Musyawarah Nasional pacu anjakan demokrasi matang

Musyawarah Nasional pacu anjakan demokrasi matang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA kini berada pada persimpangan kritikal yang menuntut keberanian melakukan anjakan paradigma dalam amalan demokrasi.

Ketika dunia bergerak pantas dengan model tadbir urus yang semakin sofistikated dan berorientasikan hasil, sayangnya landskap politik domestik masih terperangkap dalam kitaran lama dipenuhi retorik dangkal, perpecahan intra-kaum, ketegangan antara kaum serta pertembungan naratif populis yang mengaburkan fakta dan rasionaliti.

Paradoks ini bukan sekadar menggambarkan kelemahan struktur politik tetapi turut mencerminkan krisis budaya demokrasi. Apabila agenda nasional yang substantif ditenggelamkan persaingan remeh demi kelangsungan kuasa, maka kematangan politik tidak lagi boleh dianggap proses semula jadi yang akan berkembang dengan sendirinya.

Sebaliknya, menuntut intervensi yang sedar, terancang dan berstrategi.

Dalam konteks inilah, Musyawarah Nasional harus dilihat sebagai usaha signifikan. Platform ini menjadi mekanisme penting untuk mengalihkan orientasi politik negara daripada konfrontasi kepada konsensus berpaksikan ilmu, data dan hikmah.

Lebih daripada itu, ia berpotensi menjadi pemangkin pembinaan semula kepercayaan awam terhadap institusi politik yang semakin terhakis.

Konsep musyawarah sudah berakar dalam dua sumber utama yang membentuk jati diri masyarakat Malaysia iaitu agama dan budaya. Dalam Islam, syura merupakan prinsip asas dalam kepimpinan. Ia bukan sekadar proses konsultasi tetapi mekanisme penyucian niat yang menuntut keikhlasan dan tanggungjawab moral.

Melalui syura, kuasa tidak dimonopoli secara mutlak, sebaliknya diimbangi dengan pertimbangan kolektif berteraskan keadilan dan kebenaran.

Malah, berfungsi sebagai benteng terhadap keangkuhan kuasa serta memastikan setiap keputusan nasional mengambil kira kemaslahatan umum, bukan kepentingan kelompok tertentu.

Dalam konteks budaya Melayu pula, falsafah ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’ memperlihatkan kesepakatan bukan sekadar nilai sosial tetapi asas kepada kestabilan masyarakat.

Tradisi musyawarah telah lama menjadi mekanisme meredakan konflik dan membina keharmonian, sekali gus menjadikan perbezaan sebagai ruang mencari titik temu, bukan memperdalam jurang perpecahan.

Maka, Musyawarah Nasional yang digagaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merupakan usaha menghidupkan semula roh ‘demokrasi beradab’ yang menjadi kekuatan leluhur yang mana perbezaan diraikan sebagai rahmat, bukannya punca khianat dan mudarat.

Kematangan demokrasi tidak boleh berkembang dalam vakum sebaliknya memerlukan ekosistem yang disokong pelbagai teras utama yang saling melengkapi.

Pertama, teras agama berfungsi sebagai kompas etika yang membimbing wacana awam agar tidak terjerumus dalam manipulasi sentimen sempit atau eksploitasi emosi keagamaan demi kepentingan politik. Pendekatan Islam yang sederhana dan progresif penting dalam memastikan keseimbangan antara nilai dan realiti.

Kedua, teras ekonomi memainkan peranan kritikal dalam meredakan ketidaksamaan yang sering menjadi bahan bakar kepada politik populisme.

Pemerkasaan ekonomi yang inklusif dan berdaya saing adalah prasyarat kestabilan politik.

Ketiga, teras pendidikan harus melahirkan warga yang kritis, berpengetahuan dan memiliki literasi politik yang tinggi. Tanpa keupayaan untuk menilai maklumat secara objektif, masyarakat akan terus terdedah kepada propaganda dan manipulasi.

Pendidikan yang membebaskan pemikiran adalah asas kepada demokrasi yang sihat.

Keempat, teras sosial yang merangkumi kesejahteraan komuniti dan keutuhan institusi keluarga berfungsi sebagai benteng terakhir dalam mengekalkan keharmonian masyarakat.

Apabila struktur sosial kukuh, membolehkan tekanan politik diserap tanpa menjejaskan kestabilan nasional. Akhirnya, teras politik melalui tadbir urus berkesan perlu memastikan integriti institusi, ketelusan dalam pembuatan keputusan dan kebertanggungjawaban yang jelas.

Tanpa kepercayaan terhadap institusi, sebarang usaha reformasi politik berdepan skeptisisme awam.

Apabila kesemua teras ini disepadukan secara strategik, maka demokrasi dapat berfungsi secara matang bukan sekadar sebagai arena perebutan kuasa tetapi ruang pengurusan negara berasaskan konsensus intelektual dan keabsahan moral.

Keunikan Musyawarah Nasional juga terletak pada pendekatannya yang menggabungkan kepakaran pelbagai sektor.

Penglibatan ahli akademik bersama tokoh korporat merupakan keperluan strategik dalam memastikan keberkesanan dasar.

Ahli akademik membawa kekuatan analitikal dan bukti empirikal untuk memahami isu secara mendalam, manakala sektor korporat menyediakan perspektif pelaksanaan pragmatik dan berorientasikan hasil.

Lebih penting, sinergi ini mengembalikan peranan intelektual dalam wacana nasional serta mengangkat politik daripada sekadar retorik emosi kepada perbincangan yang berasaskan data, hujah dan penyelesaian yang boleh dilaksanakan.

Pengalaman antarabangsa sering dijadikan rujukan untuk mengabsahkan idea politik konsensus, namun rujukan ini perlu difahami dengan lebih cermat dan tidak bersifat simplistik.

Jerman memperlihatkan bagaimana parti yang berbeza ideologi mampu membentuk gabungan besar tetapi kejayaan ini bukan berlaku secara spontan.

Kejayaan ini disokong kekuatan institusi, disiplin parti yang tinggi serta budaya politik yang meletakkan rundingan dasar mengatasi retorik populis. Konsensus bukan kompromi kosong tetapi hasil daripada proses tawar-menawar dasar yang ketat dan berstruktur.

Lebih signifikan ialah model Switzerland, yang mana konsensus bukan sekadar pilihan politik tetapi diinstitusikan sebagai sebahagian daripada reka bentuk sistem. Melalui pendekatan demokrasi konsosiasional, membolehkan pelbagai parti utama berkongsi kuasa secara berterusan, disokong mekanisme referendum yang memberikan legitimasi langsung daripada rakyat.

 

MALAYSIA perlu beralih daripada politik emosi dan perpecahan kepada politik konsensus yang matang dan berasaskan fakta.

Dalam konteks ini, konsensus bukan retorik tetapi disiplin sistem. Namun, di sinilah terletaknya cabaran sebenar bagi Malaysia. Kita cenderung memetik model-model ini sebagai justifikasi normatif untuk politik muafakat tetapi mengabaikan prasyarat asas yang menjadikannya berfungsi.

Konsensus tanpa institusi yang kukuh hanya akan menghasilkan kompromi rapuh. Lebih membimbangkan, ia boleh merosot menjadi pakatan oportunistik yang bersifat sementara tanpa kejelasan dasar dan tanpa kebertanggungjawaban yang tegas.

Hakikatnya, Malaysia sememangnya mempunyai sejarah panjang dalam mengamalkan politik konsosiasional. Namun, landskap politik semasa memperlihatkan semangat tersebut semakin terhakis, digantikan dengan persaingan naratif yang bersifat jangka pendek dan beremosi.

Dalam keadaan ini, usaha untuk mengangkat semula politik konsensus tidak boleh sekadar bersandar kepada slogan atau nostalgia sejarah. Ia menuntut pembinaan semula kepercayaan terhadap institusi, pengukuhan literasi politik rakyat serta keberanian elit politik untuk beralih politik penyelesaian.

Pada akhirnya, kematangan demokrasi bergantung kepada keberanian moral dan kebijaksanaan kolektif.

Kita memerlukan keberanian untuk menegur dengan fakta dan adab, bukan dengan cercaan dan sentimen.

Dalam masa sama, kita juga perlu bersedia meraikan perbezaan sebagai sumber kekuatan, bukan ancaman kepada kuasa.-UTUSAN

PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Pengerusi Teras Politik Muafakat Nasional.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×