Bahasa Melayu perlu setanding bahasa Inggeris

Bahasa Melayu perlu setanding bahasa Inggeris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBENARNYA berita tentang prestasi mata pelajaran bahasa Melayu yang mencatatkan penurunan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 tidaklah memeranjatkan sangat kerana kecenderungan pada era digital.

Ini berlaku pada kebanyakan bahasa di seluruh dunia yang tidak dibanggakan lagi oleh rakyatnya. Bahasa Melayu tidak terkecuali dalam hal ini.

Tambahan pula, bahasa Inggeris sebagai bahasa perhubungan global serta medium utama bagi sebahagian besar kandungan di internet menjadikannya digunakan secara meluas dan semakin digemari.

Penurunan ini sepatutnya tidak berlaku walaupun kecil, apatah lagi pada tahap membimbangkan. Antara puncanya ialah ketiadaan keseimbangan realistik antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, sehingga menjejaskan prestasi bahasa negara dalam pelbagai bidang.

Dalam hal ini, peranan bahasa Melayu selaku bahasa negara dan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, perlu jelas kepada pemerintah dan rakyat. Untuk ini, hubungannya haruslah saling melengkapi dan tidak bersaing antara satu sama lain. Antaranya untuk meningkatkan piawai masing-masing dan bukan bagi singkir-menyingkir sesamanya.

Inilah sebaik-baiknya strategi untuk mencari perimbangan setanding antara dua bahasa ini. Dalam hal ini, bahasa Melayu adalah bahasa negara yang tercinta.

Sementara itu, bahasa Inggeris merupakan bahasa antarabangsa terpenting di dunia pada masa ini.

Dengan strategi sebegini, bahasa Melayu bukan sahaja akan terus terpelihara utuh di tanah watannya sendiri, juga akan maju di persada dunia.

Ini kerana dengan perimbangan setanding ini, bahasa Melayu sebagai warisan kita tidak akan hilang dari muka bumi.

Seperkara penting tentang perimbangan setanding ini, bahasa Melayu bukan sesekali sisa yang tertinggal daripada zaman lampau. Sebaliknya menjadi amalan hidup yang canggih, yakni sarat dengan keanekaan yang gah.

Selain itu, ia mencerminkan cara pemikiran yang maju, bersifat dinamik dan berterusan. Seperti mana kelompok manusia yang lain, etnik Melayu sebagai penutur jati bahasa Melayu merupakan sebuah komuniti sejarah yang memiliki ikatan rapat dengan masa silamnya.

Perkara sama turut berlaku kepada masyarakat Barat yang turut terbentuk daripada perjalanan sejarah panjang mereka. Justeru, etnik Inggeris juga adalah komuniti sejarah, bukannya lahir secara terus sebagai komuniti moden.

Dengan berpegang teguh kepada warisan, bahasa Melayu akan terus mantap, baik di dalam dan di luar Malaysia. Ini kerana modenisasi dan globalisasi yang melanda dapat ditangani bukan sahaja dengan baik, juga bijak.

Dengan ini, bukan sahaja bahasa Melayu terus kekal utuh, malah budaya Melayu turut tetap teguh. Hal ini demikian kerana hubungan antara bahasa dan budaya bersifat amat erat.

Malah keeratan dan kebenaran ini dapat dilihat dengan mudah lagi jelas. Dengan kata lain, bahasa dan budaya tidak dapat wujud secara bersendirian dan wajib bersama-sama.

Seterusnya bahasa adalah cerminan budaya. Untuk ini, kosa kata dalam bentuk perkataan dan ungkapan bersama-sama dengan idiom adalah buktinya. Ini kerana bukan sahaja kesemuanya merupakan pengalaman sejarah kita. Ia juga akal kolektif kita yang unik lagi istimewa sehingga sesetengahnya tiada padanan tepat dalam mana-mana bahasa dan budaya lain untuk terjemahannya yang jitu.

Dalam konteks perimbangan setanding antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, hanya bahasa Melayu didapati neutral, yakni yang dikaitkan dengan hanya budaya Melayu yang tidak pun dicanangkan sebagai hebat oleh etnik Melayu sendiri.

Halnya berlainan sekali dengan bahasa Inggeris. Ia selain dikaitkan dengan budaya Barat atau lebih tepat lagi Inggeris yang dianggap superior, bahkan diangkat sebagai bahasa dominan dengan citra tinggi lagi hebat.

Dengan ini, bahasa lain yang digandingkan dengan bahasa Inggeris bukan sahaja akan diketepikan malah dikurangkan, kalau tidak dihapuskan nilainya sama sekali.

Dalam perimbangan setanding dengan bahasa Inggeris, hendaklah dilakukan dengan penuh hemat. Ini kerana sudah banyak bahasa bersekali dengan budaya lesap akibat bahasa Inggeris yang dominan, berkuasa, berprestji dan glamor.

Jika diamati, bahasa Inggeris bukan lagi bahasa neutral kerana meminggirkan banyak bahasa lain dan meranapkan kesemuanya sehingga tidak bernilai lagi. Antaranya untuk identiti nasional bagi negara dan identiti budaya untuk rakyat.

Bahasa Inggeris membawa kepupusan total kepada banyak bahasa. Antaranya rakyat di banyak tempat tidak bangga lagi terhadap bahasa negara mereka dan sudah beralih kepada bahasa Inggeris.

Dengan keadaan begini, bukan sahaja berlaku pemupukan nilai Barat, juga penghayatannya yang bukan sahaja mendalam, juga yang menjiwai.

Natijahnya, bahasa Inggeris bukan lagi dianggap bahasa neutral dan wajar diwaspadai. Oleh itu, kita bukan sahaja perlu berhati-hati, malah bijak agar tidak terperangkap dalam perimbangan yang tidak setara dengan bahasa Inggeris.

Kita juga tidak boleh sesekali membenarkan, apatah lagi membantu memperkukuh hegemoni bahasa tersebut. Dalam masa yang sama, kita harus peka terhadap pendekatan licik yang digunakan di pelbagai tempat di dunia, khususnya di luar negara asal bahasa Inggeris.

 

 

BAHASA Melayu dan Inggeris perlu saling melengkapi dalam sistem pendidikan dan kehidupan masyarakat.

Antara pendekatan tersebut ialah cadangan supaya bahasa Inggeris hanya diajar menggunakan bahasa itu sendiri, tanpa campur tangan bahasa lain walaupun sebagai bantuan. Selain itu, hanya penutur jati bahasa Inggeris dikatakan layak mengajar kononnya bagi memastikan model bahasa yang tepat.

Seterusnya, bahasa Inggeris perlu diajar seawal mungkin dengan dakwaan lebih awal dipelajari, lebih baik hasilnya. Malah, ada pandangan mengatakan penguasaan bahasa ini akan lebih unggul jika diajar secara meluas merangkumi semua bidang ilmu.

Dalam masa sama, pengajaran bahasa lain dikatakan boleh menjejaskan keberkesanan pembelajaran bahasa Inggeris.

Sehubungan kelicikan ini, sisi ideologi di sebaliknya perlu dikenal pasti agar fahaman ekabahasa tidak hanya disedari tetapi turut diwaspadai dalam usaha mempelajari bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

Pengajaran bahasa Inggeris secara eksklusif sebenarnya merupakan langkah ke arah penggantian bahasa, iaitu meletakkan bahasa Inggeris sebagai satu-satunya bahasa dominan. Begitu juga dengan usaha memperkenalkan bahasa Inggeris seawal mungkin yang perlu diteliti kerana berpotensi menggantikan bahasa ibunda.

Selain itu, penggunaan bahasa Inggeris dalam semua bidang pendidikan serta pelantikan penutur jati sebagai satu-satunya tenaga pengajar turut mencerminkan usaha memperkukuh ideologi ekabahasa.

Malah, penekanan terhadap pengajaran bahasa Inggeris secara meluas bagi menjamin kecemerlangan juga dilihat sebagai sebahagian daripada pengukuhan dominasi bahasa tersebut melalui proses asimilasi dan akulturasi.

Secara keseluruhannya, semua pendekatan ini cenderung memupuk mentaliti ekabahasa yang menggantikan bahasa lain dengan bahasa Inggeris.

Oleh itu, kita perlu berwaspada terhadap kecenderungan ini dan sebaliknya memilih model dwibahasa secara bersepadu.

Dengan pendekatan ini, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dapat terus kekal sebagai bahasa yang seimbang serta masing-masing mendukung fungsi dan budayanya secara setara. Inilah bentuk perimbangan realistik dan nasional yang wajar diterapkan.

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN