DALAM persekitaran yang panas bukan sahaja cuaca, tetapi juga konflik geopolitik, nasihat berjimat cermat pun sebenarnya boleh buat orang jadi ‘panas’.
Apabila, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan rakyat supaya berbelanja secara berhemah dan berjimat cermat dan ada pula mencadangkan naik basikal ramai betul yang menjawab sinis dalam media sosial.
“Gaji cukup-cukup makan, nak jimat apa lagi? Orang kayalah yang patut kena jimat,” kata pembaca.
“Itu sajakah ‘formula’? Naik basikal? Budak Darjah 2 pun boleh bagi formula ini.” Komen seorang lagi.
Ini sebenarnya rungutan biasa. Sejak sebelum perang lagi atau tiada peperangan pun, kalau mana-mana kerajaan menyarankan berjimat, kebanyakan inilah reaksinya.
Bukan mereka tidak pernah cuba berjimat malah ada yang sudah lama pun hidup dalam mod survival. Tidak ada sarapan, makan tengah hari pilih yang paling murah, malam pula kadang-kadang cukup dengan mi segera. Jadi, celah mana hendak potong belanja lagi?
Tetapi kali ini, yang kita perlu sedar konteksnya bukan sekadar ekonomi domestik. Ia tentang dunia yang sedang bergolak.
Perang yang melibatkan Iran dengan kuasa besar dunia, Amerika Syarikat sejak awal tahun ini bukan konflik kecil. Ia sudah mencetuskan krisis tenaga global yang disifatkan antara paling serius dalam sejarah moden. Laluan penting Selat Hormuz yang membawa kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia terjejas teruk.
Akibatnya, harga minyak global menjadi sangat tidak stabil. Penanda aras Brent bergerak sekitar AS$90 hingga AS$100 setong dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Namun dalam pasaran fizikal, harga sebenar pernah melonjak melebihi AS$140 setong ketika gangguan bekalan memuncak yang mencerminkan betapa tegangnya situasi semasa. Dan turun naik harga juga bergantung pada perkembangan gencatan senjata.
Tetapi jangan terpedaya dengan penurunan sementara. Pakar menjangka harga kekal tinggi untuk tempoh panjang kerana ketidaktentuan masih berterusan.
Apabila harga minyak naik, semua benda lain ikut naik. Itu hukum ekonomi paling mudah. Kesan perang ini bukan sekadar pada angka di skrin Bloomberg. Ia merayap ke dapur rumah kita. Kos elektrik meningkat kerana Malaysia masih bergantung kepada bahan api fosil untuk penjanaan tenaga.
Barang makanan pula naik sebab kos logistik dan baja meningkat. Baja pun datang dari rantau yang sama bergolak itu. Di negara lain, kesannya lebih dahsyat. Negara-negara Eropah dan Asia yang bergantung kepada import tenaga sedang berdepan risiko kemelesetan dan inflasi serentak atau stagflasi, kata pakar ekonomi.
Beberapa negara membangun pula sudah mula rasa ‘sesak nafas’, kekurangan bahan api, harga petrol melambung, malah ada yang terpaksa catu penggunaan. Dalam beberapa kes, gangguan bekalan minyak dan makanan mencecah lebih 40 peratus kenaikan harga.
Kalau di rantau Teluk sendiri tempat minyak itu berasal, harga barang naik mendadak kerana bekalan makanan turut terjejas dan negara minyak pun boleh ‘kering’ apabila perang mengganggu rantaian bekalan, jadi Malaysia bagaimana?
Kita ketika ini mungkin tidak seteruk negara yang bergantung sepenuhnya kepada import tenaga, tetapi kita juga tidak kebal. Kenaikan harga minyak global tetap memberi kesan kepada kos hidup rakyat daripada harga makanan hinggalah tambang pengangkutan.
Bezanya, kerajaan masih ada ruang kawalan melalui subsidi dan dasar harga. Tetapi ruang itu bukan tanpa had. Bila tekanan global berterusan, akhirnya tempias tetap sampai ke poket rakyat.
Sebab itu, nasihat berjimat cermat sebenarnya datang dalam konteks yang lebih besar. Ia bukan sekadar ‘nasihat biasa’, tetapi amaran awal.
Cuma, di sinilah dilema rakyat. “Kalau gaji RM2,000, nak jimat apa lagi?
Soalan ini memang valid. Bukan semua orang berbelanja mewah. Ramai yang memang hidup cukup-cukup makan atau tidak cukup makan pun.
Jadi, perlukah berjimat kalau gaji pun tak mencukupi? Jawapannya mungkin tidak sedap didengar tetapi dalam keadaan sebegini masih perlu.
Bukan kerana semua orang ini kita boleh pukul rata ‘kaki boros’. Tetapi kerana situasi sekarang bukan normal dalam ekonomi yang sedang ‘mengecilkan nilai duit kita’.
Ini bukan tentang menyalahkan rakyat yang sering dituduh suka membazir. Ini tentang memahami bahawa kita sedang berdepan dengan situasi luar biasa.
Inflasi akibat perang bermaksud duit yang sama membeli barang yang semakin sedikit. Kalau kita tidak ubah corak perbelanjaan, kesannya lebih cepat terasa.
Peperangan tidak peduli pun sama ada kita sudah cukup berjimat atau belum.
Namun, berjimat dalam konteks hari ini juga perlu difahami secara realistik. Ia bukan sekadar ‘kurangkan minum kopi mahal’ atau ‘jangan makan luar’. Bagi ramai orang, itu semua sudah lama dilakukan.
Berjimat hari ini mungkin bermaksud menangguhkan komitmen besar, elak hutang baru, simpan walaupun sedikit dan lebih berhati-hati dengan perbelanjaan yang nampak kecil tetapi kerap.
Dan yang lebih penting bersedia untuk keadaan yang mungkin lebih mencabar.
Dalam keadaan ini, nasihat berjimat cermat bukan bahan lawak. Ia mungkin kedengaran macam klise dan ‘formula’ yang entah apa-apa, tetapi dalam ekonomi dunia yang tidak stabil, disiplin kewangan adalah antara ‘perlindungan’ paling asas yang kita ada.
Perang berlaku jauh dari kita, tetapi kesannya sangat dekat dalam setiap aspek kehidupan kita. Jangan nanti keluar pepatah baru, kereta boleh beli, petrol tidak boleh beli.
Dan dalam ekonomi dunia yang tidak menentu ini, berjimat cermat bukan lagi pilihan gaya hidup. Bukan juga untuk harap satu hari nanti boleh jadi kaya. Ia soal bertahan supaya semasa ‘badai’ ini teruk memukul atau sudah reda, kita masih terus ‘berdiri’.
FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.










