SEBAHAGIAN besar muzium awal di Malaysia dibina dalam konteks sejarah campur tangan British di Tanah Melayu.
Dalam tempoh tersebut, Pengetahuan Kolonial meresap ke dalam naratif pameran melalui pemilihan artifak, teks kuratorial, pendekatan interpretasi dan struktur representasi sejarah.
Muzium Negeri Pahang tidak terkecuali daripada pengaruh ini. Walaupun ditubuhkan secara rasmi pada 1976 selepas penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, namun fasa awal pembangunannya masih sarat dengan acuan epistemologi kolonial yang membentuk cara sejarah dan budaya Pahang dipersembahkan kepada umum.
Akibatnya, meskipun Kesultanan Pahang kekal sebagai institusi berdaulat dan merupakan antara pendiri utama Persekutuan Tanah Melayu sejak 1948, namun Pengetahuan Kolonial berjaya membina persepsi seolah-olah Pahang ialah sebuah negeri jajahan.
Naratif seperti ini bukan sahaja mengaburkan kedudukan sebenar kedaulatan Pahang, malah melemahkan kefahaman rakyat terhadap jati diri watan. Justeru, Muzium Negeri Pahang menggerakkan proses pewatanan muzium, iaitu usaha membina semula kefahaman yang benar tentang sejarah, kedaulatan dan identiti Pahang berasaskan pandangan dunia tempatan.
Pemikiran pascakolonial yang menjadi teras pendekatan ini bertujuan untuk membina semula naratif sejarah berdasarkan bukti yang berwibawa dan perspektif masyarakat tempatan. Ia melibatkan sikap kritis terhadap cara pegawai British mentafsir sistem kesultanan, adat, undang-undang dan peristiwa yang berlaku sepanjang perkhidmatan mereka di negeri-negeri Melayu.
Dalam konteks ini, proses dekolonisasi muzium bukan sekadar perubahan kosmetik tetapi usaha epistemologi untuk membebaskan institusi daripada kerangka fikir kolonial yang bersifat hierarki, eurosentrik dan autoritarian.
Sejajar dengan itu, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, pelopor Jurisprudens Watan dan Fiqh al-Watan, menegaskan kerangka pemikiran muzium kolonial perlu dibebaskan dengan menyuntik pandangan tempatan agar jati diri bangsa Malaysia berakar kepada tanah air.
Muzium bukan sekadar ruang pameran artifak tetapi institusi kedaulatan ilmu yang membentuk kesedaran sejarah dan identiti kolektif. Berasaskan prinsip inilah, Muzium Negeri Pahang memulakan transformasi sebagai muzium pascakolonial sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut Pitt Rivers Museum, muzium kolonial ialah muzium yang mengamalkan pemikiran kolonial dalam representasi kaum, kelas, budaya, jantina dan identiti secara hierarki.
Vergo dan Mbembe pula menjelaskan amalan muzium kolonial mengekalkan Eropah sebagai Self, manakala bangsa Melayu dan masyarakat tempatan lain diposisikan sebagai Other yang dianggap lebih rendah. Muzium kolonial juga cenderung bersifat eksklusif, eurosentrik, authoritarian dan positivistik, di mana pengetahuan dikawal dan ditentukan oleh kuasa luar.
Sebagai respon terhadap warisan ini, Muzium Negeri Pahang mengorak langkah dengan mengaplikasikan Kerangka Konsep Muzium Pascakolonial Ahmad Farid (2025) dalam melaksanakan transformasi institusi.
Kerangka ini berpaksikan tiga elemen utama iaitu penggubalan polisi, penjenamaan monumen dan institusi serta pembinaan Fiqh al-Watan Muzium Pahang.
Ketiga-tiga elemen ini menyokong Teori Transformasi Muzium oleh Anna Brus dan Martin Zillinger (2021) yang melihat muzium sebagai tapak pendidikan, perdamaian sosial, proses politik budaya serta ruang penulisan sejarah baharu oleh masyarakat sendiri.
Dari sudut polisi, langkah sedang diambil untuk menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Muzium dan Warisan Negeri Pahang bagi memperkukuh kedudukan institusi secara sah dan berdaulat.
Dari sudut penjenamaan monumen, beberapa istana diraja seperti Istana Kota Beram, Istana Mangga Tunggal, Istana Leban Tunggal dan Istana Seri Terentang diupayakan semula sebagai lambang institusi watan berdaulat.
Penjenamaan institusi pula diperkukuh melalui Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah yang semakin dikenali di peringkat antarabangsa sebagai pusat warisan Pahang yang berakar pada kebijaksanaan tempatan.
Pembinaan Fiqh al-Watan Muzium Pahang mengembangkan metodologi Jurisprudens Watan secara berobjektif dengan memastikan setiap pendekatan kuratorial, penyelidikan dan pendidikan berpaksikan kepada prinsip kedaulatan Kesultanan Pahang sebagai sultah tertinggi dalam sistem ketatanegaraan, pembentukan ‘uruf sebagai sumber norma tempatan serta komitmen terhadap pemeliharaan pembangunan lestari.
Objektiviti ini dizahirkan melalui pemisahan antara fakta sejarah yang berwibawa dengan tafsiran ideologis bersifat kolonial atau partisan.
Melalui penubuhan Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Al-Sultan Abdullah (Al-ASAR) dan Kutub Khanah Diraja, Muzium Pahang berfungsi sebagai pusat ilmu yang menilai sumber secara kritikal, menyaring naratif secara metodologis selain mengangkat suara tempatan secara ilmiah.
Dengan itu, muzium tidak sekadar mempamerkan artifak tetapi memikul amanah peradaban dalam membimbing masyarakat memahami sejarah secara berdaulat, rasional dan bermaruah.
Pemerkasaan peranan Kesultanan Pahang sebagai pemerintah berdaulat menjadi tonggak kepada pembinaan naratif watan yang mendukung Islam, Melayu dan beraja. Istilah ‘Melayu’ dalam konteks ini tidak boleh ditafsir secara rasis, kerana merujuk kepada identiti raja Melayu yang rakyat baginda terdiri daripada pelbagai kaum.
Daripada institusi kesultanan terpancar sistem politik dan perundangan tempatan, pemakaian uruf serta tanggungjawab terhadap pembangunan lestari yang kesemuanya menjadi domain penting Muzium Pahang.

TRANSFORMASI
Akhirnya, tiga elemen dalam Kerangka Konsep Muzium Pascakolonial Ahmad Farid mengukuhkan proses dekolonisasi warisan pemikiran, ilmu dan amalan budaya yang diwarisi daripada Pengetahuan Kolonial.
Transformasi ini meliputi bidang pendidikan, keamanan dan perkhidmatan awam, politik, sosiobudaya dan penulisan sejarah baharu.
Kesemuanya diharapkan memberi implikasi positif terhadap pembinaan identiti kebangsaan Malaysia dan tempatan Pahang yang benar-benar bebas daripada dominasi warisan campur tangan British.
DATUK Ahmad Farid Abd. Jalal ialah Pengurus Besar Perbadanan Muzium Pahang dan calon Doktor Falsafah (PhD) di Institut Pengajian Lanjutan, Universiti Malaya.










