“SEGELINTIR lagi anak muda Malaysia pula dijangkiti sindrom lupa sejarah di peringkat yang serius dan parah. Mereka tidak tahu susur-galur bangsanya, mereka tidak menghargai perjuangan bangsanya, mereka juga langsung tidak menghargai pengorbanan yang telah diberikan oleh negaranya.
“Ada juga segelintir generasi muda di Malaysia yang telah diresapi sindrom universalisme yang total. Mereka terlalu kagum dengan cara hidup bangsa Eropah. Mereka terlalu taksub dengan konsep demokrasi liberal. Mereka memperjuangkan hak asasi individu tanpa sebarang batas sejarah, adat, resam, budaya, moral dan agama.
“Mereka amat terpesona dengan slogan neoimperialisme, termasuklah perubahan rejim, kebebasan mutlak dan kebebasan suara hakiki.“ – Datuk Dr. Ruhanie Ahmad.
Malaysia sudah berdekad lama mengekalkan reputasi pejuang kepada negara-negara Islam yang tertindas.
Sebagai ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Malaysia menghantar bantuan kepada rakyat Bosnia melalui misi Malaysian Battallion (MALBATT) ketika negara itu bergolak sekitar 1992 hingga 1995. Juga ketika Somalia bergolak sekitar 1993 hingga 1994.
Terkini, Malaysia sekali lagi menegaskan kesediaan untuk menghantar pasukan pengaman dalam konflik Asia Barat yang sedang berlaku khususnya dalam memantau situasi di Lubnan.
Biarpun kapasiti Malaysia dilihat kecil tetapi kebolehan dan kemahiran anggota ketenteraan Malaysia jauh melangkaui negara yang dilihat lebih gah.
Reputasi Malaysia dan setiap cabang ketenteraannya disegani dan dikagumi.
Tambahan pula sebagai anggota Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL), ramai rakyat Malaysia yang pulang dalam keadaan tercedera.
Semua ini dilakukan kerana semangat perjuangan rakyat Malaysia mencerminkan bukan sahaja keberanian bertempur tetapi kesungguhan membela prinsip keadilan sejagat.
Pengorbanan rakyat Malaysia bagi membela rakan sekutu yang tertindas tidak boleh dipersoal lagi. Malah sebagai negara Islam, Malaysia tidak pernah alpa dalam memperkasakan advokasi rakyat Palestin yang ditindas regim zalim Israel.
Kerana itulah, ketegasan pendirian negara harus diterap masuk sebagai jati diri anak bangsa Malaysia yang menyintai negara ini.
Penerapan patriotisme bukan sekadar kesetiaan kepada negara tetapi juga kesediaan untuk berkorban demi kelangsungan negara.
Malaysia amat wajar menjadikan perang di Iran sebagai pengajaran tegas agar dijadikan sempadan.
Pada ketika negara itu sedang diporak-perandakan sekutu Amerika Syarikat (AS) dan Israel, ada rakyat Iran yang sudah berhijrah ke luar negara bertindak biadap dan tanpa belas meraikan pengeboman beberapa infrastruktur penting di Iran.
Lebih jijik lagi, mereka bukan sahaja melaungkan propaganda pro-imperialis di media sosial tetapi turut berjoget riang dalam pada saudara senegara dibedil tentera AS-Israel.
Pengkhianat negara Iran sebegini tidak perlu digula-gulakan dengan wang ringgit. Cukup sekadar disogok dengan prinsip kebebasan mutlak dan kebebasan suara hakiki berlandaskan konsep demokrasi liberal.
Dengan begitu mudah mereka terleka sehingga binasa ke atas negara asal diraikan, disorak dan dijulang.
Kebiadapan mereka amat membimbangkan kerana menjadi pemangkin untuk wacana yang lebih besar, adakah sentimen patriotisme semakin terhakis pada era ini?
Di beberapa landasan media sosial, sudah tular kandungan mewawancara generasi muda tentang pandangan mereka terhadap konsep patriotisme. Apa yang jelas, semakin ramai generasi Z yang dengan lantang menegaskan keengganan mereka berkorban demi negara.

BETULKAN KESILAPAN
Amat membimbangkan jika generasi muda di Malaysia turut memandang ringan prinsip patriotisme dan hilang semangat nasionalisme.
Kesan buruk hanya akan terlihat apabila imej baik negara sudah diinjak semata-mata kerana terleka dengan suntikan neoimperialisme melalui dakyah budaya sesat mereka.
Penggubalan undang-undang yang menolak anasir kotor luar juga kian mendesak. Pada 2018, terdapat cadangan agar diadakan akta untuk memantau ejen asing yang beroperasi di Malaysia.
Namun cadangan ini tidak pernah direalisasikan. Maka pantauan sedia ada terbahagi melalui pelbagai akta termasuklah Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88] dan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335].
Bagi menangkis pemahaman neoimperialisme yang merasakan dunia Barat dan Eropah sebagai lebih baik, Kementerian Pendidikan seharusnya menerapkan silibus patriotisme yang lebih kemas agar anak muda bangsa Malaysia tahu tentang susur-galur bangsanya, menghargai perjuangan bangsanya dan menyayangi negaranya.
Rakyat Malaysia perlu tumbuh melalui prinsip tersendiri yang dibentuk tatasusila ketimuran yang progresif.
Sejarahwan negara juga kini semakin tegas mendesak agar sejarah negara dapat ditelesuri semula bagi memperbaiki dan membetulkan pelbagai fakta sejarah yang salah selama ini diajarkan di sekolah.
Antara terapan sejarah yang paling merosakkan adalah merendahkan kehebatan kerajaan silam dengan mengatakan bangsa Melayu dahulu kala cetek ilmu, tidak punya banyak kosa kata dan tidak handal berperang. Sedangkan fakta ini disangkal dokumen oleh para penjajah negara sendiri.
Tuntutan neoimperialisme yang mendesak pertukaran regim bagi kerajaan asing tidak bersekutu dengan AS dan Eropah bukanlah perkara enteng yang mudah diperangi.
Langkah pertama yang Malaysia harus lakukan adalah dengan memastikan setiap rakyat negara ini tidak akan belut kedaulatan negara.-UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang beramal di Kuala Lumpur.










