Kelebihan Madinah kota bercahaya

Kelebihan Madinah kota bercahaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA ini dilaporkan seramai kira-kira 10,000 jemaah haji Malaysia sudah berada di Madinah al-munawwarah (kota bercahaya). Gelaran ini merujuk kepada Madinah sebagai pusat penyebaran Islam yang penting.

Ia juga sebagai simbol kedamaian, keberkatan, dan cahaya petunjuk selepas hijrah Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah. Sebelum kedatangan Nabi SAW, kota ini dikenali sebagai Yathrib.

Operasi Haji 1447H/2026M bermula secara rasmi pada 18 April lalu, dengan 31,600 jemaah haji Malaysia berlepas secara berperingkat ke Madinah dan Mekah menerusi 100 penerbangan sewa khas oleh AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines. 

Sementara menunggu kemuncak haji iaitu wukuf pada 26 Mei, jemaah berpeluang meningkatkan ibadat sepanjang berada di Madinah dan juga Mekah. 

 

SEJARAH LOKASI MASJID NABAWI

Kisah bagaimana lokasi atau tanah ini terpilih sebagai tapak masjid adalah unik. Selepas Nabi SAW keluar dari Quba menuju kota Madinah, ramai yang berebut-rebut mahu mengheret tali unta baginda. Niat mereka adalah menjemput Nabi SAw sebagai tetamu di rumah masing-masing.

Bagaimanapun, Nabi SAW menyerahkan kepada unta baginda untuk membuat keputusan itu. Sabda baginda: “Lepaskanlah, sesungguhnya untaku telah diberi arahan (oleh Allah).”

Diringkaskan cerita, selepas itu unta tersebut pun sambil berjalan dan berpaling ke kiri dan kanan, berhenti di tapak masjid yang ada hari ini. 

Menurut sejarah, Ia pertama kali dibina dalam bulan Rabiulawal tahun pertama hijrah. Keluasannya ketika itu adalah kira-kira 35 X 30 meter (m) dan tingginya kira-kira 2.9m . Ia hanya diperbuat daripada batang tamar manakala atapnya daripada pelepah tamar.

Setakat April 2026, jumlah keluasan Masjid Nabawi dianggarkan mencapai sekitar 300,000 hingga 384,000 meter persegi. Ini termasuk kawasan dataran seperti dan dilapokan mampu menampung kapasiti sehingga 698,000 jemaah dalam satu masa. 

Dalam kesibukan ramai yang mengheret tali unta Nabi SAW, seorang pemuda. Abu Ayyub al-Ansari bertindak bijak dengan mengambil barang-barang Nabi SAW dan dibawa ke rumahnya. Ini supaya baginda menjadi tetamu di rumahnya.

Rumah Abu Ayyub dikatakan betul-betul di hadapan masjid sekarang dan Nabi SAW tinggal di situ kira-kira setahun lamanya.

 

KEUTAMAAN BERIBADAT DI MASJID NABAWI

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:  “Solat di masjidku ini (masjid Nabawi) lebih baik daripada 1,000 kali solat di tempat lain kecuali masjid al-Haram”. (Riwayat Muslim)

Selain itu, kita dituntut untuk tidak menyusahkan diri dalam bermusafir melainkan pada tiga masjid sahaja iaitu Masjidil Haram, Masjid al-Nabawi dan Masjid al-Aqsa. Ia berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu bersusah payah mengembara  (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu Masjid al-Haram, Masjid Rasulullah SAW dan juga Masjid al-Aqsa”. (Riwayat al-Bukhari)

Justeru, janganlah dilepaskan peluang keemasan ketika berada di Madinah untuk pastikan saban waktu kita menunaikan solat berjemaah di Masjid Nabi. Selain pahalanya yang besar, kita juga dapat menunaikan solat jenazah yang boleh dikatakan dilakukan setiap kali selepas solat fardu.

 

JASAD NABI SAW DISEMADIKAN

Satu lagi keistimewaan yang tiada di tempat lain dan yang paling menyentuh hati  pengunjung adalah di dalamnya terletak bekas rumah dan tempat persemadian insan yang paling kita cintai, Nabi Muhammad SAW.

Apabila Rasulullah SAW wafat, para sahabat berbincang di mana jasad Baginda harus disemadikan. Lalu, Saidina Abu Bakar As-Siddiq teringat sabda Nabi SAW bahawa setiap Nabi akan dimakamkan di tempat di mana rohnya dicabut. Maka, jasad mulia Baginda pun disemadikan di dalam bilik Saidatina Aisyah r.ha, iaitu di tempat Baginda menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Seiring dengan peredaran zaman dan pertambahan jemaah, Masjid Nabawi melalui beberapa fasa perluasan. Akhirnya, kawasan rumah Baginda dan makamnya dimasukkan sekali ke dalam bangunan masjid. 

Selain makam Rasulullah SAW, di sisinya turut disemadikan dua sahabatnya yang paling akrab dan khalifah terunggul, iaitu Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Umar Al-Khattab.

Untuk itu, jangan lepaskan peluang menziarahi makam baginda sambil mengucapkan salam. Ia bagi mengubat kerinduan kita kepada insan yang paling banyak berjasa menyebarkan Islam sehingga kita terpilih berada dalam satu-satunya agama yang benar.

Di atas kawasan makam inilah terdirinya sebuah kubah hijau yang ikonik, dikenali sebagai Qubbatul Khadra atau Kubah Hijau, yang menjadi penanda lokasi mulia ini dari kejauhan.

 

MASJID QUBA

Masjid Quba adalah masjid yang pertama dibangunkan Rasulullah SAW iaitu pada 8 Rabiulawal tahun 1 Hijrah sekitar 622M. Ia terletak di luar kota Madinah iaitu kira-kira  5km di sebelah tenggara kota Madinah. 

Masjid Quba kini adalah masjid yang diubah dan diperluas pada masa Kerajaan Arab Saudi. Masjid ini berdiri diatas kebun kurma dengan luas 1,200 meter persegi, dan saat ini keluasan Masjid Quba sekitar 5.035 meter persegi. Masjid ini memiliki 19 pintu dan tiga pintu utama tempat masuk para Jemaah ke dalam masjid ini.

 

MADINAH bukan sekadar destinasi tetapi kota penuh sejarah, keberkatan dan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

 

ANTARA FAKTA MENARIK TENTANG MASJID QUBA

 

Masjid ini didirikan di atas sebidang tanah milik keluarga Kalsum bin Hadam dan Kabilah Amru bin Auf. 

Batu asas pertama masjid ini diletakkan sendiri oleh Rasulullah SAW sebelum diikuti berturut-turut oleh Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Uthman. 

Di masjid ini, solat jemaah pertama buat semua umat Islam telah dilakukan. Yang lebih penting, Nabi SAW menyebut tentang ganjaran bagi yang menziarahi masjid ini sebagaimana sabda baginda SAW yang bermaksud:  “Sesiapa yang bersuci di rumahnya, dan datang ke masjid Quba kemudian solat, maka pahalanya seumpama pahala mengerjakan umrah.” (Riwayat Ibn Majah)

Selepas Perang Tabuk, ada sekumpulan orang munafik yang membina sebuah masjid berdekatan Masjid Quba. Golongan itu dengki terhadap Masjid Quba yang sentiasa dikunjungi oleh orang Islam. Masjid mereka ini dinamakan masjid Dhirar.

Tujuan mereka adalah memecah-belahkan perpaduan umat Islam dan memberi mudarat kepada orang Islam.  Dikatakan masjid ini dibina untuk Abi Umar al-Rahib yang dulunya beragama kristian. 

Baginda Nabi SAW diperintahkan Allah SWT untuk tidak solat di dalamnya dan masjid tersebut kemudiannya diperintahkan untuk dibakar dan dimusnahkan. 

Ia sebagaimana firman Allah SWt yang bermaksud:  “Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata:” Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata “. Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta.”

“Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Quba yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar takwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin). (at-Taubah: 107-108) –UTUSAN

 

MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN