Jangan berlaku lagi ‘menang dahulu, bincang kemudian’

Jangan berlaku lagi ‘menang dahulu, bincang kemudian’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM landskap politik semasa, rakyat semakin menuntut ketelusan yang lebih tinggi daripada parti-parti politik, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Ini kerana senario satu parti mendominasi kerajaan kini semakin sukar untuk direalisasikan. Corak pengundian yang berpecah, kepelbagaian ideologi serta kematangan politik pengundi menjadikan keputusan PRU lebih cenderung kepada pembentukan kerajaan campuran.

Keadaan ini menjadikan kerajaan campuran bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan dalam memastikan kestabilan politik negara.

Namun, persoalan utama yang timbul ialah sejauh mana rakyat dimaklumkan mengenai bentuk kerjasama yang bakal berlaku.

Sehubungan itu, menjadi suatu kewajipan bagi setiap parti politik untuk menyatakan lebih awal bentuk kerjasama atau gabungan yang bakal dibentuk selepas pilihan raya.

Rakyat tidak seharusnya dibiarkan membuat pilihan dalam keadaan samar-samar.

Mereka berhak mengetahui dengan jelas siapa rakan politik kepada parti yang mereka sokong, serta hala tuju gabungan yang bakal dibentuk.

Isu ini menjadi lebih kritikal apabila pengalaman lalu menunjukkan berlakunya perubahan sokongan dan penjajaran politik selepas PRU, yang sering menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengundi.

Walaupun dari sudut undang-undang tindakan membentuk gabungan selepas pilihan raya adalah sah, namun dari perspektif moral dan kepercayaan, ia boleh dianggap sebagai pengkhianatan terhadap mandat rakyat jika tidak dimaklumkan lebih awal.

Mandat yang diberikan oleh rakyat seharusnya dihormati, bukan ditafsirkan semula melalui rundingan politik yang tidak telus.

Ketelusan sebelum PRU akan membantu mengelakkan persepsi negatif terhadap parti politik.

Dalam konteks ini, parti politik perlu lebih berani dan jujur dalam menyatakan pendirian mereka. Ini termasuk kemungkinan kerjasama dengan parti lain sekiranya tiada majoriti mudah diperoleh.

Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kepercayaan rakyat tetapi juga membantu pengundi membuat keputusan yang lebih bermaklumat dan rasional.

Selain itu, pendedahan awal mengenai potensi kerjasama politik juga dapat mengurangkan ketidaktentuan pasca pilihan raya, sekali gus menyumbang kepada kestabilan negara.

Kestabilan politik amat penting dalam memastikan kesinambungan dasar, keyakinan pelabur serta pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Pengundi hari ini semakin celik dan kritikal. Mereka tidak lagi mudah menerima alasan atau justifikasi yang kabur selepas sesuatu keputusan dibuat.

Justeru, parti politik harus bergerak seiring dengan perubahan ini dengan mengamalkan politik yang lebih terbuka dan bertanggungjawab.

Oleh itu, menghormati hak rakyat untuk mengetahui bentuk kerjasama politik sebelum PRU bukan sahaja soal strategi, tetapi juga soal integriti dan kepercayaan dalam demokrasi negara.

Penganalisis politik, Datuk Profesor Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, realiti politik Malaysia menjelang PRU16 menunjukkan bahawa era dominasi parti tunggal hampir berakhir, dan pembentukan kerajaan campuran menjadi satu keperluan struktur, bukan lagi pilihan strategik.

Beliau berkata, cadangan agar parti-parti politik mengumumkan kerjasama lebih awal sebelum pilihan raya adalah wajar dari sudut ketelusan dan kejujuran kepada pengundi, namun tidak semestinya perlu bersifat terlalu kaku.

“Pendekatan terbaik ialah memberi isyarat awal tentang kecenderungan kerjasama tanpa mengikat diri kepada perjanjian yang terlalu rigid, bagi mengekalkan fleksibiliti dalam rundingan politik yang sentiasa dinamik.

“Kegagalan menyatakan kerjasama lebih awal sememangnya boleh menjejaskan legitimasi mandat yang diterima, kerana pengundi membuat pilihan berdasarkan persepsi terhadap blok atau naratif tertentu.

“Apabila berlaku perubahan arah selepas pilihan raya, ia mudah ditafsir sebagai pengkhianatan mandat dan seterusnya menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem politik.

“Dalam hal ini, krisis keyakinan yang berlaku pasca PRU15 menjadi pengajaran penting bahawa kejelasan sebelum pilihan raya adalah asas kepada kestabilan selepasnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Awang Azman, walaupun pengumuman kerjasama lebih awal berpotensi mengurangkan pertembungan banyak penjuru dan mengelakkan pecahan undi, namun ia bukan jaminan mutlak kepada kestabilan politik.

“Kestabilan sebenar bergantung kepada keserasian dasar, kesamaan visi dan keupayaan kepimpinan mengurus perbezaan dalam gabungan.Tanpa asas ini, gabungan yang terbentuk hanya bersifat taktikal dan mudah rapuh apabila berdepan tekanan politik atau krisis dasar,” katanya.

Mengulas lanjut, Awang Azman berkata, pendekatan “menang dahulu, bincang kemudian” sememangnya menyumbang kepada ketidakstabilan.

Kata beliau, cara tersebut menghasilkan kerajaan yang bersifat reaktif dan bergantung kepada rundingan pasca pilihan raya yang sering didorong oleh pertimbangan kuasa, bukannya prinsip atau dasar.

“Namun begitu, dalam sistem pelbagai parti, rundingan selepas pilihan raya tidak dapat dielakkan sepenuhnya. Isu sebenar ialah ketiadaan garis prinsip yang jelas sebelum pilihan raya, yang menyebabkan rundingan menjadi longgar dan tidak berasaskan komitmen yang kukuh,” katanya.

Penganalisis politik, Prof. Dr. Sivamurugan Pandian pula berkata, langkah parti politik mengumumkan bentuk kerjasama lebih awal sebelum PRU adalah wajar demi memastikan ketelusan kepada pengundi.

Menurut beliau, pengundi berhak mengetahui siapa yang berpotensi membentuk kerajaan, sekali gus membolehkan mereka membuat pilihan yang lebih jelas dan bermaklumat.

“Wajar pengundi berhak tahu siapa akan memerintah. Ketelusan awal beri mandat yang jelas dan elak kekeliruan selepas pilihan raya.

“Ia menjejaskan mandat dari segi moral dan kepercayaan. Walaupun sah dari sudut undang-undang, ia boleh dilihat sebagai mengelirukan pengundi,” katanya. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN