Jangan ingat Pas hadap sangat bersama PN - Utusan Malaysia

Jangan ingat Pas hadap sangat bersama PN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
Penentangan terbuka ahli yang dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuka episod baharu dalam kemelut dalaman parti itu. Ahli Parlimen Machang, WAN AHMAD FAYHSAL WAN AHMAD KAMAL mendakwa Bersatu bukan lagi aset, sebaliknya liabiliti kepada Perikatan Nasional (PN).

Bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) berkata, pembubaran banyak bahagian serta ketiadaan jentera akar umbi membuktikan parti itu semakin lemah dan hilang nilai strategik dalam gabungan pembangkang tersebut.

Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL dan dibantu jurufoto, SADDAM YUSOF, Wan Ahmad Fayhsal menetapkan tempoh sehingga Jun ini sebagai fasa penting untuk merungkai kemelut, sebelum seluruh tenaga digerakkan sepenuhnya ke arah persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Baginya, penyatuan dan konsolidasi kuasa politik perlu dimuktamadkan segera agar PN kembali stabil dan bersedia menawarkan alternatif yang lebih meyakinkan kepada rakyat.

MP BEBAS
MINGGUAN MALAYSIA: Kenapa YB tarik semula rayuan pemecatan dan apa halatuju seterusnya?
Saya hanya ingin meletakkan fakta di hadapan dan kebenaran supaya nama saya dibesihkan dalam konteks ini.

Pemecatan saya yang baru-baru ini bersama 17 orang itu tidak ada kena mengena dengan apa yang berlaku pada awalnya (ketika digantung), ia pertuduhan kedua yang dibuat oleh parti ke atas saya. Banyaklah pertuduhannya, melibatkan ucapan-ucapan saya, kritikan-kritikan dalam podcast (audiosiar) dan sebagainya. Jadi untuk itu saya pun tidak berminat hendak merayu sama sekali.

Apa langkah saya seterusnya? Saya kini ahli Parlimen bebas dan saya akan terus bersama dengan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Saya akan ikut apa yang beliau akan putuskan, akan ada perbincangan dulu dengan ahli Parlimen, ADUN yang dipecat, insya-Allah yang pasti kami ada perancangan.

BERSATU LIABILITI, LEMAH
Dengan majoriti ahli Parlimen bersama Datuk Seri Hamzah Zainuddin, adakah Bersatu yang masih ada sekarang ini boleh menjadi liabiliti kepada PN dan mungkin beban kepada Pas?
Sebenarnya Bersatu selepas mana kami dipecat dan bila mana proses reset sedang berlaku, pembubaran banyak bahagian di seluruh negara, itu jelas menunjukkan Bersatu sebenarnya menjadi beban kepada PN.

Bersatu tiada jentera, hanya kuat di kawasan yang mana ada wakil rakyat. Sebab apa saya kata begitu? Sebab wakil rakyat ini mempunyai sedikit sumber, gaji, peruntukan kerajaan negeri dan sebagainya untuk menampung bahagian-bahagian yang bergerak.

Bila mana bahagian-bahagian secara sukarela bubar, sebenarnya Bersatu sudah tidak ada akar umbi dan ini menjadi liabiliti kepada PN dan apa yang berlaku pada hari ini saya mahu tekankan faktanya selama empat tahun sejak bermulanya kerajaan PN pada 2020 sampailah tahun lepas, yang menanggung parti ini adalah Datuk Seri Hamzah Zainuddin, bukan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bukan juga Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini, yang keluarkan duit untuk calon bertanding, Datuk Seri Hamzah dan beliau juga keluarkan duit untuk pemilihan parti, jadi bila Datuk Seri Hamzah dipecat sudah pastilah banyak bahagian ini sudah tidak terbela daripada segi kewangannya.

Maka, saya nampak ini satu perkara yang jelas Bersatu sudah menjadi parti yang liabiliti dan lemah. Malah orang Pas pun tidak suka beberapa kepimpinan dalam Bersatu seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dan Pas juga tidak menyokong usul Bersatu yang menamakan Muhyiddin calon Perdana Menteri.

Bagi saya Bersatu sudah tiada nilai malah mengkhianati perjuangan PN kerana ego seorang presiden.

Tidakkah wujud situasi janggal jika ahli Bersatu yang dipecat menyertai komponen lain dalam PN contohnya Pas namun pada masa sama Bersatu di bawah Presiden juga masih berada dalam gabungan sama?
Sebenarnya kalau kita lihat apa yang berlaku pada hari ini Pas ada banyak pilihan. Jangan ingat Pas hadap sangat hendak kekal dalam PN, tapi PN ini adalah ‘kenderaan’ yang berharga sebab kita sudah ada penerimaan masyarakat dan Pas pun sebuah parti terbesar dalam PN dan sewajarnya mereka memimpin PN.

Pada pandangan saya, Pas pun akan fikir buat apa hendak buat rumah baharu, gabungan baharu yang mana perlu ambil masa untuk meyakinkan rakyat?

Namun soalnya, sejauh mana Pas hendak bertoleransi dengan perangai kepemimpinan dalam Bersatu sekarang?

Kalau susah untuk Pas hendak bergerak dalam PN, mereka boleh buat gabungan baharu malah dengan UMNO sekalipun. Itu bagi saya, winnable. Tapi terpulanglah.

Cuma, jangan pula kita rasa PN ini satu-satunya vehicle ataupun wahana untuk orang Melayu khususnya untuk mengundi dalam PRU16. Masalah sekarang adalah Bersatu, yang telah membuang ramai ahli Parlimen dan pemimpin yang terbukti mempunyai kredibiliti dan berkesan kepada masyarakat.

HAMZAH JAMBATAN DENGAN UMNO
Boleh YB komen sama ada sosok Hamzah itu dilihat sebagai ancaman oleh pihak tertentu?
Ya, dari dulu lagi Hamzah dilihat ancaman kerana secara fitrahnya politik yang PN bawa adalah politik Melayu, Islam. Oleh kerana Hamzah bekas UMNO, beliau dilihat mempunyai kelebihan berbanding Azmin untuk bercakap dengan pimpinan UMNO termasuk Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ini sangat penting kerana untuk menubuhkan kerajaan, kita memerlukan orang yang mempunyai pengaruh seperti beliau.

Azmin tidak mampu untuk melakukan itu manakala Muhyiddin berbeza, tidak mempunyai pengaruh dengan kepimpinan UMNO yang ada sekarang. Jadi, kita hanya bergantung kepada Hamzah untuk membina jambatan ini.

PAS PARTI MERIT, BUKAN DRAMA
Adakah perubahan pengerusi PN kepada Pas memberi isyarat ahli Parlimen Bersatu yang dipecat akan diselamatkan dan diberi peluang?
Sebenarnya hubungan ahli-ahli Parlimen Bersatu yang dipecat cukup erat dengan Pas berbanding satu lagi kem dalam Bersatu. Sebab itulah mereka ini sedar bahawa Pas lebih selesa dan lebih mempercayai Datuk Seri Hamzah.

Tapi yang pasti, hubungan kami dengan Pas mantap. Walau saya dipecat, digantung, Pas tidak pernah diskriminasi terhadap saya. Sebab apa? Sebab kami sudah bina hubungan sejak tiga, empat tahun dan Pas tidak ada masalah pun.

Pas ini adalah parti yang bergerak atas merit. Bukan parti yang bergerak atas drama. Saya yakin semua yang ikut Hamzah, berhubungan baik dengan Pas, jadi kita percaya dengan apa yang dirancangkan.

SELESA DENGAN PAS
Jika diberi pilihan dan peluang, adakah YB lebih cenderung untuk sertai Pas?
Saya selesa dengan Pas, tapi seperti yang saya katakan, saya tidak boleh buat keputusan secara peribadi. Keberadaan saya adalah kerana kebersamaan kami dalam Bersatu dahulu bersama Hamzah.

Terpulang kepada beliau ke mana arah tuju itu, kumpulan ini akan mengikut beliau dan sebarang keputusan dibuat sudah pasti mendapat persetujuan Pas, sebab kita bekerjasama dalam PN.

Kita juga tidak mahu hubungan renggang, contohnya kita boleh belajar daripada krisis di Perlis, lantik Menteri Besar tanpa bincang dengan Pas, jadi apa yang dilakukan puak dalam Bersatu selama tiga bulan sejak krisis itu, yang mana tidak menguntungkan Bersatu, dalam keadaan parti sangat lemah, ahli makin berkurangan, duit pun tidak ada.

KEKAL HAMZAH ATAU LANTIK TAKIYUDDIN
Siapa pemimpin yang layak untuk diangkat sebagai ketua pembangkang di Parlimen?
Ahli parlimen akan menentukan siapa yang mereka hendak jadikan ketua. Saya yakin 100 peratus, majoriti akan menyokong Datuk Seri Hamzah kekal sebagai ketua pembangkang, cuma soalnya sebagai ahli Parlimen bebas bagaimana? Setakat ini tidak pernah ada, mungkin pertama kali dalam sejarah.

Sebelum ini yang lantik ketua pembangkang bukan Muhyiddin, yang lantik adalah konsensus ahli-ahli Parlimen dan juga konsensus daripada parti terbesar PN iaitu Pas.

Pas yang menamakan Hamzah sebagai ketua pembangkang. Bersatu tidak ada hak sebab jumlah ahli Parlimen kurang berbanding Pas.

Sekarang ini 19 ahli Parlimen dengan Hamzah. Jadi, agak-agak Bersatu boleh paksakah untuk gugur Hamzah sebagai ketua pembangkang? Tidak boleh, sebab saya boleh kata semua ahli Parlimen bersama Hamzah termasuk juga dari Pas.

Sekiranya (Hamzah) tidak menjadi pilihan, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan juga layak menggalas tugas itu. Tidak ada masalah, yang aktif dan terbukti kepimpinan dia dalam parlimen, sangat berfungsi.

SELESAI KEMELUT SEBELUM JUN
Adakah dengan pemecatan boleh menyelesaikan kemelut dalam Bersatu, mengubah persepsi rakyat terhadap PN?
Saya fikir apa yang berlaku ini adalah hikmahnya. Tidak apa. Saya sudah bincang dengan pimpinan memang kita hendak pergaduhan ini.

Bukanlah maksud kita suka pergaduhan, tidak. Tapi konflik ini perlu berlaku untuk meleraikan kekusutan dan ia perlu diselesaikan sebelum bulan Jun ini.

Bacaan kami, PRU16 hanya akan dibuat seawal tahun depan, mungkin pertengahan tahun. Sebabnya melihat suasana semasa, Perdana Menteri tidak mampu hendak buat pilihan raya awal, kerana berdepan dengan banyak isu.

Apa pun bagi kami, kita selesai isu satu per satu. Contoh bahagian yang sudah bubar, ramai ini, mereka akan pindah ke rumah baru, sama ada masuk Pas ataupun parti baharu dengan Datuk Seri Hamzah akan jadi pemimpin utama.

Kemudian kita lihatlah nasib PN. Kalau Bersatu asyik sabotaj apa yang Pas ingin lakukan, baik tinggalkan PN dan buat gabungan baharu dan saya jangka dalam setahun kita boleh stabilkan semua ini.

Momentum bersama kami sebenarnya, kuncinya ada pada ahli Parlimen, mereka sentiasa bawa isu besar, sering di kaca televisyen, kami ada kelebihan ke atas Bersatu di bawah Muhyiddin yang ada lima, enam orang ahli Parlimen, tapi yang bercakap hanya seorang dua sahaja.

Saya nampak kita boleh selesaikan kemelut ini dalam tempoh enam bulan. Itu paling lamalah, sebab lepas bulan enam ini kita kena sepenuh tenaga bersedia untuk PRN Melaka, Johor, Sarawak dan seterusnya PRU16.

Jadi, biarlah separuh tahun pertama ini kita nampak bercakaran, nampak rakyat tidak suka, tapi itulah politik. Nature of politic is about consolidation of power (Sifat politik adalah mengenai penyatuan kuasa). Jadi, sekarang siapa yang boleh consolidate (menyatukan).

Saya tengok hanya Datuk Seri Hamzah. Dia akan consolidate PN bersama Pas dan kita lihat nasib Bersatu macam mana nanti. Bagi saya, bila mana kami semua berani keluar, kami tahulah masa depan ada di tempat yang lebih baik.

PARTI IMEJ MODERAT
Adakah mereka yang dipecat ini mampu memberi sumbangan kepada PN?
Bagi saya, untuk kita menang PRU16, PN perlu ada satu parti yang moderat daripada segi imej, untuk kita mendapat undi golongan Melayu pertengahan di bandar, di Pantai Barat dan juga golongan bukan Melayu dan Pas pun sedar hal ini. Sebab itu, Pas adalah parti yang sangat pragmatik dan ada visi strategik.

