CADANGAN penubuhan kolaborasi agung yang melibatkan semua parti Melayu menjadi tumpuan apabila Pas menegaskan tidak akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ‘berkawan’ dengan DAP. Situasi ini menimbulkan persoalan sama ada penyatuan Melayu boleh direalisasikan.
Bagi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Ahli Parlimen Pontian, DATUK SERI AHMAD MASLAN, hasrat yang disampaikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bertujuan baik bagi menyatukan semua parti Melayu di bawah satu ‘payung besar’ namun sayangnya ada parti telah menetapkan garis merah yang perlu dihormati.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya memberitahu dengan pendekatan berasaskan fakta dan empati membolehkan kerjasama politik yang harmoni diwujudkan, sambil menilai sentimen rakyat melalui kaji selidik empirikal bagi memastikan strategi politik inklusif dan berkesan.
UTUSAN : Pas sudah tetapkan garis merah, mereka tidak akan bekerjasama dengan parti yang ‘berkawan’ dengan DAP. Bagaimana Datuk melihat cadangan penubuhan kolaborasi agung yang melibatkan semua parti Melayu, adakah boleh berjaya?
AHMAD: Saya menghadiri tiga ucapan utama Presiden UMNO iaitu semasa taklimat presiden, ucapan dasar dan penggulungan. Selain itu, saya turut menghadiri pertemuan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).
Dengan menghadiri empat sesi ini, saya merasa sudah cukup untuk melengkapkan kefahaman mengenai hasrat yang disampaikan presiden parti.
Hasrat tersebut sangat baik dan merupakan sesuatu yang belum pernah diungkapkan sebelum ini. Terdapat tiga istilah utama yang diperkenalkan buat pertama kali. Pertama ialah ‘rumah bangsa’, musyawarah nasional dan kolaborasi agung.
Ketiga-tiga istilah ini mempunyai tujuan jelas dan positif untuk memperkukuhkan perjuangan agama, bangsa dan tanah air.
Bagi saya, tujuan ini juga selari dengan perjuangan abata, yang bukan untuk kepentingan individu tetapi demi kepentingan kolektif agama, bangsa dan tanah air. Oleh itu, kita seharusnya menyokong inisiatif ini.
Pandangan Datuk apabila beberapa pemimpin termasuk Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Johari Ghani berkata, “Kenapa perlu takut pada DAP?” sebagai respon komen Presiden dan Timbalan Presiden Pas.
Saya melihat ini sebagai cetusan pemikiran yang segar dan sebelum ini tidak didengar oleh orang ramai.
Berdasarkan pengalaman peribadi, DAP menyatakan sokongan mereka terhadap empat perkara utama yang menjadi garis merah iaitu kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan raja-raja Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Perlembagaan Persekutuan.
Saya sendiri pernah mendengar ucapan Anthony Loke secara langsung di Negeri Sembilan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) di Port Dickson. Beliau menyatakan DAP tidak diharamkan kerana mereka menjunjung empat perkara ini.
Selain itu, pengalaman saya bersama Steven Sim juga menguatkan pemahaman ini.
Dalam beberapa interaksi, termasuk ceramah kelompok di Kuala Kubu Baru di hadapan komuniti Melayu, Steven menegaskan DAP bersetuju dengan empat perkara garis merah tersebut.
Ini menunjukkan pemimpin tertinggi DAP jelas menyokong perkara-perkara asas yang menjadi landasan keharmonian politik dan sosial di Malaysia.
Dari pengalaman peribadi ini, saya dapat menjawab persoalan mengapa perlu takut pada DAP? Sepanjang pengalaman saya, DAP mendukung empat perkara utama itu dan tidak pernah melanggarnya.
Justeru, walaupun UMNO telah lama dididik untuk tidak menyukai DAP, namun realiti semasa menunjukkan DAP menghormati prinsip-prinsip tersebut.
