BARU-BARU ini media melaporkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menghalang dua orang wanita warganegara Israel memasuki negara ini di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2).
Dua wanita tersebut tiba di KLIA 2 dengan tujuan transit sebelum meneruskan perjalanan ke Manila, Filipina.
Mereka dikenakan Notis Penolakan Masuk dan dihantar kembali ke lokasi terakhir pelepasan iaitu di Phuket, Thailand.
Dilaporkan juga selain insiden ini, terdapat rakyat Israel lain yang ditegah daripada memasuki Malaysia.
Ucapan penghargaan perlu direkodkan dan diberikan kepada AKPS sebagai agensi penguatkuasaan yang tegas tanpa kompromi menjaga pintu masuk sempadan negara.
Dalam hubungan antarabangsa, Malaysia tidak pernah mengiktiraf atau menjalin rangkaian diplomatik dengan Israel. Lantaran itu, tiada apa-apa visa yang dikeluarkan Malaysia kepada rakyat Israel untuk memasuki negara kita.
Hakikatnya, kedudukan yang diambil Malaysia untuk langsung menolak masuk warga Israel mudah difahami.
Bahkan, fakta ini sebenarnya diketahui oleh mana-mana pengembara yang ingin mengembara atau melalui pintu sempadan negara.
Begitu juga sebagaimana ‘buku merah’ Malaysia tidak boleh digunakan di negara haram Israel. Malah duta Israel ke Singapura, Eliyahu Vered Hazan pernah mengeluarkan peringatan supaya rakyat negara itu tidak melancong ke Malaysia.
Lantaran itu, berita pengembara atau pelancong Israel yang cuba memasuki Malaysia adalah tidak masuk akal memandangkan negara ini tidak pernah memberikan sebarang isyarat akan melonggarkan sekatan terhadap warganegara Israel.
Cabaran timbul apabila ada dalam kalangan pelancong ini yang mempunyai dua kewarganegaraan dan cuba memasuki negara menggunakan pasport yang diterima sah agensi sempadan negara.
Asas kegusaran orang awam adalah berasas memandangkan Malaysia pernah dikejutkan dengan penahanan Avitan Shalom, warganegara Israel yang mempunyai dua paspot iaitu Israel dan Perancis. Penahanannya bukanlah kerana semata-mata dia warganegara Israel tetapi semasa penahanan pihak polis turut menjumpai enam senjata api dan 200 butir peluru.
Avitan didakwa dan dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun bagi dua pertuduhan setelah mahkamah menerima pengakuan salahnya.
Kes ini juga merupakan panggilan yang mengejutkan semua pihak kerana melibatkan persoalan besar bagaimana Avitan memperoleh senjata api bersama dengan 200 butir peluru. Susulan daripada penahanan Avitan terdapat juga beberapa orang warganegara Malaysia yang ditahan untuk membantu siasatan dan didapati mereka terlibat dalam membantu membekalkan senjata kepada Avitan.

MALAYSIA JADI SASARAN
Dalam hal ini, perkara yang lebih membimbangkan masyarakat adalah sama ada Malaysia kini menjadi tumpuan ejen perisikan asing seperti Mossad dalam menjalankan operasi dan risikan mereka. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri di Parlimen pada 2025 mengakui Malaysia menjadi sasaran ejen perisikan luar kerana kelantangan Malaysia dalam isu Palestin.
Bahkan, Malaysia juga pernah menyaksikan insiden seorang pensyarah dari Palestin iaitu Dr. Fadi Mohammad dibunuh yang mana serangan ini dipercayai dilakukan oleh agensi perisikan Israel.
Satu lagi insiden yang berlaku iaitu kes penculikan Omar Z.M. Albelbaisy pada Oktober 2022 di Kuala Lumpur yang mempunyai kaitan dengan ejen perisikan asing ini kerana dipercayai mangsa mempunyai kaitan dengan Briged al-Qassam Hamas. Lebih membimbangkan lagi, dalam kes ini penangkapan turut melibatkan warganegara Malaysia yang dipercayai menjadi ejen tempatan bagi agensi perisikan luar. Bahkan, seramai 12 lelaki dan seorang wanita dituduh untuk kes ini.
Perkara ini sudah pasti bukanlah satu perkara baharu tetapi apabila melibatkan ejen tempatan, maka ia perlu ditangani dengan lebih berkesan oleh pihak berkuasa.
Mereka yang menjadi tali barut kepada agensi luar ini adalah pengkhianat kepada negara. Ini harus ditangani dengan pantas dan tegas oleh kerajaan.
Sekiranya tidak, dikhuatiri lebih ramai mangsa yang turut dibunuh di tanah air sendiri. Dengan meletusnya perang di Iran dan ketegasan serta konsistensi mempertahankan negara yang menjadi mangsa buli Amerika Syarikat (AS) dan Israel ini, dikhuatiri Malaysia akan menjadi sasaran mudah untuk melupuskan individu tertentu yang menjadi ancaman mereka.
Selain daripada menjalankan operasi perisikan mereka, kegiatan ini juga dikhuatiri memberikan kesan kepada keselamatan negara secara khusus. Kita perlu ingat kembali peranan yang dimainkan oleh Hassan Ali Basari, seorang anggota polis cawangan khas yang gagal melaporkan kedatangan pengganas Sulu di Lahad Datu. Dia dikatakan membongkarkan pergerakan pasukan keselamatan kepada pengganas sulu sehingga menyebabkan kematian anggota keselamatan dalam insiden di Lahad Datu.
Tuntasnya, ini merupakan contoh klasik bagaimana pengkhianatan kepada negara memberikan kesan terhadap keselamatan negara.
Penglibatan rakyat tempatan sebagai ejen asing ini bukan sahaja memberikan pandangan buruk orang terhadap keselamatan Malaysia tetapi juga boleh meragut nyawa rakyat Malaysia.
Malaysia adalah negara berdaulat dan fakta itu harus terus berdiri. –UTUSAN
PENULIS merupakan pengamal undang-undang dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).










