AIDILFITRI adalah hari anugerah daripada Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang taat dan beriman. Hari kebesaran itu disambut selepas menunaikan ibadah puasa Ramadan selama sebulan.
Maka Aidilfitri itu sebenarnya ialah hari untuk berbuka yang mana pada hari itu dihalalkan apa yang telah diharamkan kepada kita melakukannya pada siang hari bulan Ramadan seperti makan, minum dan bersama dengan isteri. Oleh sebab itu, padanya juga diharamkan berpuasa.
Hari ini adalah musim umat Islam bergembira dan ceria setelah mereka berjaya menyempurnakan kewajipan dan ketaatan kepada Allah SWT sepanjang Ramadan.
Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad) “kedatangan al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangnya, maka dengan isi kandungan al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal.” (Yunus: 58)

Aidilfitri dan Aidiladha adalah anugerah Allah kepada umat Islam untuk bersuka ria. Anas bin Malik meriwayatkan bahawa: Apabila Rasulullah SAW sampai ke Madinah, mereka mempunyai dua hari untuk bersuka ria. Lalu Nabi SAW bersabda: ‘Adakah dua hari ini?’ Mereka menjawab: ‘Kami bersuka ria pada kedua-dua hari ini pada zaman jahiliah.’
Baginda bersabda: ‘Allah SWT telah menggantikan kedua-dua hari tersebut dengan yang lebih baik, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Korban. (Riwayat Ahmad)
Walaupun kita bergembira menyambut hari raya, kegembiraan itu bukanlah bebas melakukan sewenang-wenangnya. Sebaliknya, kegembiraan itu adalah dibatasi dengan panduan syarak.
Antara dua perkara yang digalakkan pada malam raya selain daripada mengeluarkan zakat fitrah adalah menghidupkan malam raya dengan berqiamullail.
Ini berdasarkan hadis riwayat Abu Umamah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Siapa yang mendirikan malam raya dengan penuh penghisaban, nescaya tiada mati hatinya pada hari matinya segala hati.” (Riwyat Ibnu Majah)
Perkara kedua adalah bertakbir pada malam raya dan pagi hari raya sehingga solat raya. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Hiasilah hari raya kamu dengan bertakbir. (Riwayat at-Tabrani)
Ia juga bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur. (al-Baqarah:185)
Kita juga digalakkan bertahlil, bertakbir, bertahmid dan bertaqdis. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: Hiasilah kedua hari raya kamu dengan tahlil, takbir, tahmid dan taqdis. (Riwayat Abu Nuaim)
Untuk itu, janganlah kita dilalaikan dengan perkara sia-sia seperti bermain mercun, merempit, menonton hiburan yang berlebihan dan terlibat dalam pergaulan bebas sesama bukan mahram.
Hari raya adalah ibadat. Ia bukan tempat untuk ‘menghalalkan’ segala kemaksiatan atas tiket Aidilfitri untuk bersuka-ria. Hari raya memang untuk bergembira tetapi ia tetap ada batasnya. Lebih-lebih lagi, kita baru sahaja menjalani tarbiah Ramadan selama sebulan.
LAFAZ UCAPAN SELAMAT
Majoriti amalan umat Islam negara kita akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’.
Bagaimanapun, yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi SAW adalah sebagaimana diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya: “Apabila para sahabat Rasulullah SAW bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain taqabbalullah minna waminka (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).” (Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani, jil. 5, ms. 270-271.
MANDI PAGI HARI RAYA
Kita juga disunatkan mandi pada pagi hari raya iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat pelaksanaan solat Aidilfitri.
Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab:“Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.” (Riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1)
MAKAN SEBELUM SOLAT AIDILFITRI
Disunatkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya.
Menurut al-Muhallab r.a: “Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah SAW ingin menutup prasangka semacam ini.” (Fath al-Bari, jil. 5, ms. 272)
Baginda Nabi SAW misalnya, akan makan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Ia sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud: Nabi SAW tidak keluar pada padi Aidilfitri sehingga baginda makan beberapa biji kurma (dalam bilangan ganjil). (Riwayat Bukhari)
MEMAKAI PAKAIAN YANG INDAH ATAU TERBAIK
Kita disunatkan menghias diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya.
Imam Syafie r.h berkata: “Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.” (Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327)
Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, mereka perlu menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki.
BERJALAN KAKI MENUJU TEMPAT SOLAT HARI RAYA
Disunatkan juga melalui jalan yang lain apabila pulang dari tempat solat. Jabir bin ‘Abdullah r.a berkata: “Nabi SAW melalui jalan yang berbeza pada hari raya.” (Riwayat Bukhari)
SOLAT SUNAT AIDILFITRI
Di antara syiar yang paling utama dalam menyambut Aidilfitri adalah pelakasanaan solat hari raya sebanyak dua rakaat oleh seluruh umat Islam.
Ibn Abbas r.a berkata: “Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya.” (Riwayat Bukhari)
Solat Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha disyariatkan pada tahun kedua Hijrah. Solat sunat hari raya yang pertama dikerjakan oleh Rasulullah SAW ialah solat sunat Hari Raya Aidilfitri dan kemudian diikuti Aidiladha pada tahun kedua Hijrah. – UTUSAN
MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia.










