DUNIA hari ini memperlihatkan dominasi aktiviti manusia terhadap sistem bumi semakin meningkat.
Manusia seakan boleh melakukan apa sahaja aktiviti tanpa mempertimbangkan risiko daripada aktiviti tersebut.
Dalam konteks ini, sama ada kita sedari atau tidak, masyarakat global berhadapan dengan krisis ekologi yang semakin kompleks.
Fenomena perubahan iklim, degradasi biodiversiti, pencemaran alam sekitar serta ketidakseimbangan ekosistem bukan sahaja memberi impak fizikal tetapi turut mencetuskan respons psikologi yang boleh meruntuhkan ketenteraman jiwa manusia yang dikenali sebagai kebimbangan ekologi (eco-anxiety).
Secara asasnya, kebimbangan ekologi merujuk keadaan tekanan psikologi, keresahan kronik dan ketakutan eksistensial yang berpunca daripada kesedaran terhadap kemerosotan alam sekitar serta ketidakpastian masa hadapan planet ini.
Walaupun tidak diklasifikasikan sebagai gangguan mental dalam Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental (DSM-5), ia diiktiraf dalam bidang psikologi alam sekitar sebagai respons afektif terhadap krisis ekologi global.
Walaupun kebimbangan ekologi tidak menunjukkan masalah psikologi yang kritikal tetapi melibatkan keadilan sosial kepada individu dan masyarakat.
Sebagai contoh, kebimbangan masyarakat terhadap pembangunan penternakan khinzir berdekatan dengan kediaman mereka. Kerisauan ini amat berasas kerana melibatkan isu kesihatan dan kesejahteraan masyarakat pada masa hadapan.
Kerisauan inilah yang perlu dilihat secara objektif dan saksama kerana masyarakat berhak mendapat persekitaran yang sihat dan selamat.
Dalam situasi ini, kebimbangan ekologi yang dialami oleh penduduk perlu ditangani dengan tindakan secara kolektif dan konstruktif.
Dari sudut psikologi, kebimbangan ekologi berkait rapat dengan konsep kebimbangan antisipatori iaitu kebimbangan terhadap peristiwa yang belum berlaku tetapi dijangka memberi kesan negatif.
Ia juga berkait dengan kelumpuhan ekologi, keadaan psikologi di mana individu mengalami ketidakupayaan bertindak akibat rasa tidak berdaya terhadap skala besar krisis alam sekitar.
Dari perspektif sosiologi,kebimbangan ekologi lebih mudah difahami sebagai manifestasi kesedaran kolektif terhadap risiko global moden sebagaimana dihuraikan oleh Ulrich Beck dalam teori Risk Society.
Dalam masyarakat risiko, ancaman tidak lagi bersifat tempatan tetapi global, tidak kelihatan secara langsung dan sering dimediasi melalui teknologi maklumat serta media digital.
Kesan kebimbangan ekologi terhadap kesejahteraan individu boleh dikategorikan kepada tiga dimensi utama, iaitu kognitif, afektif dan tingkah laku.Secara kognitif, individu cenderung mengalami ruminasi berlebihan terhadap isu alam sekitar yang boleh menjejaskan fungsi tumpuan dan membuat keputusan.
Dari segi afektif, ia boleh membawa simptom seperti stres kronik, kemurungan ringan, dan gangguan keresahan umum (generalized anxiety features). Manakala dari sudut tingkah laku, ia boleh mencetuskan dua ekstrem sama ada penglibatan ekologi yang konstruktif atau penarikan diri ekologi, iaitu penarikan diri daripada tindakan kolektif.
Fenomena ini juga memberi implikasi terhadap modal sosial apabila individu mula mengalami keletihan emosi terhadap isu global, sekaligus mengurangkan penyertaan dalam inisiatif komuniti berkaitan kelestarian.

PENDEKATAN MITIGASI KEBIMBANGAN EKOLOGI
Pendekatan menangani kebimbangan ekologi memerlukan kerangka biopsikososial yang mengintegrasikan aspek individu, sosial dan institusi. Pada peringkat individu, intervensi berasaskan penyusunan semula kognitif boleh membantu mengubah persepsi daripada ‘krisis tidak terkawal’ kepada ‘tindakan berimpak kolektif’.
Amalan daya tindak berfokuskan masalah seperti penglibatan dalam aktivisme alam sekitar berskala kecil dapat meningkatkan rasa agensi.
Pada peringkat komuniti, pendekatan pembinaan daya tahan komuniti adalah penting dalam memperkukuh sokongan sosial. Program berasaskan komuniti seperti ekonomi kitaran, penanaman semula hutan bandar dan pendidikan kelestarian mampu mengurangkan isolasi psikologi serta meningkatkan kohesi sosial.
Dari sudut institusi, integrasi antara dasar alam sekitar dan kesihatan mental wajar diberi penekanan dalam kerangka pembangunan mampan. Naratif komunikasi risiko juga perlu diseimbangkan dengan pendekatan berasaskan penyelesaian bagi mengelakkan fenomena ‘keletihan naratif malapetaka’.
Kesimpulannya, kebimbangan ekologi merupakan indikator masyarakat semakin sedar terhadap krisis ekologi global. Namun, tanpa pengurusan psikologi yang efektif, ia berpotensi
menjadi beban afektif yang melemahkan daya tahan sosial.
Oleh itu, transformasi kebimbangan ekologi perlu bergerak daripada ruang kebimbangan kepada ruang tindakan kolektif yang konstruktif.
Dalam kerangka pembangunan lestari, manusia bukan sekadar penggerak ekonomi tetapi juga pemegang amanah terhadap alam sekitar. Sejajar dengan prinsip keseimbangan ekologi dan tanggungjawab moral manusia terhadap bumi, kesejahteraan psikologi dan kelestarian alam tidak boleh dipisahkan. -UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Haryati Shafii ialah Penyelidik Utama Pusat Pembangunan Infrastruktur Mampan dan Pengurusan Alam Sekitar (CSIEM); Penyelidik Bersekutu Pusat Pengurusan Projek, Hartanah dan Perkhidmatan Pengurusan Fasiliti (ProFMs) dan Pensyarah Pengurusan Alam Sekitar, Jabatan Pengurusan Pembinaan, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Husssein Onn Malaysia (UTHM), Johor.










