JANJI mendapat pulangan tinggi dalam masa singkat, kurangnya tahap pengetahuan literasi kewangan serta pengaruh kuat media sosial yang menjadi platform penyelewengan menjadi punca utama masyarakat mudah terpedaya dengan taktik licik sindiket penipuan pelaburan.
Itu belum lagi masalah ketidaktentuan ekonomi sehingga mencetuskan gelombang kenaikan kos sara hidup, selain desakan kewangan yang menghimpit kehidupan seharian dan sikap tamak ingin cepat kaya.
Akibatnya hampir setiap hari ada sahaja laporan media berkaitan individu atau kumpulan individu yang terpedaya dan ditipu sindiket penipaun pelaburan.
Data kerugian direkodkan pihak berkuasa cukup membimbangkan. Mengikut data Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman misalnya, kerugian akibat penipuan pelaburan merekodkan nilai sebanyak RM1.47 bilion melibatkan 9,603 kes di seluruh negara pada tahun lalu.
Pada 2024, sebanyak 6,337 kes direkodkan dengan kerugian RM848.6 juta dan angka itu meningkat kepada 9,603 kes dengan kerugian RM1.47 bilion pada 2025. Malah, bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini sahaja, sebanyak 2,204 kes dilaporkan dengan jumlah kerugian RM246.7 juta.
Jelas sekali, data seperti ini membuktikan kes pelaburan tidak wujud menunjukkan trend peningkatan yang sangat ketara dari tahun ke tahun, sekali gus mula menjadi ancaman besar kepada anggota masyarakat. Apakah data ini belum mampu menyedarkan atau menggerunkan kita?
Justeru, kita tidak boleh leka, cuai dan berpeluk tubuh lagi sebaliknya perlu lebih cakna dan waspada dengan ancaman sindiket yang semakin agresif. Ironinya, anggota masyarakat perlu teliti dan memahami modus operandi sindiket ini supaya kita tidak terperangkap atau menjadi mangsa seterusnya.
Mengikut siasatan pihak berkuasa, sekurang-kurangnya lima modus operandi utama digunakan sindiket ini sehingga mudah menggaburi mata mangsa yang terdesak dan memerlukan pendapatan secara ekspres.
Secara umumnya, modus operandi sindiket banyak menggunakan pelbagai laman media sosial yang ada sebagai medium utama untuk memperdaya mangsa. Misalnya, pihak berkuasa mendedahkan, sindiket dikesan aktif menggunakan Facebook dan Instagram bagi menarik mangsa sebelum mengalihkan komunikasi ke aplikasi WhatsApp atau Telegram. Mangsa kemudian dimasukkan ke dalam kumpulan pelaburan palsu yang kononnya dikendalikan oleh pakar atau profesional.
Ini menunjukkan kumpulan sindiket sangat licik dan menggunakan taktik yang teratur sehingga mudah meyakinkan pelabur. Maka anggota masyarakat perlu ada kemahuan dan kemahiran untuk menyiasat kesahihan tawaran pelaburan yang diterima.
Paling utama, kita perlu mahir membaca taktik lapuk mereka iaitu janji pulangan lumayan dalam masa singkat, testimoni palsu kononnya ramai sudah berjaya mendapat pulangan selain penyamaran syarikat berlesen.
Justeru antara pendekatan yang wajar diamalkan jika benar-benar mahu membuat pelaburan dan tidak mahu tertipu ialah, ambil masa untuk semak terlebih dahulu secara mendalam status syarikat yang menawarkan pelaburan tersebut. Gunakan segala kemudahan yang telah disediakan oleh pihak berkuasa seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Dalam hal ini kita tidak boleh bertindak membuat keputusan secara tergesa-gesa, walaupun lazimnya pihak sindiket akan menggunakan taktik kononnya tempoh tawaran adalah terhad dan perlu rebut peluang segera. Ambil masa untuk berfikir secara masak-masak, buat siasatan lanjut, mendapatkan pandangan ahli keluarga atau rakan yang lebih arif sebelum membuat sebarang keputusan.
Selain itu, jangan terlalu mudah gelap mata dan terpedaya dengan janji manis akan peroleh pulangan tinggi dalam masa singkat. Ironiya, sedarlah jika ditawarkan skim pelaburan yang membawa untung secara ekspres dengan kadar pulangan tetap serta tiada elemen risiko kerugian maka itu adalah petanda utama skim tersebut satu bentuk penipuan. Hal ini kerana mana-mana pelaburan sekalipun pasti ada risiko untung dan rugi.
Masyarakat juga boleh kenalpasti penipuan jika diarahkan untuk memindahkan wang ke akaun peribadi, akaun yang meragukan atau ke dompet digital sindiket melalui platform tidak sah.
Harus diingat, skim pelaburan yang sah lazimnya akan menggunakan akaun syarikat rasmi yang berdaftar dengan institusi kewangan berlesen.
Satu lagi petanda amaran penipuan yang jelas ialah apabila pelabur diminta membuat pelbagai bayaran tambahan seperti caj pemprosesan, cukai atau yuran lain sebelum dibenarkan mengeluarkan keuntungan.
Jangan juga mudah terpedaya dengan testimoni palsu di media sosial seperti pelabur bergambar dengan kereta mewah, resit bukti keuntungan yang palsu, maklum balas pelabur yang direka selain video ‘kejayaan’ pelabur lain. Sedarlah dengan kecanggihan dan kemudahan teknologi yang ada pada ketika ini, semua testimoni itu boleh direka dan dipalsukan dengan mudah.
Memandangkan media sosial menjadi lubok sindiket ini menjerat mangsa, maka anggota masyarakat perlu lebih berhati-hati ketika menerima sebarang pautan yang meragukan. Jangan terlalu mudah atau cepat klik sebarang link yang diterima dalam WhatsApp, Telegram mahupun mana-mana aplikasi yang meragukan.
Selain itu, masyarakat juga tidak boleh mudah terpedaya dengan taktik sindiket yang menggunakan tokoh berpengaruh dalam masyarakat sebagai ikon. Lakukan siasatan secara terperinci sebelum kita yakin dan percaya dengan peranan tokoh tersebut di samping aktiviti pelaburan yang dijanjikan.
Akhirnya, masyarakat juga perlu bertanggungjawab dan berani melaporkan kepada pihak berkuasa jika ada skim pelaburan yang meragukan. Jangan tunggu sehingga selesai membuat segala bayaran baru hendak mencari pihak berkuasa kerana pada ketika itu mungkin sudah terlewat untuk mereka membantu menyelamatkan wang kita.

TIADA PELABURAN YANG SEMPURNA
Masyarakat perlu sedar jika mendapati sesuatu pelaburan itu nampak terlalu indah, sempurna dan menarik untuk dipercayai, maka selalunya adalah skim penipuan yang licik.
Tuntasnya, selain berharap pihak berkuasa akan terus agresif memburu dan membanteras sindiket yang berleluasa dan memerangkap rakyat negara ini, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga dan melindungi diri, ahli keluarga dan rakan dari menjadi mangsa penipuan sindiket seperti ini.
Formula paling penting yang wajar diamalkan ialah, jangan buat keputusan tergesa-gesa, semak dahulu, fikir betul-betul dan jangan sesekali tamak mahu cepat kaya. -UTUSAN
PENULIS ialah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat), Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM).











