“PEMENANG adalah mereka yang mempersiapkan diri, menunggu untuk mengambil kemenangan dari musuh yang tidak siap.”- Sun Tzu.
Konflik yang terjadi antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran bukanlah suatu yang baharu. Kedua-dua negara tidak pernah terlibat dalam perang konvensional berskala penuh secara langsung, namun perseteruan mereka dizahirkan melalui sekatan ekonomi, ancaman ketenteraan, serangan terhad, serta peperangan proksi di Timur Tengah.
Ketika penulisan ini digarap, AS telah melanjutkan tempoh gencatan senjata dengan alasan menunggu pihak Iran mengemukakan tawaran untuk menamatkan perang di Iran. Pada masa yang sama, AS masih berusaha mengawal dan menutup Selat Hormuz.

Masyarakat dunia sememangnya mengharapkan perang yang meletus ini dapat ditamatkan kerana konflik ini telahpun memberikan kesan kepada dunia dengan penutupan Selat Hormuz yang merupakan antara laluan perdagangan terpenting dunia.
Perbincangan gencatan senjata ini yang berlangsung di Islamabad menarik perhatian masyarakat dunia memandangkan ia akan menentukan keadaan politik dan ekonomi dunia.
Pada masa yang sama juga, masyarakat dunia mengharapkan agar keadilan diberikan kepada Iran memandangkan mereka bukanlah pemula kepada perang ini. Sebaliknya hanya mempertahankan kedaulatan negara daripada berterusan dibuli oleh AS dan Israel.
Hakikatnya, ketika pembantaian berlanjutan dilakukan oleh Israel terhadap Gaza, pemimpin dunia Barat seolah-olah menjadi bisu dan pekak tetapi apabila Israel kini menerima tindak balas tegas daripada Iran terhadap serangan ke atas negara itu, seolah-olah dunia melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru celik terjaga dan mengecam serangan Iran. Walhal, dunia perlu menyebelahi hak mempertahankan diri yang dimiliki negara berdaulat Iran dalam hal ini.
Untuk mengakhiri perang ini tidaklah memerlukan formula yang sukar memandangkan ia bukanlah perang yang berpunca daripada perebutan sempadan ataupun kepentingan.
Perang ini bermula apabila AS cuba berlagak sebagai ‘abang besar’ membunuh pemimpin-pemimpin utama Iran dan cuba ‘mengajar’ Iran apa yang perlu dilakukan. Alasan menukar rejim pemerintahan ini adalah alasan yang serupa digunakan dalam eksplorasi ketenteraan AS.
Perbuatan biadab AS yang tidak menghormati kedaulatan dan sempadan sebuah negara sesuatu yang memualkan dan sudah dibiarkan terlalu lama.
Tuntutan Iran antaranya agar AS menanggung rugi kos kerosakan yang dialami oleh Iran adalah satu yang penting. Terlalu banyak kerosakan yang dilakukan oleh AS di negara yang ‘ingin dibebaskan’ dan ini meninggalkan kesan kepada pembangunan semula kemudahan dan pembangunan Iran.
AS dan Israel yang gemar menyerang kemudahan awam patut bertanggungjawab untuk membangunkan kembali negara yang diserang mereka. Tidak adil selepas kemusnahan yang berlaku, Iran terpaksa menggunakan kantung sendiri untuk membangunkan semula negara yang musnah.
Terma yang serupa juga patut dikenakan kepada Israel yang memusnahkan Gaza. Israel patut dikenakan sekatan antarabangsa sehingga pembangunan semula Gaza disempurnakan.
Inilah terma yang dikenakan terhadap Russia yang dikehendaki untuk membiayai pembangunan semula Ukraine. Wajarlah terma yang sama dikenakan kepada AS dan Israel untuk membiayai semula pembangunan negara yang diserang.
Pemimpin dunia tidak boleh mempunyai dua polisi berbeza yang menunjukkan sikap berat sebelah. Sebagaimana Russia perlu menanggung pembinaan semula Ukraine, AS dan Israel juga perlu melakukan sedemikian rupa.
Dalam undang-undang antarabangsa, hak sebuah negara berdaulat seperti Iran untuk menentukan cara hidup dan tadbir negara sendiri. Oleh yang demikian, tindakan AS yang cuba mengawal dan menentukan cara tadbir Iran tidak sahaja bercanggah dengan undang-undang antarabangsa tetapi juga tidak berperikemanusiaan.
Dianggarkan pembulian AS ini telah meragut nyawa 2,000 lebih mangsa di Iran. Lebih memilukan juga pengeboman yang dilakukan oleh AS terhadap sekolah yang meragut nyawa pelajar yang tidak bersalah. AS juga perlu bertanggungjawab kepada nyawa orang awam yang terbunuh.
Dunia perlu menekan AS untuk mengakhiri pembantaian ini. Dunia sememangnya akan terkesan bukan sahaja dalam aspek ekonomi tetapi prinsip kedaulatan negara.
Sekiranya AS boleh dengan mudah melakukan pembantaian atas nama pembebasan rejim ke atas Iran, tidak mustahil alasan yang sama akan dikenakan terhadap mana-mana negara kelak di masa hadapan.
Perangai pembuli AS dan sekutunya harus diberhentikan dengan solidariti negara-negara lain di dunia. Kita juga melihat ketidakmampuan Majlis Keselamatan PBB untuk menjamin keselamatan dunia, justeru solidariti rakyat di seluruh dunia harus wujud untuk menekan AS dan Israel.
Gencatan senjata Iran dan AS ini mungkin berjaya dan mungkin digagalkan oleh AS sendiri. Tetapi dunia, negara-negara perlu bersatu untuk menentang kebobrokan AS yang semestinya bukan sahaja memberikan kesan kepada Iran tetapi juga memberikan kesan kepada seluruh dunia.
Negara-negara perlu bersatu untuk menentang kezaliman ini dan menghormati kedaulatan sesebuah negara. Ia perlu dilakukan pada hari ini dan bukan esok untuk memberhentikan pembulian ini. – UTUSAN
PENULIS merupakan pengamal undang-undang dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).










