BAYANGKAN seorang ibu berusia 75 tahun duduk bersendirian di rumah yang suatu ketika dahulu penuh dengan suara anak-anak. Dahulu, dialah insan yang bangun paling awal setiap pagi, menyediakan makan minum keluarga, menghantar anak ke sekolah, berjaga malam ketika anak demam dan berkorban apa sahaja demi memastikan keluarganya terus bertahan.
Namun apabila usia semakin lanjut dan kesihatan mula merosot, rumah yang sama menjadi semakin sunyi. Telefon jarang berbunyi, kunjungan semakin berkurang dan yang tinggal hanyalah ubat-ubatan di atas meja serta kenangan yang semakin menjauh.
Situasi seperti ini mungkin kelihatan dramatik tetapi hakikatnya ia semakin menjadi realiti sosial di Malaysia hari ini.
Sebab itu apabila kerajaan membincangkan cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas, masyarakat mula memberi perhatian. Ada yang menyokong kerana melihat sudah tiba masanya isu kebajikan dan pengabaian warga emas ditangani dengan lebih serius. Ada juga yang bimbang kerana hubungan kekeluargaan tidak semudah diselesaikan melalui undang-undang.
Setakat Mei lalu, RUU tersebut masih belum dibentangkan di Parlimen walaupun cadangannya telah dibincangkan sejak beberapa tahun lalu. Namun proses yang masih berjalan menunjukkan kerajaan melihat isu warga emas sebagai cabaran yang semakin mendesak.
Cadangan tersebut juga bukan sekadar memfokuskan tanggungjawab anak terhadap ibu bapa tetapi turut melibatkan aspek perlindungan, kebajikan dan hak warga emas secara lebih menyeluruh.
Sebenarnya, isu ini tidak muncul secara tiba-tiba. Malaysia kini bergerak pantas menuju negara menua. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), populasi rakyat berumur 60 tahun ke atas mencecah sekitar 3.9 juta orang atau 11.6 peratus daripada jumlah penduduk negara.
Menjelang 2040 pula, jumlah itu dijangka meningkat kepada sekitar 6.4 juta orang atau 17.3 peratus populasi negara. Malaysia juga telah dikategorikan sebagai negara menua apabila jumlah penduduk berumur 65 tahun ke atas melebihi tujuh peratus daripada keseluruhan populasi.
Dalam bahasa mudah, semakin ramai rakyat Malaysia akan memasuki fasa tua dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.
Apa yang lebih membimbangkan, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025 menunjukkan hampir satu daripada lima warga emas di Malaysia kini tinggal bersendirian. Angka itu meningkat secara mendadak berbanding hanya 6.3 peratus pada 2018.
Dalam masa sama, hanya 14.7 peratus warga emas di negara ini mencapai tahap ‘penuaan sejahtera’.
Majoriti pula hidup dengan pelbagai masalah kesihatan apabila 68 peratus mempunyai sekurang-kurangnya dua penyakit kronik dan hampir 10 peratus mengalami demensia.
Keadaan ini menunjukkan ramai warga emas bukan sahaja memerlukan perhatian emosi tetapi juga penjagaan kesihatan yang berterusan.
Perubahan gaya hidup turut menyumbang kepada keadaan ini. Jika dahulu ramai anak tinggal bersama ibu bapa walaupun sudah berkahwin, kini ramai terpaksa berhijrah ke bandar besar atau berpindah negeri demi pekerjaan. Urbanisasi dan tekanan ekonomi menjadikan hubungan kekeluargaan semakin dipengaruhi oleh faktor lokasi dan tuntutan kerjaya.
Pada masa sama, bilangan anak dalam keluarga juga semakin kecil. Malaysia kini mencatat kadar kesuburan sekitar 1.6 anak bagi setiap wanita, jauh di bawah paras penggantian penduduk iaitu 2.1.
Jumlah kelahiran hidup pada 2024 juga dilaporkan sebagai yang terendah sejak 1980. Jika dahulu seorang ibu bapa mungkin mempunyai lima atau enam anak untuk berkongsi tanggungjawab menjaga mereka ketika tua tetapi hari ini ramai pasangan hanya mempunyai seorang atau dua anak sahaja. Akhirnya, beban penjagaan menjadi lebih berat dan tertumpu kepada individu tertentu dalam keluarga.
Di sinilah munculnya golongan yang sering disebut sebagai generasi sandwich, iaitu mereka yang perlu menyara anak-anak sendiri sambil menjaga ibu bapa yang semakin uzur. Mereka bukan tidak mahu berbakti kepada ibu bapa tetapi realiti kehidupan hari ini menjadikan tanggungjawab itu semakin mencabar.
Kos penjagaan warga emas juga semakin tinggi. Pusat jagaan swasta di Malaysia boleh mengenakan bayaran antara RM1,500 hingga lebih RM12,000 sebulan bergantung kepada tahap penjagaan dan keadaan kesihatan penghuni.
Dalam masa sama, ramai rakyat belum mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi. Data menunjukkan 58 peratus ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur 54 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM100,000, jauh lebih rendah daripada jumlah diperlukan untuk menjalani kehidupan persaraan yang stabil.
Lebih membimbangkan, sistem penjagaan jangka panjang negara juga masih belum benar-benar bersedia. Kapasiti rumah jagaan berlesen masih terhad berbanding jumlah warga emas yang semakin meningkat. Banyak pusat jagaan pula tertumpu di kawasan bandar dan melibatkan kos yang sukar ditanggung oleh kebanyakan keluarga.
Sebab itu cadangan RUU Warga Emas perlu dibincangkan secara seimbang. Ya, undang-undang mungkin boleh membantu mengurangkan kes pengabaian serius terhadap warga emas. Namun kita juga perlu mengakui kasih sayang, perhatian dan hubungan kekeluargaan tidak boleh dipaksa sepenuhnya melalui hukuman atau perintah mahkamah.

EKOSISTEM YANG BAIK
Apa yang lebih penting ialah bagaimana negara membina ekosistem penjagaan warga emas yang lebih baik. Jika kerajaan mahu memperkenalkan RUU ini, maka sistem sokongan juga perlu diperkukuhkan.
Malaysia memerlukan lebih banyak pusat jagaan warga emas yang berkualiti dan mampu milik, khususnya di kawasan luar bandar. Sokongan kepada penjaga keluarga juga perlu diberi perhatian kerana ramai sebenarnya mengalami tekanan emosi dan keletihan melampau ketika menjaga ahli keluarga yang uzur dalam tempoh panjang.
Hakikatnya, isu penjagaan warga emas tidak lagi boleh diserahkan sepenuhnya kepada keluarga semata-mata. Ia kini menjadi isu sosial dan dasar negara yang memerlukan kerjasama kerajaan, komuniti, majikan, institusi kesihatan dan masyarakat.
Akhirnya, perbincangan tentang RUU Warga Emas bukan sekadar soal menghukum anak yang mengabaikan ibu bapa tetapi adakah Malaysia benar-benar bersedia menjadi negara menua? -UTUSAN
NOOR Aslinda Abu Seman ialah Pensyarah Kanan Johor Business School, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
UMI Kartini Rashid ialah Pensyarah Kanan Johor Business School, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).










