Data kini enjin baharu ekonomi Malaysia

Data kini enjin baharu ekonomi Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP hari, tanpa sedar kita menghasilkan sesuatu yang bernilai besar. Apabila membuat carian di Google, membeli-belah di Shopee, menempah makanan melalui aplikasi atau sekadar menghidupkan telefon pintar, kita sebenarnya sedang menghasilkan data

Data ini dikumpul, diproses dan digunakan oleh syarikat dan kerajaan untuk membuat keputusan yang mempengaruhi harga barangan yang dibeli, perkhidmatan diterima dan dasar awam yang mencorak kehidupan. 

Namun, berapa ramai yang benar-benar faham mengapa data disebut sebagai ‘minyak baharu abad ke-21’?

Ramai orang memandang data sebagai sesuatu yang teknikal dan jauh daripada kehidupan seharian. Hakikatnya, data adalah rakaman setiap nafas kehidupan moden dalam bentuk digital. 

Ketika seorang ibu bapa mendaftarkan anak ke sekolah secara dalam talian, sebuah data dicipta. 

Ketika seorang pesawah di Kedah memohon subsidi baja melalui portal kerajaan, data itu tersimpan dalam sistem. 

Ketika seorang pesakit mendapatkan rawatan di hospital awam dan rekodnya dimasukkan ke dalam sistem MySejahtera, data itu berpotensi menyelamatkan nyawa ramai orang lain melalui analisis corak penyakit.

Data dari jutaan interaksi seperti ini, apabila dianalisis dengan betul, mampu memberikan gambaran jelas tentang keperluan masyarakat, kelemahan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan dan peluang pertumbuhan ekonomi yang belum diterokai. Inilah sebabnya pakar ekonomi dan pemimpin dunia menyifatkan data sebagai aset ekonomi paling kritikal abad ini.

 

ANGKA YANG BERBICARA

Nilai ekonomi data bukan sekadar teori. Angka-angka terkini membuktikannya dengan jelas. Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sektor teknologi maklumat  (ICT) dan e-dagang menyumbang 23.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2024, dengan nilai mencapai RM451.3 bilion, meningkat daripada RM429.3 bilion pada 2023. 

Sehingga Jun 2024, jumlah pelaburan digital Malaysia mencecah RM589.9 bilion, dengan lebih 245,000 peluang pekerjaan baharu diwujudkan. 

Angka ini bukan kebetulan tetapi hasil langsung daripada pelaburan dalam infrastruktur data, keupayaan analitik dan ekosistem digital yang dibina secara sistematik oleh Malaysia melalui Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

Bayangkan impak RM451.3 bilion itu kepada kehidupan rakyat biasa. Ia bermaksud lebih banyak pekerjaan dalam sektor teknologi untuk graduan muda, lebih banyak syarikat pemula yang boleh mencipta penyelesaian digital untuk masalah tempatan dan lebih banyak hasil cukai untuk kerajaan guna membiayai hospital, sekolah mahupun infrastruktur awam.

Antara kepentingan terbesar data kepada kerajaan ialah keupayaannya untuk memastikan dasar awam sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Tanpa data yang tepat, kerajaan terpaksa membuat andaian dalam kegelapan. 

Dengan data yang baik, bantuan sosial seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dapat disasarkan dengan lebih tepat kepada isi rumah yang layak menerima, mengelakkan kebocoran yang merugikan rakyat dan negara.

Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dibangunkan oleh Kementerian Ekonomi adalah contoh terbaik bagaimana Malaysia sedang membina infrastruktur data bersepadu untuk memastikan setiap ringgit bantuan kerajaan sampai kepada tangan yang betul. 

Dengan menggabungkan data daripada lebih 40 agensi kerajaan, PADU membolehkan pegawai dasar melihat gambaran menyeluruh tentang keadaan sosioekonomi setiap isi rumah Malaysia, sesuatu yang tidak pernah mungkin dilakukan sebelum era data digital ini.

Kepentingan data tidak terhenti di meja penggubal dasar. Ia turun hingga ke peringkat kehidupan rakyat biasa dalam cara yang sangat nyata. Apabila seseorang doktor di hospital kerajaan dapat mengakses rekod perubatan pesakit secara digital dan segera, membolehkan masa diagnosis lebih pantas atau dalam kata lain pesakit menerima rawatan yang lebih berkesan. 

Apabila sistem pengangkutan awam seperti  transit aliran massa (MRT) menggunakan data pergerakan penumpang untuk mengoptimumkan jadual kereta, membolehkan kelewatan dapat dikurangkan dan produktiviti harian rakyat meningkat.

Bagi petani dan nelayan pula, penggunaan data cuaca serta pasaran melalui aplikasi mudah alih mengubah cara mereka merancang pengeluaran atau membuat keputusan tentang masa terbaik untuk menjual hasil.

Bagi usahawan kecil dan sederhana, data analitik daripada platform e-dagang seperti Lazada dan Shopee membolehkan mereka memahami produk yang diminati, di kawasan mana dan pada waktu bila, memberikan kelebihan kompetitif yang dahulunya hanya dimiliki syarikat-syarikat besar dengan bajet penyelidikan pasaran yang besar.

Walaupun manfaat data kepada ekonomi sangat jelas, namun terdapat soalan penting yang perlu dijawab oleh masyarakat dan kerajaan, siapakah milik data yang dihasilkan setiap hari dan siapa yang sebenarnya mendapat manfaat daripadanya? 

Pada hari ini, syarikat-syarikat teknologi besar mengumpulkan data pengguna Malaysia, memprosesnya dan menjana keuntungan berbilion ringgit. Namun pengguna yang menghasilkan data tersebut tidak menerima sebarang pampasan langsung. Ketidakseimbangan ini menuntut perhatian serius.

Pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2024 yang berkuat kuasa pada April 2025 adalah langkah kerajaan ke arah memastikan hak rakyat ke atas data peribadi mereka dilindungi. 

Denda bagi pelanggaran kini ditingkatkan sehingga RM1 juta dan individu kini mempunyai hak lebih kukuh untuk mengakses selain membetulkan data peribadi mereka yang disimpan oleh syarikat. 

Ini adalah permulaan yang baik tetapi perjalanan masih jauh untuk memastikan rakyat biasa dapat menikmati faedah ekonomi yang setimpal daripada data dihasilkan setiap hari.

Malaysia berada di persimpangan penting dalam perjalanan ekonomi digitalnya. Kerajaan perlu memastikan beberapa perkara berlaku secara serentak. 

Pertama, literasi data perlu ditingkatkan dalam kalangan rakyat supaya masyarakat faham nilai data dan dapat membuat keputusan lebih bijak tentang privasi digital. 

Kedua, akses kepada data awam perlu diperluaskan melalui inisiatif seperti portal data.gov.my, supaya usahawan kecil, penyelidik dan masyarakat sivil dapat menggunakan data untuk mencipta penyelesaian baharu kepada masalah Malaysia.

Ketiga, perlindungan hak digital rakyat perlu diperkukuhkan supaya manfaat ekonomi daripada data Malaysia tidak hanya mengalir ke luar negara tetapi juga membina kekayaan dalam negara.

 

DATA adalah aset negara, hak rakyat dan enjin kemakmuran Malaysia pada masa hadapan.

 

DATA ADALAH MASA DEPAN KITA

Sejarah ekonomi dunia menunjukkan negara yang berjaya menguasai sumber paling kritikal pada zamannya akan mendominasi kemakmuran. 

Umum mengetahui, negara yang menguasai tanah mendominasi era pertanian sementara negara menguasai tenaga industri mendominasi era perindustrian. 

Kini, negara yang menguasai data dan keupayaan untuk menggunakannya dengan bijak akan mendominasi abad ke-21. 

Data adalah aset negara, hak rakyat dan enjin kemakmuran Malaysia pada masa hadapan. Maka, sudah tiba masanya kita semua memahami dan memanfaatkannya dengan bijak. -UTUSAN

 

DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Penolong Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×