Kerana itu saya yakin apa yang akan diputuskan (ahli yang dipecat) nanti sudah pastilah akan mendapat persetujuan Pas.

Apa tindakan yang akan kami buat nanti, kami pilih untuk bersama Datuk Seri Hamzah dan sudah pasti dibincangkan sama ada untuk kekal dalam PN? Hendak masuk Pas? Hendak duduk dalam parti baharu? Itu semua kita ambil kira.

Adakah pembubaran bahagian dilakukan ketika ini tidak sah mengikut perlembagaan parti?
Bagi saya ini semua teknikal. Kalau sudah tidak ada orang, bubarlah. Boleh tumbuh balik, tapi berapa ‘kerat’ ahli yang ada?

Siapa hendak jadi pemimpin di akar umbi? Lantiklah Armada jadi ketua bahagian? Boleh, tapi percayalah, tidak ada nilai kepada Pas dan kekuatan PN, sebab yang ada nilai, orang-orang yang keluar ikut Datuk Seri Hamzah ini.

PN BUKAN GABUNGAN RASIS
Dengan Pas bakal menerajui PN, adakah YB melihat parti itu mampu untuk menarik lebih ramai sokongan rakyat?
Undi orang Melayu, saya yakin akan menjadi lebih kuat. Tapi untuk pengundi bukan Melayu, kita tahu mereka masih was-was dengan Pas.

Tapi tidak mengapa, kita ambil masa. Lebih banyak engagement, lebih banyak menyantuni kelompok-kelompok pengundi belia, perniagaan. Sebab mereka perlu dengar sendiri daripada Pas, daripada PN, polisi apa yang kita hendak buat bila jadi kerajaan nanti.

Jadi, kami sentiasa bersama dengan Pas, kita berjumpa dengan kelompok-kelompok bukan Melayu ini untuk kita terangkan PN ini bukannya rasis, bukannya anti pembangunannya.

Cuma ada prinsip-prinsip yang kita kena hormati melibatkan sensitiviti orang Melayu dan agama Islam. Bila mereka dengar penjelasan sebegini, mereka boleh terima.

Pas juga faham mereka perlu ada kawan daripada golongan nasionalis untuk melembutkan imej PN itu sendiri. Jadi, bila Pas boleh terajui PN, PN akan jadi lebih kuat, lebih stabil sebab Pas solid, tidak ada perpecahan dalaman.

Tapi Pas perlukan kerjasama daripada kami untuk membantu kita masuk menembusi medan pengundi yang Pas pun belum mampu untuk tembus iaitu pengundi bukan Melayu dan juga golongan Melayu atas pagar.

RANGKUL KEKUATAN POLITIK MELAYU
Bagaimana dengan cadangan penyatuan menerusi Rumah Bangsa oleh UMNO?
Ramai pemimpin PN sudah buat kenyataan tentang hal ini, dan saya senada dengan mereka, tidak kisah nama apa pun, Muafakat Nasional, Rumah Bangsa, perpaduan ummah, yang penting niatnya adalah kuasa politik orang Melayu must be consolidated (disatukan), kita mesti rangkul kekuatan politik Melayu yang sedang berpecah.

Untuk merangkulnya kita perlu ketepikan ego dan satukan semua pemimpin utama parti-parti Melayu ini. Namun adakah Bersatu kini parti Melayu yang utama? Saya rasa dengan reset yang berlaku, Bersatu semakin kecil, tidak ada nilai, mungkin menjadi seperti parti Pejuang, tidak lama lagi.

Jadi, yang akan menjadi teras untuk pemuafakatan mungkin antara kelompok kumpulan Hamzah, bersama Pas dan UMNO. Pembahagian kerusi kita boleh bincang kemudian. Ada formula-formula. Jangan dirunsingkan. Yang penting, niat kamu. Do you want to consolidate Malays political power? Kalau betul, insya-Allah kita boleh jadi satu blok Semenanjung yang kuat.

Saya menyokong usaha penyatuan Melayu, yang penting kita punya niat dan strategi ke arah itu. Maksudnya apa? Kena ada electoral pact (pakatan pilihan raya). – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN