ESOK, Radio Televisyen Malaysia (RTM) berusia 80 tahun. Ini menandakan evolusi selama lapan dasawarsa dengan pelbagai perubahan yang maju.
Nama asalnya Radio Malaya Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu (Radio Malaya) ditubuhkan di Bukit Caldecott, Singapura pada 1 April 1946. Kemudiannya diperluas ke seluruh negara, khususnya Persekutuan Tanah Melayu.
Kemudian namanya bertukar, Radio Malaysia pada 1963 dengan tertubuhnya Persekutuan Malaysia. Selanjutnya pada 28 Disember 1963, Televisyen Malaysia pula ditubuhkan setelah siaran televisyen hitam putih diperkenal di negara ini, dengan permulaannya di sekitar Lembah Klang.
Televisyen Malaysia bermula sebagai Rangkaian Pertama yang kini dikenali sebagai TV1, diikuti Rangkaian Kedua dilancarkan pada 17 November 1969, yang kini adalah TV2. Rancangan televisyen melalui siaran berkenaan berubah dimensi dari hitam putih kepada berwarna secara berperingkat bermula penghujung 1978 sehingga awal 1982.
Nama RTM mula diguna pakai pada 1969. Dalam bidang penyiaran tanah air, RTM adalah badan yang pertama selain yang tertua di negara ini.
Ia adalah badan penyiaran awam dan dikenali sebagai Jabatan Penyiaran Malaysia. RTM adalah hak milik kerajaan dan Kementerian Komunikasi merupakan agensi yang bukan sahaja bertanggungjawab, juga mengendalikannya.
Bidang penyiaran di negara ini kemudiannya dikendalikan pihak swasta bermula sekitar pertengahan 1980-an. TV3 (Sistem Televisyen Berhad) mula bersiaran pada 1 Jun 1984 dikendalikan Media Prima.
Manakala untuk radio swasta, bermula pada 1989. Stesen swasta pertama diiktiraf di negara ini ialah Best 104 yang ditubuhkan pada 14 Julai 1989 dan berpangkalan di Johor Bahru, dikendalikan Suara Johor Sdn. Bhd. Kini dikenali sebagai Best FM.
Stesen radio swasta berkenaan di anggap yang pertama kerana memancarkan siaran Modulasi Frekuensi (FM) secara meluas.
RTM yang dahulunya menggunakan isyarat analog untuk tujuan penyiaran, mula bertukar digital bermula pertengahan 2019. Penggunaan ini menjadi sepenuhnya pada penghujung tahun itu juga.
Dengan beroperasi sepenuhnya secara digital, kualiti isyarat, bunyi dan kejelasan imej dapat dipertingkat. Ini penting untuk penyampaian yang bukan sahaja cepat, juga yang kandungannya bermutu tinggi.
Ini kerana cara digital memastikan kurangnya bunyi bising selain menjaminkan ketepatan. Semua ini sebenarnya dapat mempermudah regenerasi dengan lancar sekali.
Di samping semua ini, cara digital juga menjamin resolusi yang tinggi untuk imej. Begitu juga dengan audionya yang baik.
Selain cara digital ini, RTM juga berjaya mengintegrasi sebilangan ciri penyiaran moden. Antaranya termasuklah 5G, kecerdasan buatan (AI) dan perkhidmatan awan.
Melalui 5G, RTM berjaya membekalkan tontonan pada siaran langsung dengan jaminan berkualiti tinggi. Ini berjaya dilakukan melalui tangguhan masa yang pendek, yakni kelambatan minimal dapat disingkatkan antara arahan masuk dengan respons menyusul, khususnya semasa siaran konferens bervideo.
Menerusi AI pula, RTM berjaya memanfaatkannya secara maksimum, untuk pelbagai tugasan. Antaranya mempertingkat kandungan, pemilihan sudut kamera secara automatik, penjanaan kapsyen dan analisis data.
Sebenarnya AI bukan sahaja menjimatkan kos, juga meningkatkan penglibatan penonton dan pendengar RTM secara interaktif.
Manakala perkhidmatan awan digunakan dengan banyak sekali untuk tujuan penyimpanan dan penyebaran semula kandungan.
