KUALA LUMPUR: Kemasukan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin ke dalam UMNO tidak melibatkan sebarang perjanjian termasuk berkaitan pembahagian kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, penyertaan semula Khairy adalah atas dasar perjuangan dan perasaan sayang terhadap parti.
“Tiada ‘deal bawah meja’ atau apa-apa perjanjian. Khairy masuk semula atas semangat Rumah Bangsa. Sesiapa yang merasakan perjuangan UMNO adalah perjuangan mereka, kita alu-alukan kemasukan semula, jadi memang tidak ada sebarang deal.
“Khairy sendiri pun tidak tahu sama ada beliau akan bertanding atau tidak pada PRU16. Beliau juga sudah mengeluarkan kenyataan bahawa kemasukannya semula adalah atas rasa sayang kepada UMNO dan perjuangan parti itu sendiri.
“Setakat ini memang tidak ada sebarang perjanjian,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Forum Rundingan Meja Bulat Nasional RIMBUNAN 2.0 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ni.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan kononnya kemasukan semula Khairy ke dalam UMNO melibatkan persetujuan tertentu. – UTUSAN









