MA63: Seimbang hak negeri, hormati kedudukan Sabah, Sarawak

MA63: Seimbang hak negeri, hormati kedudukan Sabah, Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETAKAT akhir tahun lalu, Kerajaan Madani mencatatkan satu pencapaian besar apabila berjaya menyelesaikan 13 daripada 29 perkara berkaitan hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Baki 16 perkara MA63 masih dalam peringkat rundingan berterusan melalui Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) dan Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dengan pemantauan rapi oleh Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri selaku sekretariat.

13 Perkara yang sudah dicapai itu antaranya penyerahan kuasa kawal selia elektrik dan bekalan gas di Sabah, peningkatan autonomi dalam urusan pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak serta penyediaan garis panduan khas bagi penyerahan semula tanah yang dirizabkan untuk kegunaan Persekutuan kepada kerajaan negeri.

Sarawak juga mendapat kuasa lebih besar dalam pengedaran dan kawalan gas di negeri tersebut dan pencapan dalam prosedur pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman yang melibatkan rundingan lebih erat dengan Yang Dipertua Negeri.

Pemberian 40 peratus hak Sabah juga sedang dalam perundingan antara kerajaan Pusat dan Negeri menerusi satu pembentukan jawatankuasa bersama yang diserta wakil dari kerajaan Pusat dan Negeri.

Dari segi dasar dan prinsip, persetujuan terhadap penambahan lebih 25 peratus kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak juga sudah ada, namun untuk merealisasikannya bergantung kepada hasil rundingan semasa dan tentunya memerlukan sokongan dua pertiga Parlimen.

Dalam menelusuri pencapaian ini, persoalan timbul sejauh mana penyelesaian 13 perkara itu benar-benar memenuhi semangat asal Perjanjian Malaysia 1963 atau adakah ia sekadar penyelarasan pentadbiran tanpa perubahan substantif terhadap kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan?

Menjawab persoalan itu, pakar Perlembagaan, Datuk Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berpandangan, rundingan penyelarasan pentadbiran dan kedudukan Sabah dan Sarawak di bawah MA63 perlu dibaca bersama-sama dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan kerana terdapat pindaan yang menyentuh Sabah dan Sarawak dibuat selepas 16 September 1963 adalah mengikut proses penggubalan yang sah dengan persetujuan Yang di-Pertua Negeri masing-masing. Ini kerana, Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi Persekutuan.

Isu kedudukan Sabah dan Sarawak perlu dilihat secara holistik berdasarkan sejarah perundangan Persekutuan Tanah Melayu sehinggalah diluaskan menjadi Malaysia.

Terdapat sembilan negeri Melayu beraja yang berdaulat dan dua negeri yang sama status dengan Sabah dan Sarawak bekas koloni British, iaitu Pulau Pinang dan Melaka, yang mana negeri yang diketuai Yang Dipertua Negeri, kedaulatan mereka terletak kepada Persekutuan, atau lebih tepat pada Yang di-Pertuan Agong.

Untuk mentafsirkan peruntukan Perlembagaan, katanya, bukan hanya MA63 perlu dirujuk, bahkan hak setiap negeri di Semenanjung Tanah Melayu yang menandatangani PerjanjianPersekutuan Tanah Melayu 1957 serta jaminan negeri yang dipelihara melalui syarat perkenan Majlis Raja-Raja di bawah Perkara 38(4) dan 159(5).

“Ini kerana bukan sahaja dua buah negeri di Borneo membangkitkan pelbagai tuntutan dalam perhubungan dengan Kerajaan Pusat, negeri di Semenanjung Tanah Melayu turut menuntut banyak hak yang dinafikan, misalnya hak royalti minyak oleh Terengganu dan Kelantan terhadap aktiviti dalam pelantar benua masing-masing.

Begitu juga tuntutan Kedah terhadap hak semakan jumlah pajakan tahunan dan ganti rugi kehilangan hasil tanah, lombong, hutan dan air serta lain-lain ke atas wilayah Pulau Pinang,” katanya.

Wan Ahmad Fauzi yang juga Pengasas Jurisprudens Watan dan Fiqh al-Watan ISTAC-UIAM/ Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah berkata, bukan baki 16 perkara itu sahaja yang perlu disemak berdasarkan peruntukan Perlembagaan, malah semua isu antara negeri dan Persekutuan hendaklah diteliti serta diuruskan berdasarkan kerangka Perlembagaan Persekutuan. Ini bermaksud bukan semua isu perlu bernatijahkan kepada pindaan Perlembagaan semata-mata.

Tegasnya, pentafsiran peruntukan Perlembagaan hendaklah berpandukan kaedah pentafsiran Perlembagaan yang diputuskan dalam kes Mahkamah Persekutuan. Semua pihak perlu menghormati kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

Seperti yang termaktub dalam MA63, Sabah dan Sarawak menyertai negeri-negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk Persekutuan Malaysia.

 

PENYELESAIAN 13 perkara MA63 oleh Kerajaan Madani menunjukkan komitmen serius memperkukuh hak Sabah dan Sarawak melalui rundingan berasaskan Perlembagaan.

 

Oleh itu, katanya, tidak ada istilah Persekutuan Tanah Melayu + Sabah dan Sarawak = Malaysia. MA63 jelas memperuntukkan Sabah dan Sarawak berstatus negeri seperti negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu yang bidang kuasa masing-masing hendaklah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
Tuntutan lebih 25 peratus kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak perlu dikaji sehalus-halusnya kerana ia boleh menggugat kepentingan sembilan buah negeri yang diperintah oleh raja berdaulat hanya oleh dua buah bekas koloni British melalui perwakilan dalam Parlimen.

“Adalah tidak adil dan merupakan diskriminasi yang tidak berperlembagaan jika mana-mana pihak mendakwa negeri yang diketuai oleh Yang Dipertua Negeri Sabah dan Sarawak lebih tinggi dan istimewa daripada negeri yang diperintah oleh Sultan dan Raja Pemerintah, yang merupakan pendiri kepada Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia.

“Struktur federalisme kita ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan, bukan semata-mata tuntutan politik kepartian,” ujarnya.

Beliau berhujah, jika Sabah dan Sarawak mendakwa kedudukan mereka setanding dengan Persekutuan Tanah Melayu, maka lebih adil Borneo mempunyai Parlimen sendiri dan perhubungan antara Persekutuan Tanah Melayu diikat melalui perjanjian seperti European Union.

Diskriminasi antara negeri dalam Persekutuan Malaysia sepatutnya dikurangkan selepas 63 tahun Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia. –UTUSAN

 

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Putrajaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×