PADA 5 Mac lalu, pakar pendidikan dari Belanda, Dr. Carl Hendrick menerbitkan sebuah esei bertajuk Reading Comprehension Is Not a Skill di portal Substack.
Saya tertarik kerana walaupun tulisan itu kelihatan seperti satu bentuk provokasi intelektual tetapi sebenarnya mengulangi hakikat lama dalam psikologi kognitif.
Pada penelitian saya, Hendrick menekankan hakikat kefahaman membaca bukan sekadar teknik atau kemahiran yang boleh diajar secara umum. Sebaliknya, ia adalah hasil daripada pengetahuan yang sudah terkumpul dalam minda pembaca.
Pensyarah universiti itu menegaskan, apabila seseorang pelajar gagal mengenal pasti idea utama dalam teks yang dibaca, maka masalah bukan berpunca daripada ketiadaan strategi membaca.
Sebaliknya, pelajar terbabit tidak memahami cukup banyak perkataan dalam teks tersebut. Tanpa pemahaman kosa kata dan latar pengetahuan yang mencukupi, segala strategi seperti membuat inferens atau merumuskan isi hanya menjadi ritual pedagogi yang kosong di bilik darjah.
Saya sangat bersetuju kerana pandangan Hendrick boleh dirumuskan melalui satu premis asas.
Sebenarnya, sesuatu teks tidak membawa makna secara lengkap secara tekstual semata-mata. Hal ini juga ditekankan dalam pengajian sastera di universiti.
Makna hanya terhasil apabila teks itu bertemu dengan pengetahuan sedia ada dalam minda pembaca.
Sebagaimana ditegaskan oleh Hendrick dalam eseinya, makna sebuah teks bergantung kepada jaringan kosa kata, maklumat latar serta kerangka konseptual yang dibina melalui pengalaman bertahun-tahun si pembaca.
Dengan kata lain, membaca bukan proses menyerap makna terus daripada teks di depan mata. Sebaliknya, proses mengaktifkan pengetahuan yang sudah ada dalam minda pembaca.
Idea ini selari dengan model psikologi kognitif yang menyatakan pemahaman berlaku apabila teks mencetuskan rangkaian makna yang berpunca daripada pengetahuan terdahulu pembaca.
Apabila premis ini dibawa ke dalam konteks sastera kebangsaan di negara kita, saya dapat melihat bagaimana teori Hendrick memperoleh dimensi yang lebih luas.
Sebagai contoh, Sasterawan Kavyan ialah kelompok penulis kaum India yang memilih bahasa kebangsaan sebagai wahana kreatif. Pilihan bahasa ini bukan sekadar keputusan linguistik tetapi juga keputusan budaya. Mereka mahu memperkaya sastera kebangsaan dengan menampilkan watak, budaya dan pemikiran komuniti sendiri.
Setiap cerpen, esei atau novel yang dihasilkan kelompok ini sebenarnya memerlukan pembaca untuk membawa bersama latar pengetahuan tertentu tentang pengalaman masyarakat India di Malaysia.
Tanpa latar ilmu itu, pembacaan mungkin menjadi sekadar pengenalan kepada kata-kata yang indah dan puitis tetapi tidak sampai kepada makna yang lebih dalam.
Dalam kebanyakan karya Sasterawan Kavyan, pembaca akan berhadapan dengan rujukan budaya yang sangat khusus. Misalnya istilah keagamaan, adat keluarga Malayali atau pengalaman kehidupan di ladang getah yang menjadi sebahagian daripada sejarah masyarakat Tamil di Malaysia.
Bagi pembaca yang tidak mempunyai latar pengetahuan ini, cerpen yang dibaca mungkin kelihatan sukar atau asing. Namun, sebagaimana ditegaskan oleh Hendrick dalam eseinya, kesukaran itu bukan berpunca daripada kelemahan teknik membaca.
Sebaliknya berlaku kerana jaringan pengetahuan yang diperlukan belum wujud dalam minda pembaca. Di sinilah tesis Hendrick menjadi jelas iaitu pemahaman bukan kemahiran universal yang boleh dipindahkan ke semua teks, sebaliknya bergantung kepada sejauh mana pembaca memahami dunia yang dirujuk dalam teks tersebut.
Di sinilah kita perlu sedar, membaca karya sastera kebangsaan sebenarnya merupakan pertemuan antara teks (penulis) dan pengalaman hidup (pembaca). Teks hanyalah rangka manakala makna sebenar dibina oleh pembaca melalui memori, emosi dan pengetahuan budaya yang dibawa hasil didikan keluarga dan pergaulan dengan masyarakat sejak kecil.
Maka, usaha memperkayakan kosa kata dan pengetahuan latar budaya menjadi jauh lebih penting daripada sekadar mengajar strategi membaca kepada pelajar.
Hendrick dalam eseinya mengkritik pendekatan pendidikan yang terlalu menekankan teknik seperti mengenal pasti idea utama atau membuat inferens tanpa memastikan pelajar mempunyai asas pengetahuan yang kukuh tentang kandungan teks.
Hasil pengalaman mengendalikan program galakan membaca di seluruh negara sejak 1994, saya juga bersetuju dengan pandangan Hendrick. Apabila pelajar atau pembaca tidak memahami banyak perkataan dalam sesuatu teks, mereka tidak mungkin mampu menjalankan strategi mengenal pasti idea utama atau membuat inferens dengan berkesan.
Hakikat ini juga memperlihatkan hubungan antara sastera dan pendidikan. Jika pemahaman membaca mampu bergantung kepada pengetahuan latar yang sedia ada, maka kurikulum yang kaya dengan kandungan budaya pelbagai kaum dapat membantu pelajar menjadi pembaca yang lebih baik.

SASTERA SEBAGAI JAMBATAN MASYARAKAT
Sastera kebangsaan yang rencam dan pelbagai, termasuk karya penulis bukan Melayu dari seluruh pelosok negara, boleh berfungsi sebagai jambatan yang memperluas horizon pengetahuan pelajar.
Apabila pelajar memahami lebih banyak tentang budaya, sejarah dan pengalaman masyarakat lain, mereka bukan sahaja menjadi pembaca yang lebih cekap, malah juga individu yang lebih peka terhadap kepelbagaian masyarakat Malaysia.
Sambil membaca esei Hendrick, saya mengingatkan diri tentang hakikat proses membaca bukan sekadar aktiviti linguistik, sebaliknya proses intelektual yang berakar pada pengetahuan.
Teks tidak pernah berdiri sendiri atau bersifat tekstual kerana sentiasa menuntut pembaca membawa pengalaman silam dan dunia mereka sendiri ke dalam halaman yang dibaca.
Dalam konteks sastera kebangsaan, kebenaran ini menjadi semakin jelas. Makna tidak hanya terletak pada kata-kata yang ditulis, sebaliknya juga pada pertemuan antara pengalaman hidup penulis dan pengetahuan yang dimiliki pembaca.
Apabila kedua-dua unsur ini bertemu, barulah teks benar-benar hidup dan berbicara. Barulah pembacaan dan pengajian teks sastera dan karya kreatif di sekolah akan menjadi menarik serta lebih bermakna. -UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










