SEKATAN Selat Hormuz yang digerakkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilihat sebagai sebahagian daripada usaha lebih besar untuk mengekalkan tekanan terhadap Iran, berunding dari kedudukan yang lebih kuat dan memaksa Tehran memasuki rundingan dalam keadaan yang semakin lemah, sambil menutup talian hayat ekonominya.
Washington kini tidak lagi hanya menekan Iran dari udara. Ia sedang memasuki salah satu misi ketenteraan paling sukar, iaitu kawalan laut yang berterusan. Dari sudut praktikal, Tentera Laut AS berdepan dua tugasan yang saling berkait.
Pertama, menyekat pelabuhan Iran dan menghalang kapal daripada membawa masuk atau keluar barangan, bekalan dan kargo tenaga. Kedua, mempertahankan ruang maritim sekitarnya daripada periuk api, peluru berpandu, dron dan ancaman asimetri lain yang boleh menggugat sekatan jangka panjang itu.

Sekatan ialah strategi perang konvensional yang bertujuan memutuskan perdagangan dan bekalan sesebuah negara. Ia direka untuk menghalang kapal daripada memasuki atau meninggalkan pelabuhan, sekali gus menjejaskan hasil negara dan melemahkan daya tahannya ketika konflik.
Dalam kes Iran, kepentingannya amat besar. Pertaruhannya ialah kira-kira dua juta tong minyak sehari yang boleh dihalang daripada memasuki pasaran global, sekali gus menyempitkan lagi pilihan ekonomi Tehran.
Cabaran AS bukan sahaja menghalang kapal daripada berlabuh atau keluar dari pelabuhan Iran, tetapi juga memastikan perairan sekitarnya selamat untuk kapal-kapal lain.
Walaupun pembukaan semula Selat Hormuz sepenuhnya masih tertakluk kepada rundingan kedua ini, keadaan semasa masih berbentuk coercive bargaining, dibina atas pertimbangan menjaga maruah, imej kedaulatan dan pengaruh yang masih ingin dipertahankan.
Washington pula sedang berusaha membuktikan kredibilitinya, memperlihatkan bahawa tindakannya selari dengan retorik amarannya dan meluaskan capaian operasi supaya tekanan maritim itu benar-benar memberi kesan ekonomi.
Dalam keadaan semasa, sekurang-kurangnya dari sudut ekonomi dan ketenteraan, Tehran kelihatan semakin sukar untuk mengekalkan strateginya.
Tunjang utama kuasa tawar-menawarnya sedang terhakis. Pertama, keupayaan ketenteraan dan daya cegah rintangnya telah menjadi sasaran serangan Washington yang bertujuan melemahkan kapasiti dan pengaruhnya.
Kini, komponen terakhir pengaruh Iran, iaitu kawalan ke atas Selat Hormuz, juga boleh menjadi semakin lemah jika Washington berjaya membuka laluan itu. Satu lagi baki pengaruh Iran, iaitu hak memperkayakan uranium, kini sedang dirundingkan dengan kemungkinan wujudnya pengekangan jangka panjang.
Matlamat Washington jelas, iaitu memastikan Tehran berunding dalam keadaan lemah dan tanpa lagi kapasiti tawar-menawar yang bermakna.
Apabila sesebuah negara kehilangan ruang gerak ketenteraan, melihat ekonominya semakin tertekan, berdepan tekanan terhadap program strategiknya dan mula kehilangan kawalan terhadap eskalasi di laut, pendirian diplomatiknya dijangka berubah.
Inilah kesan yang cuba dihasilkan oleh Washington.
RUNDINGAN NUKLEAR
Pendirian Tehran kelihatan hampir tidak boleh dirundingkan. Iran tidak mahu melepaskan benteng terakhirnya dan satu-satunya pengaruh besar yang masih berbaki, iaitu keupayaan memperkayakan uranium demi kelangsungan jangka panjangnya, sebagaimana Korea Utara juga tidak akan berbuat demikian.
Persoalannya kini ialah sama ada Washington akan terus berpegang pada tuntutan larangan kekal, atau menunjukkan pengekangan strategik demi mencapai jalan keluar yang lebih cepat sambil tetap mengekalkan naratif kemenangan dengan pendekatan lebih fleksibel.
Washington dilaporkan telah mengemukakan cadangan penggantungan aktiviti nuklear Iran selama 20 tahun, satu perubahan ketara daripada tuntutan maksimum sebelum ini yang mahukan larangan kekal.
Tehran pula membalas dengan cadangan penghentian yang jauh lebih singkat, sekitar tiga hingga lima tahun.
Jurang itu sendiri menunjukkan bagaimana kedua-dua pihak melihat rundingan ini melalui lensa yang sangat berbeza. AS sedang berusaha menukar tekanan ketenteraan dan maritim kepada pengunduran strategik jangka panjang oleh Iran.
Tehran pula cuba memastikan bahawa sebarang konsesi yang diberi bersifat sementara, boleh diundur semula dan masih boleh dipertahankan dari sudut politik domestik.
Dari sudut Tehran, cadangan 20 tahun itu membawa kekangan besar. Ia akan melemahkan nilai cegah rintang Iran dan tempohnya terlalu panjang dalam perspektif domestik Iran kerana ia akan dilihat sebagai pengorbanan hak nasional teras bagi seluruh satu generasi politik.
Ia juga berisiko mewujudkan precedent bahawa Iran akhirnya menerima perjanjian di bawah tekanan yang selama ini ditentangnya selama berdekad-dekad, malah tempohnya lebih panjang daripada perjanjian era Obama.
Maka, pembekuan selama 20 tahun akan dibaca di Tehran sebagai pelucutan strategik secara beransur-ansur.
Itulah sebabnya tawaran balas Iran jauh lebih pendek, agar ia masih dapat mengekalkan naratif bahawa Iran berunding, tetapi tidak tunduk.
Iran kini juga perlu mencari imbangan jangka panjangnya: Sama ada menunjukkan pengekangan strategik sekarang untuk meraih manfaat normalisasi, pelonggaran sekatan dan mungkin juga pampasan tertentu atau mengambil risiko konflik berpanjangan.
Jika pusingan kedua ini gagal, Washington mungkin akan menggunakan kegagalan itu sebagai alasan untuk meneruskan serangan dan tekanan ekonomi.
MATLAMAT AKHIR
Inilah sebabnya rundingan pusingan kedua ini penting. Terlalu banyak yang sedang dipertaruhkan. Pusingan pertama nampaknya telah mengenal pasti halangan-halangan sebenar dan menunjukkan adanya kemajuan.
Pusingan kedua akan menguji sama ada kemajuan itu boleh diterjemahkan kepada penyelesaian jangka sederhana yang lebih konkrit, atau sekurang-kurangnya kepada lanjutan gencatan senjata bagi membuka ruang rundingan seterusnya.
Namun, menangguhkan atau melanjutkan rundingan terlalu lama juga membawa risiko. Ia akan melemahkan momentum serta proses membina keyakinan. Sebarang penangguhan boleh mengundang campur tangan dan pengaruh luar yang akhirnya menjejaskan keseluruhan proses damai.
Iran masih memiliki keupayaan mengganggu, keazaman ideologi dan naluri kelangsungan hidup. Ia masih berupaya mencetuskan ketidakstabilan serta menyebabkan kesan ekonomi jangka panjang kepada AS.
Keadaan ini masih sangat boleh diselamatkan. Terdapat petunjuk yang semakin meyakinkan bahawa ruang diplomatik masih wujud.
Pusingan kedua rundingan akan menjadi penentu sama ada kedua-dua pihak mampu menukar tekanan kepada jalan keluar yang boleh dilaksanakan, atau sebaliknya membiarkan ia berkembang menjadi peningkatan risiko yang lebih luas.
Risikonya memang tinggi, tetapi insentif untuk de-escalation dan kekangan strategik juga semakin bertambah. Dividen keamanan mesti kekal sebagai matlamat akhir kedua-dua pihak, kerana rantau ini dan dunia tidak mampu menanggung konflik yang lebih mendalam.
Dividen keamanan mesti diusahakan oleh kedua-dua pihak, kerana dunia memerlukannya. – UTUSAN
COLLINS Chong Yew Keat ialah Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Malaya.