Sejarah panjang 20 hingga 22 tahun menunjukkan kebencian terhadap DAP wujud kerana pengalaman pilihan raya dan persaingan politik terdahulu, khususnya ketika Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta sokongan DAP untuk menentang UMNO, yang mengakibatkan Barisan Nasional (BN) kalah.
Dari segi ideologi, DAP memang sering dilabel sebagai chauvinis China tetapi hakikatnya, terdapat juga pemimpin Melayu. Kehadiran mereka menunjukkan DAP tidak eksklusif berdasarkan etnik dan lebih inklusif daripada apa yang sering digambarkan.
Pengalaman saya bersama mereka memberi kefahaman kolaborasi politik tidak seharusnya berasaskan prasangka semata-mata tetapi perlu dilihat berdasarkan fakta dan komitmen terhadap prinsip asas negara.
Dengan kefahaman ini, pendekatan yang harmoni dan bijaksana terhadap kerjasama politik boleh diwujudkan, mengurangkan prasangka dan memperkukuhkan kestabilan sosial dan politik negara.
Itu kata Datuk dari pihak UMNO tetapi jika mahukan penyatuan Melayu, adakah parti ini sanggup tinggalkan DAP dan kerjasama dengan kerajaan hari ini?
Walaupun DAP bersetuju dengan empat perkara asas yang menjadi garis merah namun tidak bermakna UMNO perlu bersama mereka selama-lamanya. Keputusan ini bergantung kepada situasi politik dan sentimen rakyat, khususnya orang Melayu.
Bagaimana UMNO boleh menilai sentimen orang Melayu terhadap kerjasama ini?
Cadangan dibuat untuk menjalankan kaji selidik secara berkala, setiap tiga bulan. Kaji selidik ini bersifat empirikal dan merangkumi kualitatif dan kuantitatif, termasuk kaji selidik rawak untuk mendapatkan gambaran tepat sejauh mana orang Melayu menyokong atau menolak kerjasama UMNO-DAP.
Ia penting untuk memahami reaksi rakyat terhadap segala inisiatif dilakukan BN atau kerajaan. Contohnya, dalam tempoh tiga tahun, ada sebanyak 730 inisiatif dilaksanakan kerajaan tetapi jika rakyat Melayu masih enggan menyokong UMNO dan menolak hubungan dengan DAP, strategi politik perlu disesuaikan sebelum pilihan raya.
Apa yang perlu dilakukan jika rakyat masih menolak kerjasama dengan DAP walaupun banyak inisiatif positif telah dibuat?
UMNO perlu membuat penilaian menyeluruh berdasarkan hasil kaji selidik. Jika sentimen menunjukkan ketidakpuasan atau penolakan yang tinggi, langkah strategik perlu diambil, termasuk menilai semula hubungan dengan DAP demi memastikan kelangsungan sokongan orang Melayu dan keberkesanan kerajaan perpaduan.
Adakah cadangan kolaborasi agung boleh berjaya jika Pas enggan sertai?
Pas berkali-kali menegaskan mereka tidak akan menyertainya selagi DAP terlibat. Jadi, jika Pas memilih untuk ‘tidak hadir’, usaha kolaborasi masih boleh diteruskan dengan mereka yang pernah mempunyai hubungan atau simpati dengan Pas seperti mufti dari Terengganu, Melaka dan Perlis serta beberapa tokoh akademik dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Mereka menunjukkan masih ada ruang untuk kerjasama walaupun Pas tidak terlibat secara rasmi.
Adakah DAP perlu menjelaskan kedudukan mereka dalam isu ini?
Ya, DAP perlu menegaskan mereka tetap menyokong empat perkara asas yang menjadi prinsip utama Perlembagaan dan tidak pernah menentangnya.
Ini bukan tuduhan tetapi untuk memastikan fakta dan kepercayaan jelas. Sekiranya DAP menafikan sokongan mereka terhadap empat perkara tersebut, ia boleh menimbulkan ketidakpercayaan dan menjejaskan kerjasama.-UTUSAN