Penggunaan perkhidmatan awan adalah langkah bijak kerana membantu dalam mengendalikan jumlah tugasan yang banyak, tanpa menjejaskan kedua-dua prestasi dan efisiensi.
Dengan kecaknaan terhadap perkembangan teknologi penyiaran terkini, RTM pasti bukan sahaja akan terus relevan dalam peredaran zaman malah sebagai badan penyiaran utama yang disanjungi.
Perkara penting dalam kedua-dua hal ini ialah komitmen kerajaan untuk terus memastikan RTM berkembang selari dengan kemajuan teknologi penyiaran semasa dan terkini. Untuk ini, peruntukan kewangan hendaklah bukan sahaja mencukupi, juga murah hati sifatnya. Ini penting sekali agar RTM boleh selalu memiliki peralatan semasa yang canggih.
Pada masa sama, komitmen kerajaan dalam pemantapan dasar penyiaran negara, khususnya dalam penganjuran teknologi terkini pada era digital. Dengan ini, ia bukan sahaja untuk RTM terus digemari bahkan untuk melibatkan rakyat dengan pengalaman penyiaran yang lebih menyeronokkan selain realistik.
Antaranya termasuk sifat interaktif, iaitu hubungan dua hala antara RTM dan rakyat yang saling mempengaruhi serta memberi kesan kepada kedua-dua pihak. Selain itu, wujud juga sifat imersif, iaitu pemupukan rasa keterlibatan yang lebih mendalam melalui hubungan emosi yang rapat antara rakyat dan RTM.
Kedua-dua sifat ini membina kepercayaan rakyat terhadap RTM. Dengan kata lain, melalui kepercayaan penuh ini RTM sangat diyakini oleh rakyat.
Seperkara lain yang penting ialah kepimpinan yang komited. Pemimpinnya selalu mengutamakan rejuvenasi agar RTM bukan sahaja selalu relevan, juga terus maju sebagai jenama utama.

Kepimpinan RTM bersama-sama semua kakitangan bekerja keras untuk memastikan agensi televisyen dan radion ini selalu berjaya. Antara kejayaan itu ialah mewujudkan hubungan sosial mesra lagi erat dengan rakyat dari semua golongan usia, latar etnik dan budaya tanpa mengira lokasi.
Hubungan sosial itu bukan sahaja bersifat penuh dengan emosi, yakni kasih sayang yang padat dengan ikatan terhadap RTM tetapi sarat dengan simpati, iaitu pemamahan serta timbang rasa yang penyiar awam perlu menganjurkan dasar awam.
Emosi dan simpati penting sekali kerana membentuk kepercayaan rakyat terhadap RTM. Hal ini dapat dilihat pada slogannya ‘Teman Setia Anda’, bukan sahaja menjadi label ikoniknya tetapi identifikasi yang didedikasikan khas kepada RTM.
Walaupun pernah digantikan seketika dengan slogan lain, seperti ‘Tetap Unggul’ dan ‘Saluran Inforia’, namun slogan ‘Teman Setia Anda’ tetap di hati rakyat. Ini kerana RTM sudah diterima sebagai organisasi media yang paling dipercayai oleh rakyat Malaysia.
Institut ini merupakan sebahagian daripada Jabatan Politik dan Hubungan Antarabangsa di University of Oxford.
Walaupun ramai melihat ia sebagai entiti yang berkisar kepentingan tempatan dan nasional semata-mata, sebenarnya RTM sudah lama melangkah ke persada antarabangsa. Ia bersaing dengan agensi penyiaran lain, baik di rantau ini mahupun di peringkat global, dengan menekankan penyampaian kandungan berkualiti tinggi untuk siaran dalam dan luar negara.
RTM juga menjadi simbol identiti nasional negara dan identiti budaya rakyat. Hal ini jelas terserlah melalui siaran dalam pelbagai bahasa dan dialek tempatan. Walaupun menampilkan kepelbagaian, RTM terus memartabatkan entiti Melayu-Islam dengan mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa penyiaran utama. –UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










