“HANYA menumpahkan air mata itulah kepandaian yang paling penghabisan bagi seorang wanita.” – Buya Hamka.
Apabila Jahidah Nordin dilaporkan koma pada Mei 2021 selepas dipukul suaminya ketika sarat mengandung, gelombang kemarahan awam tidak dapat dibendung. Para aktivis wanita bangkit dengan suara lantang, menuntut keadilan yang sewajarnya buatnya.
Tekanan tersebut hanya mereda apabila pihak polis menahan suspek dan lelaki itu dihadapkan ke mahkamah pada 16 Jun 2021 di bawah Seksyen 325 yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap isterinya.
Selepas lebih tiga tahun melalui proses kehakiman yang panjang dan melelahkan, tertuduh akhirnya didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun.
Keputusan itu pada awalnya dilihat sebagai satu kemenangan buat Jahidah, yang sehingga kini masih terlantar akibat kecederaan kekal yang dialaminya. Namun harapan itu tidak sempat bertahan lama.
Hanya dua hari selepas keputusan diumumkan, pesalah tersebut tanpa sebarang tanda penyesalan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi, mencabar sabitan dan hukuman yang telah diputuskan.
Di sinilah timbul persoalan yang mengundang kemarahan masyarakat.
Selaras dengan peruntukan undang-undang yang membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman, lelaki tersebut tidak dipenjarakan. Sebaliknya, dia terus bebas dengan ikat jamin sementara menunggu proses rayuan.
Kebebasan ini bukan sekadar isu teknikal perundangan tetapi sudah menjadi simbol kegagalan sistem kehakiman dalam melindungi mangsa daripada pelaku yang jelas berbahaya.
Sepanjang proses rayuan, mahkamah turut meneliti beberapa tindakan mencurigakan oleh tertuduh, termasuk cubaan mempengaruhi saksi utama agar menukar keterangan demi kepentingannya.
Walaupun demikian, keadilan masih berpihak kepada Jahidah apabila pada 5 Januari 2026, Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan serta hukuman terhadap lelaki tersebut.
Namun sekali lagi, pelaksanaan hukuman ditangguhkan apabila dia meneruskan rayuan ke peringkat Mahkamah Rayuan. Penangguhan ini sekali gus melanjutkan lagi tempoh kebebasannya.
Lebih memburukkan keadaan, ketika proses kehakiman masih berlangsung, lelaki itu mengambil kesempatan bernikah di luar negara. Tidak lama kemudian, dia sekali lagi dikaitkan dengan kes keganasan apabila pada 23 April lalu didakwa memukul isterinya sehingga menyebabkan keguguran.
Perkembangan ini mencetuskan kemarahan meluas, dengan ramai pihak mempersoalkan bagaimana seorang individu dengan rekod sedemikian masih dibenarkan bebas. Seolah-olah nyawa wanita dan anak yang belum lahir menjadi taruhan sebelum undang-undang benar-benar bertindak tegas.
Pendedahan lelaki ini pernah berkahwin dengan sembilan wanita dan mempunyai 11 orang anak hanya menambah kebimbangan. Malah, pada ketika ini, dia masih merupakan suami sah kepada tiga orang isteri.
Lebih membimbangkan, kebanyakan wanita yang dikahwininya terdiri daripada golongan berpendidikan dan penjawat awam. Ini membuktikan latar belakang sosial bukan jaminan keselamatan daripada manipulasi dan keganasan.
Semakan terhadap rekod jenayahnya menunjukkan corak keganasan yang berulang melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 318 (menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat secara sulit), Seksyen 323 (dengan sengaja menyebabkan cedera dan Seksyen 506 (ugutan jenayah) Kanun Keseksaan.
Dengan latar belakang yang begitu jelas membimbangkan, persoalan yang wajar ditanya adalah, bagaimana penangguhan pelaksanaan hukuman boleh diberikan mahkamah? Dan lebih penting, mengapa maklumat sebegini tidak sampai kepada pihak yang berpotensi menjadi mangsa?

UNDANG-UNDANG TIDAK SEIMBANG
Realitinya, sistem yang ada kini lebih cenderung melindungi hak privasi pesalah berbanding keselamatan bakal mangsa. Ini satu ketidakseimbangan yang tidak boleh terus dipertahankan.
Dalam keadaan kes keganasan rumah tangga semakin meningkat, malah ada yang berakhir dengan kematian, kerajaan wajar mempertimbangkan pindaan undang-undang bagi membolehkan semakan rekod jenayah, khususnya melibatkan kes keganasan terhadap wanita, sebelum sesuatu perkahwinan didaftarkan.
Harga hak privasi tidak seharusnya mengatasi nilai nyawa manusia. Memberi akses terhad kepada rekod jenayah lampau, khususnya dalam konteks perlindungan pasangan, bukanlah satu pencabulan sebaliknya langkah pencegahan yang wajar dan perlu.
Kes ini juga menyingkap kelemahan dalam prosedur perundangan yang berulang kali dimanipulasi. Ia bukan insiden terpencil. Masyarakat sudah terlalu kerap menyaksikan bagaimana pelaku jenayah berjaya melengah-lengahkan hukuman atau terus terlepas akibat kelompongan sistem.
Persoalannya kini semakin mendesak, berapa lama lagi keadaan ini harus berlarutan dan berapa ramai lagi yang perlu menjadi mangsa? Mahkamah sebagai benteng terakhir keadilan tidak boleh sekadar berpegang kepada tafsiran sempit undang-undang tetapi perlu berani menegakkan semangat keadilan itu sendiri agar keputusan yang diberikan adalah tegas, konsisten dan berpihak kepada mangsa.
Dalam realiti yang menyayat hati ini, anak yang dilahirkan oleh Jahidah kini telah berusia lima tahun tetapi membesar tanpa pernah mengenali sentuhan ibunya.
Seorang ibu yang masih terperangkap dalam keadaan tidak sedarkan diri dan seorang anak yang membesar dalam keadaan yang tidak pernah dipilihnya. Kisah Jahidah bukan sekadar kisah sebuah keluarga tetapi cerminan kegagalan yang lebih besar.
Undang-undang yang pernah gagal melindungi wanita-wanita yang sudahpun dimangsakan ini tidak boleh terus gagal.
Ketegasan dan taring tajam undang-undang mesti bangkit, diperbaiki serta ditegakkan dengan keberanian agar keadilan yang tertangguh sekian lama akhirnya membela juga melindungi jutaan wanita di Malaysia. -UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang beramal di Kuala Lumpur.










