Apa impak STR pada pengguna?

Apa impak STR pada pengguna?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERBELANJAAN isi rumah terus menjadi penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Data rasmi Jabatan Perangkaan menunjukkan bahawa Perbelanjaan Penggunaan Akhir Swasta termasuk perbelanjaan isi rumah kekal sebagai komponen terbesar dalam permintaan domestik, menyumbang lebih daripada 60 peratus daripada KDNK pada 2025, dengan pertumbuhan sekitar lima peratus pada suku ketiga tahun tersebut.

Ini bermakna sebarang perubahan dalam corak perbelanjaan rakyat termasuk semasa musim perayaan akan memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara kerana rumah tangga merupakan teras utama pembelian barangan dan perkhidmatan.

Namun, persoalannya bukan sekadar berapa banyak yang dibelanjakan, tetapi bagaimana corak perbelanjaan itu terbentuk.

Di sinilah timbul persoalan penting: Adakah peningkatan perbelanjaan ini benar-benar menandakan kesejahteraan yang bertambah atau sekadar gambaran luaran yang tidak mencerminkan realiti kewangan dalaman?

STR mengurangkan kejutan kewangan apabila harga barang meningkat atau apabila tiba musim yang memerlukan perbelanjaan tambahan seperti musim perayaan.

Kuasa beli yang kelihatan tinggi pada musim perayaan tidak semestinya mencerminkan kekuatan kewangan sebenar. Ia mungkin sekadar lonjakan sementara yang disokong oleh pengorbanan simpanan atau pertambahan liabiliti.

Keadaan inilah yang membawa kita kepada peranan dasar kerajaan, khususnya bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), dalam membentuk dan menstabilkan corak perbelanjaan tersebut.

Bantuan seperti ini bukan sahaja mempengaruhi jumlah wang yang dibelanjakan tetapi juga menentukan sejauh mana isi rumah mampu meraikan tanpa menjejaskan kedudukan kewangan mereka selepas perayaan berakhir.

STR sebagai penampan
Kementerian Kewangan melaksanakan inisiatif STR sebagai bantuan tunai terus kepada golongan B40 dan sebahagian M40 bagi meringankan tekanan kos sara hidup.

Dalam beberapa belanjawan kebelakangan ini, peruntukan untuk bantuan tunai dan subsidi bersasar mencecah puluhan bilion ringgit, mencerminkan komitmen fiskal yang besar dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial negara.

Ini bukan sekadar angka dalam dokumen belanjawan tetapi suntikan tunai yang terus masuk ke akaun isi rumah yang memerlukannya.

Dari sudut ekonomi, bantuan seperti STR berfungsi sebagai penampan kuasa beli. Ia membantu isi rumah mengekalkan perbelanjaan keperluan asas seperti makanan, persekolahan anak dan utiliti tanpa perlu mengorbankan perbelanjaan penting lain.

Dalam erti kata lain, STR mengurangkan kejutan kewangan apabila harga barang meningkat atau apabila tiba musim yang memerlukan perbelanjaan tambahan seperti musim perayaan.

Ketika bulan perayaan, peranan ini menjadi lebih jelas. Bantuan tunai yang diterima memberi sedikit ruang bernafas kepada penerima untuk membeli keperluan tambahan seperti pakaian atau juadah tanpa sepenuhnya bergantung kepada hutang jangka pendek.

Ia mungkin tidak menjadikan seseorang “lebih kaya”, tetapi cukup untuk mengelakkan tekanan kewangan daripada menjadi lebih parah selepas perayaan berakhir.

Dari perspektif makroekonomi, STR membantu mengekalkan momentum perbelanjaan domestik. Golongan berpendapatan rendah mempunyai kecenderungan mengguna yang tinggi, bermakna sebahagian besar bantuan yang diterima akan dibelanjakan semula dalam ekonomi tempatan.

Wang tersebut mengalir ke kedai runcit, pasar basah, peruncit kecil dan usahawan mikro, seterusnya menyokong aktiviti ekonomi di peringkat akar umbi. Dalam keadaan ekonomi yang perlahan, mekanisme seperti ini boleh membantu menstabilkan permintaan agregat.

Namun demikian, kesannya lebih ketara dalam jangka pendek. STR meningkatkan kecairan isi rumah, tetapi tidak semestinya meningkatkan pendapatan sebenar secara kekal.

Selepas bantuan tersebut dibelanjakan, struktur pendapatan isi rumah kembali kepada keadaan asal. Jika kos sara hidup terus meningkat tanpa pertumbuhan gaji yang seiring, tekanan terhadap kuasa beli akan muncul semula.

Justeru, STR wajar dilihat sebagai alat penstabil, bukan penyelesaian menyeluruh. Ia penting untuk meredakan tekanan dan mengelakkan kejutan ekonomi kepada golongan rentan.

Pun begitu, usaha jangka panjang tetap perlu tertumpu kepada peningkatan pendapatan sebenar, produktiviti dan peluang pekerjaan yang lebih berkualiti. Di situlah terletaknya asas kepada kuasa beli yang benar-benar kukuh dan lestari.

Dalam masa yang sama, penerima STR juga wajar melihat bantuan ini sebagai amanah yang perlu diurus secara berhemah.

Bantuan tunai bukan bertujuan untuk memenuhi kehendak jangka pendek semata-mata, tetapi untuk mengukuhkan kedudukan kewangan isi rumah, khususnya dalam menampung keperluan asas dan mengurangkan beban hutang.

Perancangan perbelanjaan yang bijak seperti mendahulukan keperluan berbanding kehendak, menyimpan sebahagian kecil sebagai dana kecemasan dan mengelakkan pembelian yang tidak terancang boleh memastikan manfaat STR dirasai lebih lama, bukan sekadar bermusim.

Kuasa beli yang stabil bukan hanya bergantung kepada jumlah bantuan diterima, tetapi juga kepada disiplin kewangan dalam mengurus setiap ringgit yang dibelanjakan.

Kesan Ekonomi
Apabila penerima STR membelanjakan bantuan tersebut terutamanya untuk barangan tempatan seperti makanan, pakaian atau perkhidmatan, wang itu tidak terhenti pada satu tangan sahaja. Ia mengalir kepada peniaga kecil, pembekal dan pekerja, seterusnya mencipta kesan gandaan dalam ekonomi domestik.

Dalam konteks ini, STR bukan sekadar bantuan kebajikan, tetapi juga instrumen rangsangan ekonomi berskala mikro. Peniaga bazar, usahawan kecil dan peruncit tempatan mendapat manfaat langsung apabila kuasa beli rakyat distabilkan.

Justeru, corak perbelanjaan yang disokong oleh bantuan tunai turut membantu mengekalkan momentum ekonomi, khususnya dalam sektor peruncitan dan perkhidmatan.

Kuasa Beli
Bantuan tunai seperti STR berperanan penting sebagai mekanisme sokongan, terutamanya dalam tempoh tekanan ekonomi. Namun, kemampanan kuasa beli bergantung kepada pertumbuhan pendapatan sebenar, produktiviti dan kestabilan harga dalam jangka panjang.

Jika kenaikan harga barangan asas lebih laju daripada pertumbuhan pendapatan, kuasa beli akan terus terhakis walaupun bantuan tunai diberikan secara berkala.

Oleh itu, STR harus dilihat sebagai pelengkap kepada dasar yang lebih menyeluruh termasuk kawalan inflasi, penciptaan pekerjaan berkualiti dan peningkatan gaji sebenar.

Kuasa beli rakyat di musim perayaan bukan sekadar soal perbelanjaan bermusim. Ia mencerminkan struktur ekonomi, keberkesanan dasar fiskal dan tahap daya tahan isi rumah.

Bantuan seperti STR membantu meredakan tekanan, tetapi kekuatan sebenar ekonomi negara terletak pada kemampuan rakyat berbelanja tanpa bergantung kepada bantuan sementara. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Siti Hadijah Che Mat dan Dr. Norzita Jamil ialah pensyarah di Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN