DALAM kajian sosiologi, nilai ditakrifkan sebagai prinsip dan kepercayaan tentang apa yang dianggap baik atau buruk dalam kehidupan manusia.
Menurut Theory of Basic Human Values oleh Shalom H. Schwartz (2012), nilai terbentuk daripada motivasi manusia dan seterusnya mempengaruhi tindakan serta keputusan seseorang, sama ada berorientasikan kepentingan diri atau kepentingan bersama.
Dalam konteks inilah timbul persoalan besar yang sering menghantui masyarakat: Apabila seseorang berada di kedudukan tinggi dalam organisasi atau pentadbiran, adakah keputusan yang dibuat benar-benar demi kepentingan awam, atau sekadar melindungi kepentingan peribadi dan kelompok tertentu?

Hierarki dan Kuasa
Dalam sistem berhierarki, kewujudan kuasa sering dikaitkan dengan persepsi negatif seperti salah guna kuasa, rasuah, nepotisme dan pilih kasih.
Masyarakat cenderung menganggap bahawa semakin tinggi kedudukan seseorang, semakin besar peluang untuk menyalahgunakan kuasa.
Sebaliknya, sistem egalitarian sering dilihat sebagai lebih adil, telus dan berintegriti kerana kuasa diagihkan secara lebih seimbang.
Namun realitinya tidak semudah itu. Sama ada dalam sistem berhierarki atau egalitarian, persoalan integriti tetap bergantung kepada nilai, budaya dan mekanisme kawalan yang wujud dalam organisasi dan negara.
Kebelakangan ini, kes rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasa menjadi perbincangan hangat, bukan sahaja dalam kalangan rakyat, malah hingga ke Parlimen.
Persoalan yang wajar ditanya, apakah motivasi sebenar golongan berjawatan tinggi yang sudah memiliki pendapatan dan kedudukan selesa untuk masih terjebak dalam salah laku ini?
Menurut statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2024, sebanyak 43 peratus kes rasuah adalah melibatkan pegawai kanan.
Jika dirujuk kepada teori Hierarki Keperluan Maslow (1943), keperluan asas mereka sepatutnya sudah dipenuhi. Namun hakikatnya, kuasa, pengaruh dan nafsu untuk mengekalkan kedudukan sering menjadi pemangkin yang lebih kuat berbanding keperluan material semata-mata.
Budaya Hadiah dan Salah Faham Rasuah
Dalam budaya Timur, amalan memberi hadiah dan tanda penghargaan sudah lama menjadi sebahagian daripada adat dan resam masyarakat. Namun, amalan ini sering disalah tafsir sebagai rasuah, khususnya dalam konteks pentadbiran moden.
Akta Pencegahan Rasuah 2009 (Akta 694) mentakrifkan rasuah merangkumi perbuatan menerima atau memberi suapan, membuat tuntutan palsu serta salah guna kuasa.
Dalam perkhidmatan awam pula, pekeliling kerajaan membenarkan penerimaan hadiah dalam had tertentu, dengan syarat kelulusan diperoleh sekiranya melebihi nilai yang ditetapkan (Pekeliling Perkhidmatan bil 2 tahun 2014).
Budaya memberi hadiah ini juga dilaksanakan di Jepun, dimana budaya memberi hadiah ini dilihat sebagai satu kaedah untuk mengeratkan hubungan sosial, sebagai tanda penghargaan kepada seseorang dan sebagai tanda hormat kepada hierarki.
Masalah timbul apabila budaya hadiah ini berkembang seiring dengan kedudukan dan pangkat. Semakin tinggi jawatan, semakin besar nilai hadiah yang dianggap ‘wajar’. Hadiah kecil pula dilihat seolah-olah merendahkan martabat jawatan.
Di sinilah berlaku pertembungan antara budaya dan peraturan antara niat menghormati kedudukan dengan risiko mempengaruhi keputusan. Amalan ini bukan asing dalam sejarah tamadun Timur, termasuk tradisi pemberian ufti kepada pembesar.
