selepas kejatuhan UMNO pada 2018?
Perpecahan dalaman melemahkan UMNO. Pada masa sama serangan dari luar juga sangat luar biasa. Saya tidak mengatakan UMNO sudah kuat, tetapi kita secara berperingkat menyusun pelbagai program untuk kembali ke asas, dengan sokongan orang Melayu sebagai teras pengukuhan semula UMNO.

Dalam tempoh lima tahun pertama kepemimpinan saya, pelbagai masalah terpaksa dihadapi, termasuk kewujudan ‘warlord’ bukan sahaja di peringkat bahagian, malah menular hingga ke peringkat umbi. Alhamdulillah, perkara ini telah diperbetulkan. Kini mula membuahkan hasil melalui beberapa langkah pemangkin perubahan yang telah dilaksanakan.

Malah, selama ini kita juga bergerak solo tetapi tidak mustahil selepas menjalin kerjasama selepas pilihan raya. Jika sebelum pilihan raya sekalipun, walaupun kita mempunyai prinsip bersendirian, tidak mustahil untuk mengadakan persefahaman bagi memastikan tidak berlaku pertindihan kerusi dengan rakan-rakan dalam gabungan parti lain.

Tentunya, pertandingan dua penjuru adalah lebih baik daripada pertandingan tiga penjuru atau lebih. Ini memerlukan kebijaksanaan politik daripada kepimpinan parti-parti gabungan.

Untuk sambutan 80 tahun ini, apakah perkara yang paling bermakna bagi Datuk Seri?
Satu, sambutan penterjemahan ‘Rumah Bangsa’. Kedua, sambutan daripada NGO, ahli-ahli profesional dan individu, pemimpin pendapat serta pempengaruh dalam mesyuarat nasional dan kolaborasi nasional.

Di pihak kerajaan, Kabinet bersetuju meluluskan Majlis Perundingan Ummah untuk menterjemahkan semua agenda berkenaan. Ini merupakan satu agenda nasional di mana kita tahu jangan timbul perbezaan tentang pendirian dan pendapat mengenai agenda-agenda yang dipersetujui bersama.

Jadi, 80 tahun ini sangat signifikan kepada UMNO kerana saya sudah memberitahu, jangan lagi menoleh ke belakang. Kalau mahu menoleh pun, lihat itu sebagai satu terminal untuk menjadikan panduan bagi menuju kepada arah 20 tahun yang mendatang. Itu lebih penting.

Ertinya, jadikanlah panduan kepada rakyat ataupun pengalaman selama 80 tahun ini untuk penyediaan bagi agenda 20 tahun yang mendatang dan selepas 100 tahun, UMNO itu wujud di persada politik tanah air. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini