Ramadan, Syawal perkukuh perpaduan masyarakat majmuk

Ramadan, Syawal perkukuh perpaduan masyarakat majmuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GELORA dunia hari ini mendiasporakan kesedaran ramai orang tentang nilai kemanusiaan, keamanan dan kesejahteraan di mana sahaja.

Bagi rakyat Malaysia, Ramadan diraikan dengan rasa kesyukuran yang tidak terhingga atas keamanan dikurniakan Yang Maha Esa kepada negara tercinta ini.

​Ramadan juga bukan sekadar bulan ibadah bagi umat Islam, malah menjadi ruang penting untuk memperkukuh nilai kemanusiaan, kebersamaan dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Dalam konteks masyarakat majmuk, tradisi berbuka puasa menjadi wadah sosial yang menyatukan masyarakat melalui nilai perkongsian rezeki, kesederhanaan dan saling menghormati.

Tradisi berbuka puasa atau iftar yang diraikan secara berjemaah bukan sekadar peluang yang disia-siakan begitu sahaja. Pada kesempatan ini, kami berdua menimba pengalaman bermakna menyertai Program Jaulah Ramadan Komuniti Kementerian Pendidikan (KPM) Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang diadakan di Masjid Saidina Othman Ibnu Affan, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur pada 2 Mac, lalu.

Melalui program ini jelas dapat dirasakan semangat gotong-royong serta keprihatinan golongan muda tidak kira agama dan bangsa turut meraikan program bermakna ini.

Program dicetuskan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ini bukan sekadar meraikan semangat Ramadan tetapi beliau turut berkesempatan menjelajah ke beberapa buah negeri antaranya di Johor, Melaka, Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Kedah dan Pulau Pinang.

Jadual padat tidak menghalang beliau menjelajah bagi bertemu pelbagai pihak. Beliau turut berpeluang meraikan program Ziarah Jawi di bazar Ramadan bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Selain memartabatkan tulisan Jawi melalui program ini, Fadhlina turut menyampaikan gagasan pendidikan negara kepada semua pihak agar mereka terus menyokong aspirasi pendidikan yang menyeluruh.

Ramadan di negara ini berkembang menjadi budaya sosial yang mempertemukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang. Di masjid, surau, institusi pendidikan dan kawasan kejiranan, majlis iftar turut menjadi wadah pertemuan yang menyatukan masyarakat tanpa mengira kedudukan sosial, kaum atau latar budaya. Peribahasa Melayu ada menyebut, ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.’

​Malaysia pada saat ini berhati-hati dalam konflik perseteruan kuasa-kuasa negara dunia yang mencetuskan ketegangan dan seterusnya peperangan.

Peperangan adalah jenayah yang sukar untuk dibendung dan merugikan banyak pihak. Kesan peperangan menjadi trauma berpanjangan khususnya kepada masyarakat umum yang tidak bersalah apatah lagi kanak-kanak dan wanita.

​Peperangan juga mengakibatkan sistem ketatanegaraan sebuah negara berdaulat tidak dilaksanakan seperti termaktub dalam perlembagaan.

Sistem ini merangkumi urus tadbir pemerintahan beraja, politik, pengurusan sumber kekayaan serta ekonomi negara, hal ehwal rakyat, pertahanan dan keselamatan, hubungan diplomatik, sistem sosial selain pendidikan. Kesemua elemen ini saling melengkapi bagi mewujudkan keseimbangan dalam ekosistem pemerintahan, sekali gus memastikan kelangsungannya berjalan selaras perlembagaan negara.

Sejarah yang diwariskan dari satu generasi ke generasi seterusnya membentuk kesedaran era peperangan menjadi pengalaman yang terpahat dalam jiwa. Selagi hayat dikandung badan, kita sebagai warganegara akan terus berusaha mempertahankan kedaulatan tanah air dan memikul tanggungjawab tersebut.

​Dorongan ini bukan bicara ‘menyedapkan hati’ tetapi bukti tentang iltizam yang dilaksanakan secara konsisten termasuk di Sarawak dan Sabah, iaitu apabila Malaysia mencapai Skor Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025, mencatat pencapaian bersejarah dengan nilai 0.701.

Nilai ini melepasi paras sederhana tinggi dan mencapai sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). Peningkatan ini juga menunjukkan tahap perpaduan rakyat Malaysia semakin kukuh berbanding 0.629 pada 2022.

Jelaslah dalam kehidupan seharian, setiap daripada kita sentiasa mengambil ruang serta peluang untuk saling kasih sayang, empati serta memperkukuh nilai perpaduan dan nasionalisme. Hal ini termasuklah usaha memperbaiki komunikasi dan penggunaan bahasa yang lebih baik serta betul, di mana sahaja kita berada.

Daripada momen-momen kecil inilah, dapat memperkukuh budaya perpaduan yang akhirnya memberi impak besar kepada citra negara bangsa. Daripada golongan pemimpin hingga kanak-kanak yang baru mula bertutur, citra kebijaksanaan bangsa dapat diasuh dan digilap dengan sebaiknya oleh semua pihak.

 

RAMADAN dan Syawal bukan sekadar bulan ibadah dan perayaan tetapi juga menjadi ruang penting untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

MODAL SOSIAL PACU PERPADUAN NEGARA

Melalui pelbagai pendekatan termasuk aktiviti kemasyarakatan iaitu pembinaan konsep modal sosial yang menekankan kepentingan jaringan hubungan, membolehkan kepercayaan dan kerjasama dalam masyarakat menerbitkan perpaduan utuh dan seterusnya menjadi rimbun perpaduan yang akan menaungi kegemilangan masa hadapan Malaysia.

Syawal diraikan diwarnai dengan pelbagai citra budaya yang menyatukan rumpun etnik dan keturunan melahirkan bangsa Malaysia yang unik. Peribahasa Melayu ‘tak kenal maka tak cinta’ amat tepat dalam menggambarkan proses kefahaman budaya ini.

Apabila masyarakat berpeluang berinteraksi dan berkongsi pengalaman bersama, membolehkan rasa hormat dan persefahaman antara komuniti semakin kukuh.

Perpaduan semakin terserlah apabila dilihat secara nyata dalam ruang sosial masyarakat ibarat aur dengan tebing.

Sesungguhnya, Ramadan bukan sekadar bulan ibadah tetapi juga memperlihatkan wajah sebenar masyarakat Malaysia yang hidup dalam semangat muhibah dan perpaduan.

Kehadiran Syawal menambah seri warna-warni wajah Malaysia yang unik, dalam keterlihatan nilai kebersamaan inilah terletaknya kekuatan sebenar bangsa yang mampu membina masa hadapan negara secara bersama.

Dalam meraikan kesyukuran, pastikan menjaga alam sekitar agar kelak, tidak pula ‘berperang’ dengan nadi kehidupan kita ini.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.-UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Felo Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

RABI’AHTULADAWYAH Md. Saleh ialah Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka. (DBP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN