Masa hadapan, hala tuju UMNO menjelang PRU16

Masa hadapan, hala tuju UMNO menjelang PRU16

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENYATAAN Timbalan Presiden UMNO agar parti itu “berhenti menjual sejarah dan mula menjual masa hadapan” merupakan satu amanat strategik yang mencerminkan realiti dinamika politik Malaysia masa kini.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), saranan ini menuntut satu anjakan paradigma yang kritis, beralih daripada nostalgia masa lalu kepada pembinaan naratif yang sarat dengan agenda konkrit buat pengundi.

Pandangan ini agak drastik, tetapi tidak bermaksud sejarah harus dilupakan atau dipadamkan. Kecuali Tuhan, semuanya ada sejarah. Dalam konteks kemanusiaan, sejarah adalah asas kenegaraan, akar identiti dan titik mula pembinaan sesebuah bangsa.

Sejarah sebagai guru kehidupan dan sauh politik
Pepatah Rom purba mengungkapkan historia magistra vitae (sejarah adalah guru kehidupan), manakala ilmuwan Islam, Ibnu Khaldun pula melihat sejarah sebagai asas cerminan tamadun.

Sama ada berpegang kepada konsep subjektiviti bahawa sejarah sebagai dikisahkan (histoire-recite) atau sejarah sebagaimana terjadinya (histoire-realite), sesuatu yang berlaku hari ini mempunyai “cerita tersendiri”.

Sejarah politik membuktikan bahawa nama besar dan usia tua bukan jaminan kelangsungan. Parti Whig di Amerika Syarikat pernah menjadi jaguh politik akhirnya lenyap menjadi artifak sejarah kerana gagal menangani isu perubahan zaman.

Begitu juga Parti Liberal di United Kingdom suatu ketika menerajui kerajaan, kini sekadar menjadi pemain kecil. Tidak terkecuali, beberapa parti yang pernah muncul di arena politik Malaysia, juga terkubur begitu sahaja.

Yang pasti usia UMNO yang menjangkau 80 tahun tidak mungkin lekang daripada nostalgia dan fakta sejarah.

Tidak mungkin orang melupakan jasa UMNO menghimpunkan orang Melayu menggagalkan Malayan Union pada tahun 1946, mustahil fakta buku teks sejarah menafikan peranan UMNO merundingkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, atau ada pihak yang sanggup menyongsang fakta UMNO sanggup berkongsi kuasa politik dengan kaum-kaum lain melalui Parti Perikatan serta mengemudi Barisan Nasional membangunkan negara. Pendek kata, jatuh bangun UMNO tetap menjadi fakta sejarah.

Namun, wacana politik matang harus bijak membezakan antara ‘menghargai sejarah’ dan ‘memperdagangkannya’. Sejarah bukanlah satu komoditi atau barang jualan yang boleh dijaja pada setiap kali tiba musim pilihan raya demi meraih undi simpati.

Apabila sejarah dipaksa menjadi alat jualan politik untuk menuntut kesetiaan semberono, ia akan hilang nilai sakralnya dan merosot menjadi retorik yang usang.

Sebaliknya, pentafsiran sejarah dalam politik moden perlu beralih kepada fungsi asalnya, sebagai ‘kompas moral’. Budaya politik feudal yang sering menuntut “hutang budi” daripada rakyat berasaskan kejayaan puluhan tahun lalu sudah mula luput tarikhnya.

Rakyat menghargai sejarah, tetapi kesetiaan politik hari ini tidak lagi ditentukan oleh hutang budi masa silam, sebaliknya ditentukan oleh kompetensi untuk menyelesaikan masalah pada masa kini.

Gangguan kreatif dan realiti pengundi muda dalam konteks demografi hari ini, taktik ‘menjual sejarah’ terbukti semakin tumpul, terutamanya di mata pengundi muda pasca-Undi18. Generasi rasional ini dibesarkan dalam era yang berbeza.

Mereka tidak hidup di era prapemerdekaan atau sewaktu zaman darurat. Realiti yang membelenggu mereka hari ini adalah krisis kos sara hidup yang menekan, lambakan graduan menganggur, isu pemilikan perumahan pertama dan cabaran ekonomi digital.

Bagi generasi muda, naratif berpaksikan “kamilah yang membangunkan negara 50 tahun lalu” tidak mampu membayar harga barangan runcit hari ini atau melunaskan pinjaman pendidikan mereka.

Di sinilah terletaknya keperluan mendesak kepada apa yang diistilahkan oleh Tok Mat sebagai “gangguan kreatif” (creative disruption).

Parti memerlukan perombakan radikal dalam corak pemikiran dan pendekatan pengurusan gerak kerja politik. UMNO perlu berani keluar dari kepompong selesa, meninggalkan budaya retorik lama dan membuka seluas-luasnya ruang meritokrasi berasaskan idea. “Gangguan kreatif” ini bermakna meruntuhkan hierarki cara lama bagi membolehkan parti membuktikan bahawa mereka bukan sahaja relevan pada tahun 1957, tetapi sangat kritikal untuk menjamin kelangsungan hidup rakyat pada tahun 2030 dan seterusnya.

Tiga teras blueprint PRU16
Pelan tindakan 24 bulan yang menggagaskan mencipta tawaran masa hadapan seharusnya mengembalikan sokongan teras, terutamanya segmen pengundi Melayu yang kini bersikap lebih terbuka dan memiliki pelbagai alternatif politik, saranan membina pelan tindakan yang realistik dalam tempoh 24 bulan sebelum PRU16 adalah amat kritikal.

‘Menjual masa hadapan’ bermaksud mengemukakan satu blueprint kemajuan yang jelas, boleh diukur dan membantu menyelesaikan keresahan sebenar rakyat.

Mahu tidak mahu, UMNO perlu proaktif mengemukakan naratif masa hadapan yang menyakinkan, tanpa pusingan-U dalam apa jua keadaan sekalipun jika dipilih semula menerajui kerajaan. Umumnya, tiga perkara pokok yang perlu diberi keutamaan.

Pertama: Pemerkasaan ekonomi berpendapatan tinggi iaitu menjana dan merangsang kelestarian ekonomi untuk mencipta peluang pekerjaan berskala tinggi dalam sektor teknologi hijau, kecerdasan buatan (AI) dan inovasi teknikal.

Kedua: Mobiliti sosial dan kesaksamaan yang memfokuskan penyelesaian untuk membasmi kemiskinan bandar dan luar bandar, di samping merapatkan jurang kebolehan pendidikan bagi memastikan tiada golongan tercicir.

Ketiga: Menawarkan tadbir urus lebih cemerlang dan berintegriti, dengan menekankan aspek ketelusan, akauntibiliti dan kalis rasuah seperti yang didambakan oleh pemilih berpendidikan hari ini.

Meletakkan sejarah di tempat terhormat
Justeru, saranan agar “berhenti menjual sejarah” adalah satu ubat pahit tetapi berfungsi sebagai formula pragmatik bagi memastikan kelangsungan hayat politik mana-mana entiti persaingan.

Sejarah, walau sehebat manapun tidak boleh lagi dicagarkan sebagai modal memancing undi sebaliknya perlu disimpan dengan terhormat sebagai panduan dan pengajaran.

Ironisnya, kegagalan memahami kebangkitan politik generasi muda hanya akan menyebabkan sesebuah parti ketinggalan dan akhirnya lenyap ditelan zaman.

Mandat kerajaan PRU16 seharusnya seimbang, bukan sahaja menghargai sejarah malah berupaya membuktikan perancangan yang jelas serta praktikal demi kemakmuran masa depan rakyat. – UTUSAN

IBRAHIM Ahmad ialah Ketua Pusat Kajian Warisan dan Sejarah Perak, UniKL Royal College of Medicine Perak, Ipoh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×