WALAUPUN Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) masih belum ditetapkan tarikhnya, tetapi secara perlembagaan hanya perlu diadakan selewat-lewatnya pada 2028. Secara matematiknya ia perlu diadakan dalam tempoh sekitar 24 bulan lagi.
Ia bukan satu tempoh yang panjang, di mana sudah tentu setiap parti dan gabungan politik sudah perlu bersedia menyusun strategi, mengukuhkan jentera, dan membentuk naratif masing-masing bagi memenangi sokongan rakyat. Persoalannya, parti atau gabungan mana yang boleh dianggap mendahului pada ketika ini?
Dalam situasi politik Malaysia sekarang sudah tentu ia tidak mempunyai jawapan yang objektif, yang tepat bagi menjawab soalan ini. Tidak ada pihak yang secara hitam putih boleh mendakwa mereka kini mendahului.
Namun, berdasarkan kedudukan kuasa, struktur politik semasa, serta pola sokongan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), terdapat beberapa petunjuk penting untuk mengukur pihak mana yang memiliki kelebihan ketika ini.
Seperti rumusan penganalisis bebas, Oh Ei Sun, bahawa PRU16 bukan soal siapa paling kuat hari ini, tetapi siapa paling meyakinkan pengundi pada saat undi dibuang.
Pakatan Harapan: Kelebihan sebagai kerajaan pusat
Ketika ini Pakatan Harapan (PH) dilihat berada pada kedudukan paling strategik kerana menjadi teras kepada Kerajaan Perpaduan yang memerintah negara ketika ini. Dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, PH mempunyai kelebihan daripada segi akses kepada jentera kerajaan, keupayaan merangka dasar, dan peluang menampilkan rekod pentadbiran sebagai modal untuk menyakinkan rakyat.
Walaupun dari sudut persepsi, PH masih dilihat kuat di kawasan bandar dan separa bandar, khususnya dalam kalangan pengundi bukan Melayu dan kelas menengah. Namun, kelebihan menjadi kerajaan membolehkan mereka menembusi kawasan yang menjadi kubu kuat lawan terutama melalui kerjasama dengan UMNO/Barisan Nasional (BN).
Dasar-dasar populis PH melalui Kerajaan Perpaduan akan dinilai oleh rakyat. Polisi-polisi yang menangani isu kos sara hidup, inflasi, peluang pekerjaan, meningkatkan taraf ekonomi dan reformasi institusi sudah tentu akan membantu PH menawan hati pengundi yang tidak bersama mereka.
Selain itu, kerjasama PH dengan BN walaupun ada yang mendakwa ia hanya stabil di peringkat pusat, masih rapuh dari sudut sentimen akar umbi, tetap memberi kelebihan kepada gabungan itu untuk mengekalkan kuasa selepas PRU16 nanti.
Perikatan Nasional: Kemelut mencetuskan krisis keyakinan
Pada peringkat, terutama selepas melihat prestasi mereka pada PRU15, Perikatan Nasional (PN), yang didominasi oleh Pas dan Bersatu disifatkan sebagai blok pembangkang paling tersusun.
Kejayaan mereka dalam PRU15, terutama di negeri-negeri Pantai Timur dan utara serta sebahagian besar kawasan luar bandar Melayu, membuktikan daya tarikan naratif mereka dalam kalangan pengundi Melayu-Islam.
Pas kekal sebagai parti paling dominan dari segi bilangan kerusi dalam PN, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama pembangkang. Bersatu pula, walaupun berdepan isu dalaman dan cabaran kepimpinan, masih relevan sebagai rakan strategik.
Namun dominasi itu turut membawa kepada pergolakan dalam PN apabila ahli-ahli akar umbi pada pada muktamar tahun lalu mendesak pemimpin mereka supaya mengambil alih kepimpinan PN daripada Bersatu.
Keyakinan berlebihan hingga menimbulkan desakan seperti mencetuskan ribut dalaman PN yang membawa kepada perletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN. Hingga kini jawatan itu belum diisi.
PN diakui memiliki kekuatan hasil mesej yang konsisten, jentera akar umbi yang aktif, dan kemampuan memanfaatkan isu kegelisahan ekonomi dan sentimen anti-establishment.
Tetapi perkembangan terkini dalam pakatan itu meresahkan para penyokong. Tenaga dan tumpuan kini lebih kepada untuk mengekalkan kestabilan dalaman parti baik alam Pas mahupun Bersatu yang mana ia merapuhkan ikatan dalam PN.
Situasi ini menyebabkan PN kini berdepan cabaran besar untuk mengekalkan sokongan pengundi atas pagar yang menyokong mereka pada PRU15 dan sukar untuk melebarkan sokongan di luar pengundi teras Melayu, terutamanya di kawasan bandar dan bercampur.
Barisan Nasional/UMNO sekadar penentu, bukan pendahulu
BN, khususnya UMNO, kini berada dalam posisi paling kompleks. Walaupun menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan, UMNO bukan lagi dominan seperti suatu ketika dahulu.
Pengaruhnya merosot selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan semakin tenggelam dalam PRU15. Namun ia masih sebuah parti dan pakatan yang memiliki rangkaian akar umbi yang luas, sama ada di bandar mahupun luar bandar. Buktinya pada PRU15 UMNO/BN masih mampu memenangi kerusi Parlimen di bandar raya – jika menggunakan strategi yang betul.
Dalam konteks PRU16, BN tidak semestinya mendahului perlumbaan, tetapi berpotensi menjadi ‘penentu’ kepada siapa yang boleh membentuk kerajaan. Arah sokongan UMNO—sama ada kekal bersama PH, membentuk gabungan lain atau bersendirian—akan menentukan pembentukan kerajaan akan datang.
Keputusan UMNO untuk menangguhkan pemilihan parti sehingga selepas PRU16 menunjukkan fokus kepada kelangsungan politik jangka pendek, walaupun isu legitimasi kepemimpinan terus menghantui parti itu.
Faktor yang menentukan siapa yang mendahului
Menentukan siapa mendahului bukan hanya soal jumlah kerusi semasa, tetapi melibatkan beberapa faktor utama.
Yang utama sudah tentu prestasi semasa kerajaan. PH akan dinilai berdasarkan hasil daripada polisi-polisi yang dilaksanakan. Bantuan sara hidup yang meringankan beban rakyat, isu-isu asas yang diselesaikan, ringgit yang semakin kukuh dan kadar pengangguran yang berjaya dikurangkan sudah membantu meningkatkan keterampilan mereka di mata pengundi.
Kenyataannya, isu ekonomi dan kos sara hidup adalah faktor paling berpengaruh terhadap pengundi.
Dalam tempoh sekitar dua tahun menjelang PRU16, sudah tentu sebarang tanda-tanda perpecahan dalaman akat dilihat sebagai kelemahan oleh rakyat. Jika mahu bersaing tidak boleh kelihatan sebarang keretakan pada mana-mana perikatan. Perpecahan dalaman boleh melemahkan mana-mana gabungan dan menjejaskan sokongan.
Satu fakta yang tidak boleh diabaikan adalah peralihan sokongan pengundi muda dan pengundi atas pagar. Ini adalah kumpulan yang semakin menjadi penentu kepada keputusan pilihan raya. Sokongan mereka berubah-ubah berdasarkan perkembangan semasa.
Ada pemerhati mengatakan secara keseluruhan, tiada parti atau gabungan yang boleh mendakwa mendahului secara mutlak dalam perlumbaan ke PRU16.
Tetapi, hakikat bahawa PH memiliki kelebihan sebagai kerajaan tidak boleh dinafikan dengan dibantu oleh jentera UMNO/BN yang berada di setiap peringkat.
PN pula memang kuat sebagai pembangkang dan kawasan luar bandar adalah kubu kuat mereka. Tetapi dengan krisis kepemimpinan yang masih belum selesai, dengan Pas yang masih gagal menamakan calon untuk mengetuai pakatan mencetuskan ketidakstabilan dan mengikis keyakinan.
Ada yang melihat keretakan dalam Bersatu akan turut menjejaskan persiapan PN untuk menghadapi pilihan raya akan datang. Yang mana ia akan diuji terlebih dahulu pada PIlihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
PRU16 berpotensi menyaksikan persaingan yang sama sengit seperti PRU15, dengan keputusan ditentukan oleh prestasi, persepsi, dan keupayaan parti-parti membaca denyut nadi rakyat.
Dalam landskap politik Malaysia yang semakin terfragmentasi, satu perkara jelas: perlumbaan masih terbuka, dan rakyat menilai pada setiap masa.
AZNAN BAKAR adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia










