PADA 24 Februari lalu, kerajaan pusat India meluluskan perubahan nama Kerala kepada Keralam secara rasmi dalam ejaan bahasa Inggeris dan tulisan rumi. Langkah ini memberi penghormatan kepada sebutan dan identiti linguistik bahasa Malayalam, bukan sekadar nama kolonial yang diwarisi sejak era penjajahan British.
Negeri di bahagian barat daya India ini dibentuk secara rasmi pada 1 November 1956 di bawah Akta Penyusunan Semula Negeri lalu dikenali sebagai Keralamanakala dalam bahasa Malayalam terus disebut Keralam.
Nama Keralam membawa maksud tanah pokok kelapa iaitu merujuk kepada ciri dominan alam sekitar negeri itu di mana pokok kelapa merupakan elemen penting dalam kehidupan dan ekonomi setempat.
Dalam sejarah etimologi yang lebih jauh, nama Kerala atau Keralam bukanlah ciptaan moden. Sumber terawal mencatatkan istilah Keralaputo dalam prasasti batu Maurya oleh Maharaja Ashoka pada abad ke-3 Sebelum Masihi. Istilah itu dipercayai merujuk kepada wilayah atau keluarga ‘anak-anak Chera’ iaitu rujukan kepada Dinasti Chera yang pernah berkuasa di kawasan itu.
Teori lain pula mengatakan nama itu berasal daripada gabungan dua perkataan Malayalam iaitu keira (pokok kelapa) dan alam (tanah), lalu kemudian memberi makna tanah pokok kelapa atau Keralam.
Sejarah lisan dan mitos turut memainkan peranan dalam naratif asal usul negeri ini. Menurut legenda Hindu yang dipaparkan dalam karya seperti Keralolpathi dan tradisi penglipur lara tempatan, negeri yang kini dikenali sebagai Kerala dikaitkan dengan watak Parashurama, inkarnasi dewa Vishnu.
Dalam kisah itu, Parashurama melemparkan kapaknya ke arah laut, menyebabkan air laut surut dan tanah timbul dari dasar laut antara Gokarna hingga Kanyakumari. Bagaimanapun, tanah itu terlalu masin dan tidak subur, lalu Parashurama memohon kepada raja ular, Vasuki, yang memuntahkan racun suci untuk menyahtoksik tanah sehingga menjadi subur.
Selepas pembentukan negeri moden pada 1956, Kerala berkembang sebagai sebuah entiti politik, sosial dan budaya yang unik, berbeza daripada wilayah lain di India. Penduduk Kerala adalah campuran kompleks tradisi Aryan dan Dravidian, Islam, Kristian dan Hindu serta pengaruh pedagang dari Arab, China dan Eropah yang menjejakkan kaki ke pelabuhan purba sejak ribuan tahun dahulu.
Semangat memupuk perpaduan sambil meraikan kepelbagaian seperti berlaku di Kerala wajar diketahui rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya di Malaysia.
Dalam tempoh November 1956 hingga menjelang nama rasmi Keralam pada Februari lalu, negeri ini telah mencipta model pembangunan yang sering dirujuk sebagai ‘Model Kerala’. Ia menggabungkan kecemerlangan literasi, kesihatan, pembangunan sosial dan kesejahteraan yang luar biasa.
Kerala mencatat kadar literasi tertinggi di India, dengan hampir 97 peratus penduduk boleh membaca dan menulis. Semua ini hasil usaha sejak puluhan tahun lalu melibatkan gerakan perpustakaan, pendidikan awal termasuk sekolah di setiap kampung, selain dasar kerajaan negeri yang propendidikan dan prokesihatan. Laporan media tempatan dan antarabangsa membuktikan hal ini.
Kesan daripada fokus pendidikan ternyata melimpah ke dalam dinamika ekonomi dan sosial. Kebanyakan kawasan desa di Kerala mempunyai akses kepada sekolah dan kemudahan asas. Pembinaan perpustakaan komuniti di hampir setiap kawasan tempat tinggal bukan sahaja meningkatkan akses kepada ilmu tetapi juga menjadi pusat wacana sosial dan politik.
Ketua Menteri Kerala, Pinarayi Vijayan pada November 2025 mengakui budaya membaca dalam kalangan penduduk pelbagai peringkat umur berjaya membantu negeri itu menghapuskan masalah kemiskinan tegar.
Katanya, budaya membaca turut mendidik masyarakat agar lebih peka terhadap isu sosial dan hak asasi.
Dari segi ekonomi, walaupun negeri ini bukanlah yang teratas dari segi jumlah keluaran dalam negara kasar berbanding negeri-negeri besar lain di India, namun Kerala mampu memanfaatkan pelbagai sektor seperti pelancongan, perkhidmatan teknologi maklumat serta perusahaan kecil dan sederhana.
Dalam tahun-tahun awal abad ke-21, sektor pelancongan berjaya menarik puluhan juta pelawat setiap tahun, sekali gus memberi sumbangan signifikan kepada produk domestik negeri dan menyediakan pekerjaan kepada ratusan ribu orang tempatan.

Dalam konteks budaya dan tradisi, Kerala menghasilkan warisan yang kaya.
Bahasa Malayalam berkembang sebagai antara bahasa Dravidian yang menyimpan tradisi kesusasteraan tersendiri, dengan barisan penulis dan wartawan yang memberi suara dalam isu sosial dan politik. Karya sastera Malayalam sentiasa diterjemah untuk dinikmati dunia luar.
Kerala juga terkenal dengan seni persembahan tradisional seperti Kathakali, Mohiniyattam dan muzik gendang (chenda). Kesemuanya mencerminkan gabungan nilai estetik, spiritual dan naratif masyarakat.
Pada masa sama, filem Malayalam pula telah lama dikenali kerana gaya realis dan tema-tema penting yang diketengahkan. Filem Malayalam bukan hanya hiburan, sebaliknya ruang kritikal bagi mengupas isu masyarakat.
Hubungan kaum dan agama pula merupakan cerminan toleransi. Di Kerala, orang Hindu, Kristian, Muslim dan Yahudi hidup berdampingan sejak berabad-abad lamanya, sekali gus mencerminkan amalan saling menghormati dan kerjasama dalam pelbagai perayaan dan aktiviti komuniti.
Semua sambutan keagamaan dan kebudayaan diraikan bersama sebagai sebuah keluarga besar. Pendekatan ini memberi pengajaran penting kepada masyarakat pelbagai kaum di Malaysia tentang perlunya sikap menghormati perbezaan sambil mencari titik persamaan dalam kehidupan seharian.
Bagi golongan masyarakat Malayali di Malaysia yang nenek-moyang berasal dari Kerala, mereka tetap berbangga dengan asal usul, identiti dan jati diri keturunan, sambil tetap berbangga menjadi warganegara Malaysia.
Kefahaman terhadap cara penduduk di Keralam mengharmonikan bahasa, pendidikan, identiti agama, tradisi seni, peranan wanita dalam sistem keluarga matriarki dan pelbagai perkara lain mampu memberi panduan berharga kepada masyarakat majmuk di Malaysia tentang integrasi sosial dan progresif.
Keralam dalam erti kata etimologi dan sejarahnya sendiri merupakan contoh bagaimana warisan budaya tradisi dan kehidupan moden boleh berkembang seiring sambil mengekalkan akar identiti dan jati diri. -UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