Namun dalam sistem pentadbiran moden yang menuntut ketelusan dan akauntabiliti, garis pemisah antara penghormatan dan rasuah menjadi semakin kabur.
Timur dan Barat
Samuel Huntington dalam bukunya The Clash of Civilizations (1996) berhujah bahawa pertembungan dunia masa depan bukan lagi berasaskan ideologi semata-mata, tetapi perbezaan budaya dan nilai.
Penularan nilai Barat termasuk fahaman politik, pentadbiran dan ekonomi sering mencabar struktur budaya Timur yang menekankan adab, hierarki dan ketaatan kepada institusi.
Di Malaysia, Perlembagaan Persekutuan menjadi asas kepada sistem perundangan dan tadbir urus negara. Namun, pengaruh pemikiran yang mengagungkan kekayaan dan kuasa ekonomi semakin menghakis makna sebenar hierarki dan autoriti.
Kedudukan tidak lagi dihormati kerana tanggungjawabnya, tetapi dinilai berdasarkan kekuatan kewangan dan pengaruh ekonomi. Akibatnya, wujud persepsi bahawa segala-galanya boleh dibeli seperti jawatan, keputusan dan prinsip.
Dahulu, Datuk Bandar dihormati kerana jawatan dan tanggungjawab kepada masyarakat, kini jutawan yang tidak pernah berkhidmat kepada masyarakat lebih dihormati semata-mata kerana kekayaannya. Ini penyelewengan nilai yang sedang kita hadapi hari ini.
Kajian Institut Integriti Malaysia (IIM) 2024 mendapati 67 peratus bersetuju kenyataan “Di Malaysia, wang boleh menyelesaikan apa-apa masalah” dan lebih membimbangkan 54 peratus generasi muda (18-35 tahun) percaya kekayaan lebih penting daripada integriti untuk berjaya dalam kerjaya.
Sempadan yang Kabur
Kekayaan dan kuasa ekonomi mungkin mampu membeli keistimewaan, tetapi ia tidak seharusnya membeli hak. Hak seseorang dijamin oleh undang-undang dan Perlembagaan, bukan oleh kemampuan kewangan atau pengaruh ekonomi.
Dalam peradaban Timur, penghormatan diberikan kepada kedudukan dan tanggungjawab, bukan semata-mata kepada kekayaan.
Namun apabila kekayaan menjadi penentu utama penghormatan, maka hak dan keistimewaan mula disalahgunakan. Keputusan tidak lagi digerakkan oleh akal dan nilai, tetapi oleh nafsu dan kepentingan kelompok elit. Lebih membimbangkan, masyarakat akhirnya menjadi boneka kepada kumpulan elit berkepentingan ini yang menentukan apa yang kita beli, apa yang kita makan dan bagaimana kita berfikir.
Integriti dan Jati Diri
Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengekang gejala ini, termasuk penggunaan perolehan sepenuhnya dalam talian (e-perolehan), pelaksanaan Anti-Bribery Management System (ABMS), Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE), penggubalan Strategi Antirasuah Nasional (NACS) 2019, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) dan kursus-kursus berunsur integriti dan tatakelola.
Namun, sistem dan dasar semata-mata tidak mencukupi tanpa pengukuhan nilai dan jati diri. Integriti bukan sekadar prosedur, tetapi cerminan budaya, pendidikan dan kesedaran moral yang telah diterapkan sejak kecil lagi.
Pendidikan mengenai nilai amatlah penting bermula dari kecil. Mata pelajaran sivik perlu dikembalikan ke sekolah rendah bagi memperkukuh nilai dan jati diri masyarakat di masa hadapan.
Kuasa tanpa nilai adalah racun, integriti tanpa jati diri hanyalah slogan. Jika kita mahu membina masyarakat yang benar-benar bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa, maka pendidikan nilai mestilah bermula dari rumah, diperkuatkan di sekolah dan dicerminkan oleh kepimpinan negara. – UTUSAN
AKMAL Ariff Zainul Ariff ialah Timbalan Ketua Pusat Pengajian Pengurusan dan Kepimpinan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara.










